Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Sedang Intai Kapal Pengangkut Helikopter/Pesawat Tentera Laut Itali Giuseppe Garibaldi ??

Portal pertahanan antarabangsa, Janes dalam laporannya yang memetik sumber Tentera Laut Itali itu berkata, sebarang persetujuan Indonesia untuk memperolehi ITS Giuseppe Garibaldi itu berkemungkinan meliputi perolehan 30 buah pesawat pejuang AV-8B Harrier II Short Take-Off Vertical Landing (STOVL).

0 10,049
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Negara tetangga, Indonesia dilaporkan sedang “mengintai” untuk memperolehi kapal pengangkut helikopter/pesawat ITS Giuseppe Garbaldi (C551) milik Tentera Laut Itali (Marina Militare).
Portal pertahanan antarabangsa, Janes dalam laporannya yang memetik sumber Tentera Laut Itali itu berkata, sebarang persetujuan Indonesia untuk memperolehi ITS Giuseppe Garibaldi itu berkemungkinan meliputi perolehan 30 buah pesawat pejuang AV-8B Harrier II Short Take-Off Vertical Landing (STOVL).
“Perolehan itu adalah selaras dengan rancangan Minimum Essential Force (MEF) Angkatan Laut Indonesia, yang meliputi sekurang-kurangnya empat buah kapal pengangkut helikopter, empat buah friget dan beberapa buah bot peronda,” menurut Janes.
Kapal pengangkut helikopter/pesawat ITS Giuseppe Garibaldi seberat lebih 13,000 tan itu telah dilancarkan pada 1985 dan pada Oktober tahun lepas telah diletakkan dalam simpanan Tentera Laut Itali selepas tugasnya diambil oleh kapal Landing Helikopter Dock terbaru negara itu,ITS Trieste.
Pada awal bulan lepas, Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL) menyatakan bahawa ia sedang menimbangkan kemungkinan untuk memiliki kapal pengangkut pesawat untuk meningkatkan lagi kemampuan operasi ketenteraan bukan peperangannya (non-war operations).
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Staf TNI-AL Laksamana Muhammad Ali.
ITS Giuseppe Garibaldi
ITS Giuseppe Garibaldi
“Nampaknya kita memerlukan kapal pengangkut pesawat untuk operasi ketenteraan bukan peperangan,” katanya dalam sidang media yang dipetik oleh agensi berita ANTARA sebelum menghadiri mesyuarat kepimpinan Tentera Laut di Markas Besar TNI-AL, Jakarta Timur.
Ketua Biro Informasi Pertahanan Kementerian Pertahanan Indonesia Frega Wenas sebagaimana dipetik oleh media tempatan menjelaskan bahawa rancangan pembelian kapal induk ini didorong oleh faktor geografi Indonesia.
Sebagai negara kepulauan yang kerap mengalami bencana alam katanya, kapal induk berperanan sebagai platform yang dapat mempercepatkan penghantaran bantuan dengan lebih berkesan.
Beliau menegaskan bahawa kapal induk yang dimaksudkan bukanlah kapal bersaiz besar dengan landasan untuk menerbangkan pesawat tempur.
Indonesia katanya tidak merancang kapal induk ini untuk tujuan projeksi kuasa (power projection) ke luar wilayah negara.
“Sebaliknya, kapal induk ini lebih kepada platform yang menyokong operasi short take-off and vertical landing (STOVL), seperti helikopter yang digunakan untuk mengangkut logistik semasa bencana. Segala aspek masih dalam kajian, dan salah satu opsyen yang dipertimbangkan adalah Landing Helicopter Dock (LHD),” kata Frega.
ITS Giuseppe Garibaldi
ITS Giuseppe Garibaldi
AV-8B Harrier II
AV-8B Harrier II Itali
Hubungan TNI-AL dengan Tentera Laut Itali sejak akhir-akhir ini adalah rapat.
Baru-baru ini, dua buah kapal kombat pelbagai guna (Multi Purpose Combat Ship) milik Tentera Laut Itali telah dinamakan semula kepada  KRI BRAWIJAYA-320 and KRI PRABU SILIWANGI-321 selepas ia dibeli oleh TNI-AL tahun lepas.
Indonesia membelanjakan Euro 1.18 billion (RM5.44 billion) untuk membeli kedua-dua buah kapal kelas-PPA (Pattugliatore Polivalente d’Altura) atau Thaon de Revel pada tahun lepas.
Dibina di limbungan kapal Riva Trigoso-Muggiano, ia adalah kapal perang terbesar milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Laut (TNI-AL).
Kedua-dua buah kapal itu mempunyai berat keseluruhan di antara 5,800 tan hingga 6,300 tan.
Sebelum dinamakan kepada KRI BRAWIJAYA-320 dan KRI PRABU SILIWANGI-321 selepas dibeli oleh Tentera Laut Indonesia, nama kedua-dua buah kapal perang Tentera Laut Itali itu adalah Marcantonio Colonna dan Ruggiero di Lauria.
KRI Brawijaya
KRI Brawijaya
Ia adalah kapal-kapal kelas-PPA kelima dan keenam Tentera Laut Itali dan dijadualkan diserahkan kepada Tentera Laut Indonesia pada tahun 2025.
Reka bentuk kapal-kapal kelas PPA itu yang versatil membolehkan kapal itu melaksanakan pelbagai jenis misi, daripada operasi hadapan tentera laut hingga rondaan maritim dan bantuan kemanusiaan.
Giuseppe Garibaldi (C 551) ialah sebuah kapal pengangkut ringan milik Tentera Laut Itali (Marina Militare) yang dinamakan sempena pemimpin ketenteraan Itali, Giuseppe Garibaldi.
Kapal ini mula berkhidmat pada 1985 dan merupakan kapal induk pertama yang dibina oleh Itali sejak Perang Dunia Kedua.
Ciri Utama:
  • Jenis: Kapal induk ringan (Light Aircraft Carrier)
  • Panjang: 180.2 meter
  • Lebar: 33.4 meter
  • Draf: 6.7 meter
  • Berat Penuh: ~13,850 tan metrik
  • Kelajuan: Sehingga 30 knot
  • Kuasa Penggerak: 4 enjin turbin gas (Rolls-Royce Olympus TM3B) dengan 4 aci pemacu
  • Kru: Sekitar 550 orang
Trieste
“ITS Trieste”
Persenjataan & Kapasiti:
  • Boleh membawa sehingga 16 pesawat, termasuk pesawat pejuang AV-8B Harrier II dan helikopter seperti SH-3 Sea King serta NH90.
  • Dilengkapi dengan sistem pertahanan udara seperti peluru berpandu Albatros (Aspide) dan meriam Oto Melara 40mm untuk perlindungan diri.
Peranan & Sejarah:
  • Berfungsi sebagai kapal utama kumpulan serangan dan menyokong operasi amfibi.
  • Pernah digunakan dalam operasi NATO seperti misi di Balkan pada 1990-an dan misi kemanusiaan serta ketenteraan yang lain.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.