Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Vietnam Peroleh Dua Satelit Pengawasan Israel Sebagai “Mata dan Telinganya” Untuk Awasi Provokasi China

Laporan daripada media Israel beberapa hari lalu menyatakan bahawa kedua-dua satelit pengawasan itu akan membantu Vietnam “dalam menangani provokasi China terhadap negara jirannya, Vietnam terutamanya di Laut China Selatan.”

0 7,875
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Vietnam dilaporkan telah menandatangani kontrak dengan Israel untuk membekalkan dua buah satelit pengawasan kepadanya dipercayai bernilai US$680 juta (RM2.9 billion) yang akan bertindak sebagai “mata dan telinganya” dalam  “mengawasi tindak-tanduk China.”
Laporan daripada media Israel beberapa hari lalu menyatakan bahawa kedua-dua satelit pengawasan itu akan membantu Vietnam “dalam menangani provokasi China terhadap negara jirannya, Vietnam terutamanya di Laut China Selatan.
Walaupun berjiran, namun Vietnam dan China mempunyai pertelingkahan yang berpanjangan tentang Laut China Selatan dan sempadan malah kedua-dua angkatan tentera pernah terlibat dalam pertempuran bersenjata menyebabkan kehilangan nyawa di kedua-dua pihak.
Syarikat Israel yang dipercayai memenangi kontrak lumayan daripada Vietnam itu adalah Israel Aerospace Industries (IAI) yang mempunyai hubunhan yang lama dengan negara Asia Tenggara, malah ura-ura mengenai cadangan Hanoi untuk membeli satelit pengawasan daripada Israel itu telah kedengaran sejak 2018.
Syarikat IAI dilaporkan bersaing dengan syarikat Perancis, Thales dan syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin dalam merebut kontrak daripada Vietnam itu.
Pelanggan Vietnam yang akan menggunakan kedua-dua satelit pengawasan buatan Israel itu adalah General Department II yang terlibat dalam kerja-kerja pengumpulan maklumat perisikan.

satellite

General Department II, atau dikenali sebagai Tổng cục II, ialah agensi perisikan strategik di bawah Kementerian Pertahanan Vietnam.
Ia bertanggungjawab mengumpul, menilai, dan meramalkan maklumat bagi menasihati pemimpin parti, negara, Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Kementerian Pertahanan, serta agensi dan wilayah lain dalam merumuskan strategi dan dasar, serta menangani situasi secara proaktif untuk mengelakkan kejutan atau ketidakaktifan dalam hal ehwal strategik.
Sebagai agensi perisikan ketenteraan utama, General Department II memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan negara dengan menyediakan maklumat yang tepat dan terkini kepada kepimpinan tertinggi Vietnam.
Ia juga terlibat dalam operasi perisikan khas dan mempunyai unit-unit yang mampu melaksanakan operasi ketenteraan ofensif serta kempen penyusupan yang berkhidmat untuk kepentingan Vietnam.
Laporan menyatakan bahawa di bawah perjanjian yang dimeterai, firma Israel akan menjual dua satelit kepada Vietnam, termasuk satelit pengimejan optik dan satelit radar apertur sintetik (SAR) yang mampu memberikan gambaran permukaan bumi walaupun pada waktu malam atau dalam keadaan langit berawan sepenuhnya.
Salah satu daripada satelit tersebut berkemungkinan OptSat 3000, sebuah satelit elektro-optik canggih yang dilengkapi teleskop berdiameter 70 cm dan sensor sensitivity tinggi.
 Menurut Israel Aerospace Industries , satelit ini berupaya menghasilkan imej resolusi tinggi lebih baik daripada 50 cm bagi lokasi di Bumi.
Setiap satelit dianggarkan berharga US$300 juta (RM1.32 billion), tidak termasuk kos pelancaran, dengan pakar-pakar menyifatkan harga tersebut sebagai terlalu tinggi.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Israel telah menjadi salah satu pembekal utama peralatan pertahanan kepada Vietnam, selaras dengan usaha negara itu untuk mempelbagaikan sumber perolehan senjata dan kelengkapan ketenteraan bagi mengurangkan kebergantungan kepada rakan tradisionalnya, Russia.
Vietnam
Anggota tentera Vietnam dengan raifal Galil buatan Israel tetapi dihasilkan dalam negara.
Dianggarkan bahawa Vietnam telah memperoleh peralatan bernilai kira-kira US$2 billion daripada syarikat-syarikat Israel, termasuk sistem pertahanan udara, dron, dan sistem radar.
Vietnam telah memperoleh pelbagai sistem senjata buatan Israel untuk memperkukuh keupayaan pertahanannya. Antara peralatan yang dibeli termasuklah, peluru berpandu Python, peluru berpandu Derby, dron Skylark, sistem radar EL/M-2085 dan sistem pertahanan udara Barak-8.
Selain itu, Vietnam juga telah bekerjasama dengan Israel dalam pengeluaran senjata kecil.
Sebagai contoh, Kilang Z111, sebuah kilang milik kerajaan Vietnam yang terletak di Thanh Hóa, telah bekerjasama dengan Israel Weapon Industries (IWI) untuk menghasilkan senjata api.
Kilang ini ditubuhkan pada tahun 1957 dan kini menghasilkan senjata untuk Tentera Rakyat Vietnam.
Kerjasama ini menunjukkan hubungan pertahanan yang erat antara Vietnam dan Israel.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.