Tindakan Amerika Henti Bantuan Ketenteraan Pada Ukraine Jadikan Storm Shadow, HIMARS “Besi Tidak Berguna”
Tindakan Amerika Syarikat dibawah presidennya yang baru Donald Trump menghentikan perkongsian maklumat perisikan dan pelbagai bantuan ketenteraan dengan Ukraine telah menyebabkan beberapa sistem persenjataan canggih dibekalkan oleh Eropah dan Washington menjadi “besi tidak berguna.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak tiga tahun lepas, tentera Ukraine amat bergantung kepada senjata-senjata canggih yang dibekalkan oleh negara-negara Barat dan Eropah terutamanya Amerika Syarikat bagi membantunya mengekang kemaraan tentera Russia.
Bagaimanapun, tindakan Amerika Syarikat dibawah pentadbiran presidennya yang baru Donald Trump untuk menghentikan perkongsian maklumat perisikan dan pelbagai bantuan ketenteraan dengan Ukraine telah menyebabkan beberapa sistem persenjataan canggih dibekalkan oleh Eropah dan Washington menjadi “besi tidak berguna.”
Seorang penganalisis ketenteraan Russia Andrey Marochko memberitahu agensi berita negara itu, TASS baru-baru ini bahawa, antara sistem persenjataan canggih yang akan teruk terkesan adalah peluru berpandu kruis Storm Shadow.
“Tanpa sistem panduan dan maklumat perisikan yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat, peluru berpandu kruis Storm Shadow itu diibaratkan seperti ‘besi tidak berguna,” kata beliau tentang peluru berpandu kruis yang selama ini menjadi “duri dalam daging” kepada tentera Russia kerana keberkesanannya dalam melakukan serangan tepat terhadap aset-aset bernilai tinggi Russia.
Sememangnya, untuk memastikan sistem persenjataan canggih dibekalkan oleh Barat itu berkesan, ia memerlukan perkongsian maklumat perkongsian dan sistem panduan serta navigasi yang dibekalkan oleh negara-negara anggota NATO dan Amerika Syarikat.
Dengan Amerika Syarikat juga adalah tulang belakang kepada NATO, maka sebarang pergantungan perkongsian maklumat perisikan daripadanya sudah semestinya menjejaskan operasi Ukraine serta sistem persenjataan canggih Barat yang dibekalkan kepadanya.

Keputusan untuk membekukan bantuan ketenteraan kepada Ukraine menandakan perubahan ketara daripada sokongan “tidak berbelah bahagi” yang dinikmati Kiev sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022.
Beberapa hari selepas perbincangan tegang dengan Presiden Ukraine Volodymr Zelensky, Trump mengarahkan penggantungan semua bantuan ketenteraan Amerika Syarikat, termasuk peralatan yang sedang dalam transit melalui Poland serta perkongsian risikan dengan tentera Ukraine.
Peluru berpandu kruis Storm Shadow/SCALP EG buatan British/Perancis terbukti amat popular di kalangan tentera Ukraine yang kerapkali menggunakannya untuk menyerang aset-aset tentera Russia di wilayah Crimea yang ditawannya.
Bukan sahaja peluru berpandu kruis itu popular, tetapi ia terbukti berkesan dalam memusnahkan kapal-kapal perang termasuk sebuah kapal selam milik tentera Russia yang sedang berlabuh di pangkalan tentera laut di Crimea itu.
Peluru berpandu kruis British/Perancis itu telah menjadi “duri dalam daging” pada tentera Russia terutamanya di Crimea.
Peluru berpandu “Storm Shadow” adalah peluru berpandu kruis lancaran udara (air-launched cruise missile – ALCM) hasil usahasama tiga buah negara itu United Kingdom, Perancis dan Itali.

Juga dikenali dengan panggilan SCALP EG (Système de Croisière Autonome à Longue Portée – Emploi Général), peluru berpandu itu telah dibuat oleh firma pertahanan Eropah, MBDA.
Pembangunan sistem peluru berpandu itu telah bermula seawal 1990-an dan direkabentuk untuk menjadi sistem persenjataan jarak jauh, stand-off yang boleh dilancarkan daripada pesawat terhadap sasaran strategik dan pada masa yang sama memastikan pesawat tetap berada di luar jarak jangkauan sistem pertahanan udara musuh.
Peluru berpandu “Storm Shadow” boleh membedil sasaran sejauh 560km atau 300 Batu Nautika bagi membolehkan ia mensasarkan sasaran strategik.
Setiap sebuah peluru berpandu kruis itu adalah seberat 1.3 tan, dengan keseluruhan peluru itu adalah 5.10 meter.
Ia menggunakan sistem propulsion turbojet, Turbomeca Microturbo TRI 60-30 yang memacu peluru berpandu itu ke sasaran dengan kelajuan dan ketepatan yang tinggi.
Mengenai sistem navigasinya pula,sistem peluru berpandu kruis “Storm Shadow” itu dipandu oleh sistem-sistem INS (Inertial Navigation ), GPS (Global Positioning System) dan Terrain Reference Navigation bagi memastikan ia memiliki ketepatan yang amat tinggi.
Manakala bagi peledaknya pula, ia direka untuk menyebabkan kemusnahan yang maksima.

Sementara itu, penganalisis ketenteraan Barat juga menyatakan bahawa satu lagi sistem persenjataan Barat yang digunakan oleh tentera Ukraine bakal berhadapan dengan nasib yang sama sebagaimana Storm Shadow.
Sistem persenjataan itu adalah sistem HIMARS (High Mobility Artillery Rocket System), yang merupakan sistem pelancar roket mudah alih yang dibangunkan oleh Lockheed Martin untuk Tentera Darat Amerika Syarikat.
Sistem itu juga juga bergantung kepada data-data daripada pihak tentera Amerika Syarikat dalam menentukan sasaran Russia manakah yang ia patut serang.
HIMARS mula dihantar ke Ukraine pada pertengahan 2022 selepas kelulusan bantuan ketenteraan oleh Amerika Syarikat, dengan Ukraine telah menggunakan HIMARS dengan berkesan untuk menyerang pusat kawalan, depot bekalan, dan laluan logistik Rusia.
Keupayaan serangan jarak jauh dan tepat HIMARS membolehkan Ukraine melemahkan barisan hadapan Russia serta mengganggu operasi logistik musuh.
Serangan HIMARS ke atas jambatan dan laluan bekalan di wilayah yang diduduki telah memperlahankan pergerakan tentera Russia.

Ciri-Ciri Utama HIMARS:
-
Mobiliti Tinggi
-
Dipasang pada trak roda enam (FMTV – Family of Medium Tactical Vehicles), membolehkan ia bergerak pantas di pelbagai jenis medan perang.
-
-
Sistem Persenjataan
-
Mampu melancarkan enam roket GMLRS (Guided Multiple Launch Rocket System) secara serentak dengan jarak 70-90 km.
-
Boleh menggunakan peluru berpandu ATACMS (Army Tactical Missile System) dengan jarak sehingga 300 km.
-
Versi terbaru mampu melancarkan roket PrSM (Precision Strike Missile) yang berpotensi mencapai jarak lebih 500 km.
-
-
Ketepatan & Keberkesanan
-
Menggunakan GPS dan sistem panduan canggih untuk serangan tepat ke atas sasaran strategik seperti pusat kawalan, depot senjata, dan laluan logistik musuh.
-
Boleh beroperasi dalam pelbagai keadaan cuaca dan memberikan tembakan ‘hit-and-run’ sebelum berpindah ke lokasi lain untuk mengelakkan serangan balas.
-
HIMARS boleh dimuatkan ke dalam pesawat pengangkut C-130 Hercules, membolehkan pemindahan pantas ke zon pertempuran.
Masa persiapan untuk menembak adalah sekitar 5 minit, menjadikannya senjata yang sangat fleksibel.
— DEFENCE SECURITY ASIA