Kebangkitan Delhi-Washington Dominasi Agenda Indo Pasifik
Washington cuba untuk memikat Delhi dalam memperkasa jalinan kesepaduan dalam memperkukuh benteng di Lautan Hindi dan juga arkipelago Asia Tenggara dalam memecah agenda tayangan kuasa Beijing.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Washington baru-baru ini telah mencipta lembaran baharu dalam konteks pertalian dua hala Delhi-Washington, dalam membentuk pakatan bersepadu terutamanya di Indo Pasifik untuk menangkis ancaman tradisional di mana China kekal menjadi faktor pengikat.
Washington cuba untuk memikat Delhi dalam memperkasa jalinan kesepaduan dalam memperkukuh benteng di Lautan Hindi dan juga arkipelago Asia Tenggara dalam memecah agenda tayangan kuasa Beijing.
Sejarah pertalian lampau yang menyaksikan kesenggangan hubungan Delhi-Washington yang dicetus isu termasuk rekod hak asasi manusia di bawah Modi dan juga hubungan rapat dengan Moscow dalam spektrum pertahanan dan respons Delhi terhadap perang Ukraine pada fasa awal, cuba diperbaiki dalam keperluan mendesak kedua-dua negara untuk menghadapi ancaman bersama dari China.
Sandaran terhadap prisma demokrasi sebagai negara demokrasi moden tertua dan juga negara demokrasi terbesar dunia tidak memadai dalam menongkah cabaran sistemik dalam pertalian dua hala ini. Delhi sedar tentang keperluan untuk mengubah rubrik berkecuali yang telah menjadi legasi haluan dasar luar Delhi sejak Nehru sehingga kini, dalam menghadapi perubahan dinamik keselamatan serantau yang kian menghakis impak positif daripada sandaran berkecuali ini.
Washington dilihat sebagai kritikal dalam percaturan baharu Delhi untuk mengurangkan kebergantungan kepada sandaran konvensional ekonomi dan pertahanan dalam orbit Asia dan Global South, dan membuka lembaran baharu dengan pemerkasaan jalinan dengan Barat.
Aspirasi Delhi di Indo Pasifik kekal dibayangi kuasa China yang konsisten dalam mempertahankan dominasi hegemoni rantau, dan ini memberikan ancaman berterusan kepada Delhi dalam memelihara keselamatan dan kedaulatannya, terutama selepas insiden pertempuran di pertikaian wilayah di Himalaya dan juga agenda Beijing dalam mengekang pengaruh kuasa Delhi melalui teori strings of pearls melalui percaturan strategik pangkalan kuasa dalam mengepung pilihan geostrategik India. Delhi kini berada dalam landasan paling cerah sejak berdekad lama dalam memacu keberadaan dan pengaruh kuasa ekonomi, ketenteraan dan soft power India dalam mencuri peluang untuk memperkukuh dominasi rantau dan memecah cengkaman Beijing yang bertapak sekian lama.
Washington memerlukan sandaran Delhi dalam memecah takuk kuasa Beijing, dan terpaksa mengubah rubrik pertalian dengan Delhi dengan klasifikasi baharu dalam merentasi cabaran hubungan konvensional. Beijing melihat Delhi sebagai anggota Quad yang paling lemah disebabkan oleh keengganan Delhi untuk menurut tuntutan Barat sepenuhnya dalam orientasi terhadap Moscow, dan Beijing cuba untuk mengintai peluang dalam menekan Delhi untuk mengekalkan status quo dasar luar berkecuali India untuk memastikan India tidak terjerumus dalam kancah pengaruh Barat.
Rekod kebangkitan India secara aman kerap diketepikan dan dibayangi oleh fokus global terhadap tindakan dan agenda Beijing di rantau ini, dan perhatian khusus tidak disalurkan kepada kepentingan geopolitik Delhi sebagai kuasa penyeimbang kritikal kepada kedua-dua Beijing dan Washington dalam percaturan penentangan kuasa masing-masing. Bagi Delhi, Washington juga dijadikan sandaran paling kritikal dalam menjamin kelangsungan dan kepentingan geostrategik di zon pertikaian dengan Beijing terutamanya di Himalaya dan juga persaingan maritim Lautan Hindi.
Delhi sedar tentang kelewatan dalam memasang agenda Indo Pasifik yang telah didominasi Beijing, dan ia memerlukan rangkaian sekutu yang berupaya dan boleh dipercayai dalam mengikat momentum ancaman Beijing, termasuk dalam domain ekonomi dan kekentalan benteng strategic integrated deterrence yang diajukan oleh Barat. Dalam usaha menangkis sasaran bersepadu Beijing, Delhi memerlukan sandaran Barat namun masih bergelumang dengan keterikatan pendirian berkecuali India.
Modi kini strategik dalam percaturan terbaharu untuk tidak terikat sepenuhnya dengan dasar berkecuali penuh yang diketengahkan oleh Nehru dan terus menyalurkan usaha bersasar untuk berdepan dengan ancaman lebih ketara dari Beijing. Pakatan dan jalinan strategik baharu dengan Washington dilihat oleh Modi sebagai model dan orientasi kritikal untuk menyisihkan Beijing, memikat Washington, memperkukuh faktor rundingan dengan Moscow, dan memperkuat haluan Delhi untuk muncul sebagai alternatif kuasa serantau dalam menggantikan spektrum kuasa Beijing.
Delhi turut sedar percaturan Beijing dan Moscow dalam menggunakan dasar India untuk mengekang percaturan Washington dalam menggunakan pengaruh India dalam dasar containment terhadap mereka, dan isu seperti tindakan Washington dalam memperkukuh hubungan dengan seteru lama India, Pakistan dalam usaha Uncle Sam untuk memecah rangkaian pengaruh Beijing di Islamabad cuba diketengahkan untuk Delhi menilai semula usaha merapatkan diri dengan Washington. Namun demikian, bagi Delhi, ancaman strategik terbesar adalah dari Beijing, dan percubaan Beijing untuk melemahkan kapasiti containment daripada Barat dengan memujuk Delhi untuk cuba meleraikan diri daripada orbit Barat dilihat sebagai percaturan lama yang tidak berkesan.
India semakin gusar tentang kepungan Beijing dari segi perluasan pengaruh dan kapasiti hard power di negara jiran termasuk Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka dan juga perluasan dominasi di Lautan Hindi sebagai sebahagian daripada agenda strings of pearls Beijing dalam mengekang pilihan India. Pertikaian di Himalaya kekal kritikal kepada kuasa tiga berangkai Delhi-Washington-Beijing. Barat akan mengharapkan Himalaya sebagai second front kepada pertembungan konflik dengan Beijing dengan harapan untuk melemahkan kapasiti Beijing untuk mengfokuskan keupayaan kuasa dalam menghadapi tentangan Barat di Laut China Selatan dan di Taiwan. Ini menimbulkan win-win situation untuk Delhi dan Washington. India memerlukan sokongan extended deterrence daripada Washington untuk memperkukuh benteng pertahanan Delhi dalam mencegah perluasan Beijing dan menghindar daripada percubaan untuk menggunakan pertikaian itu sebagai alat cengkaman kepada Delhi.
Bagi Washington, ia diperlukan untuk kekal sebagai aset geopolitik kritikal dalam mengikat China dari sudut geostrategik, terutamanya setelah unduran dari Afghanistan yang telah melemahkan keberadaan geostrategik di Asia Tengah dalam mengikat China dari bahagian Barat China. Pakistan dan Bangladesh turut berada di bawah radar Amerika dalam memecah jaringan pengaruh China. India kini memainkan peranan penting di rantau itu untuk menyeimbangi China, dan ini dipanjangkan kepada peranan di Lautan Hindi sehingga ke Laut Andaman dan pintu masuk Selat Melaka.
Kawalan dan kuasa ke atas Nicobar Island Chain di bawah Delhi menjadi nadi utama dalam percaturan untuk mengekang dominasi maritim dan kuasa laut China. Sepertimana persaingan untuk mendominasi kuasa atas First and Second Island Chains yang menjadi faktor keselamatan utama dalam kawalan ke atas Taiwan dan Laut China Selatan, dominasi di Lautan Hindi dan Selat Melaka menjadi agenda kritikal kedua, dan Delhi memerlukan sokongan berangkai daripada Washington untuk memperkukuh power projection Delhi di laluan perairan strategik ini.
Kapasiti kuasa laut India masih jauh di belakang China, dan Delhi memerlukan sandaran Washington untuk mengekalkan dominasi di perkarangan perairannya. Beijing telah lama mengorak langkah melalui BRI dan pembentukan aset geopolitik berharga di pelabuhan Gwaddar di Pakistan dan juga kemungkinan laluan perdagangan melalui Myanmar yang membolehkan laluan pendek terus ke Lautan Hindi tanpa melalui Laut China Selatan dan Selat Melaka. Ini menyukarkan percaturan Delhi dalam tindak balas dan strateginya yang dikenali sebagai necklace of diamonds dalam mematahkan keberkesanan strings of pearl China.
Washington turut menjadi sandaran Delhi untuk mencegah percubaan Beijing untuk memperkukuh tapak kuasa laut di sempadan perairannya. Strategi Barat dalam menjadikan Perth sebagai salah satu pangkalan strategik kapal selam berkuasa nuklear di bawah percaturan AUKUS menjadi gambaran kepada percaturan bijak Barat dalam menghalang kapasiti Beijing untuk memperkuat tayangan kuasa di Lautan Hindi yang membolehkan Beijing untuk memastikan kelancaran laluan perdagangan dan jaminan rantaian bekalan sumber minyak dan tenaga Beijing. Pangkalan di Perth menjadi aset kritikal bagi Barat dan Delhi untuk mengekang pilihan laluan Beijing ke Lautan Hindi, terutamanya di Selat Sunda dan Selat Lombok di perairan Indonesia yang menjadi pilihan laluan kapal selam Beijing.
Dengan dominasi Barat di Selat Melaka dan juga kawalan di pintu masuk Selat Melaka di perairan oleh India, Beijing semakin terperangkap dengan pilihan sedia ada. Dalam situasi realiti konflik, kesinambungan dan jaminan bekalan makanan, tenaga dan sumber kritikal menjadi pertaruhan utama dan kedua-dua India dan Amerika sedar bahawa hanya dengan gabungan dan sinergi kerjasama rapat dalam menggunakan kelebihan geostrategik dan aset bersama di laluan utama dan nukleus pertembungan dengan Beijing, akan menampilkan keberkesanan dalam menghadapi cabaran dari China.
Delhi dan Washington mempunyai ideologi politik demokrasi yang seiring, namun kompleksiti geopolitik menjadi halangan untuk memupuk dasar kepercayaan lebih tegar dan mendalam. Kebangkitan China menjadi faktor pengikat dan kapasiti friendshoring menjadi titik berat kepada usaha untuk melihat Delhi sebagai kuasa baharu yang paling kritikal dalam jaminan percaturan masa depan rantau Indo Pasifik. Walaupun Tokyo dan Seoul masih menjadi faktor taruhan penting, Delhi sesungguhnya menjadi perkiraan jangka panjang yang kritikal untuk Barat dan Washington terutamanya, Dengan kebangkitan ekonomi dan ketenteraan India yang kekal konsisten dan berpotensi tinggi untuk mendominasi spektrum kuasa holistik di rantau ini, ia menjadi jaminan kestabilan kepada rantau yang turut dinantikan oleh ASEAN dan pelaku serantau lain.
Agenda politik, ekonomi dan keselamatan Indo Pasifik telah sekian lama berkisar kepada kebangkitan dan impak kelakuan China sejak tiga dekad lalu. India kini tampil untuk menuntut statusnya sebagai kuasa besar dunia dan kuasa dominan rantau yang telah sekian lama dilitupi oleh pengaruh China. Hala tuju fulkrum keselamatan dan pembangunan Indo Pasifik bakal dilakar dan ditunjangi oleh Delhi.
COLLINS CHONG YEW KEAT
Hubungan Antarabangsa, Strategi dan Keselamatan
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com