(VIDEO) “Iskander” Russia Musnah Dua Sistem Pertahanan Udara “MIM-104 Patriot” Dlm Sehari
(VIDEO) Penganalisis tentera antarabangsa menyatakan ia adalah kemusnahan pertama sistem pertahanan udara “Patriot” yang telah berjaya direkodkan, dengan gambar dan rakaman video kemusnahan sistem itu kini tersebar meluas dalam media-media arus perdana dan sosial.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam apa yang diperkatakan sebagai hari yang “malang” kepada Ukraine, tentera Russia telah disahkan berjaya memusnahkan antara dua hingga tiga buah pelancar sistem pertahanan udara “MIM-104 Patriot” yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat dalam tempoh sehari.
Penganalisis tentera antarabangsa menyatakan ia adalah kemusnahan pertama sistem pertahanan udara “Patriot” yang berjaya direkodkan, dengan gambar dan rakaman video kemusnahan sistem itu kini tersebar meluas dalam media-media arus perdana dan sosial.
Kesemua pelancar sistem pertahanan udara “Patriot” dilaporkan telah musnah selepas ia dibedil dengan tepat oleh peluru berpandu taktikal “Iskander” milik Russia.
Agensi berita Russia, TASS melaporkan bahawa tiga buah sistem pelancar sistem pertahanan udara “Patriot” berjaya dimusnahkan oleh peluru berpandu “Iskander” manakala laporan lain menyatakan hanya dua pelancar sistem pertahanan udara itu musnah.
Insiden itu dilaporkan berlaku di Pokrovsk di Donetsk, Ukraine ketika tentera negara itu sedang memindahkan sistem pertahanan udara yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat, Jerman dan Belanda ke barisan hadapan tanpa perlindungan udara.
Tanpa perlindungan udara, terdapat kemungkinan besar pergerakan sistem pertahanan udara “Patriot” tentera Ukraine ke barisan hadapan itu telah dipantau oleh platform-platform ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaisance) Russia.
Ukraine dikatakan telah mengerakkan sistem-sistem pertahanan udara “Patriot” yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat ke sempadanya dengan Russia, bagi menangani serangan pesawat-pesawat kombat Russia ketika mereka masih berada di dalam ruang udara Russia.
Sejak kebelakangan ini, Russia dilaporkan mengesahkan “kehilangan” pesawat-pesawat kombatnya seperti Su-34, pesawat amaran awal (AWACS) “A-50” dan pesawat pengangkut akibat ditembak jatuh ketika mereka masih berada di dalam ruang udara negara itu.
Ia telah menyebabkan kejutan di dalam kalangan pemimpin tentera Russia, tetapi kejayaan memusnahkan dua buah sistem pertahanan udara “Patriot” milik Ukraine di Pokrovsk, di Donetsk sedikit-sebanyak memulihkan keyakinan mereka.
Setakat ini pihak Ukraine tidak menyatakan bilangan anggota tentera yang maut apabila sistem pertahanan udara “Patriot” dimusnahkan di Pokrovsk itu, tetapi terdapat juga laporan mendakwa antara yang terbunuh adalah warga Amerika Syarikat yang mengoperasikan sistem itu.
Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan dan sama ada warga Amerika Syarikat itu adalah anggota tentera negara itu atau bukan.
Sebuah sistem pertahanan udara “Patriot” itu dikatakan bernilai US$400 juta (RM1.86 bilion) manakala setiap peluru berpandunya pula dianggarkan bernilai US$6 juta (RM27 juta) setiap sebuah.
Kemusnahan dua buah sistem pertahanan udara “Patriot” milik Ukraine yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat dianggar telah mengakibatkan kerugian lebih daripada US$1 bilion (RM4.5 bilion) terhadap Washington dan Kiev.
Pada ketika ini, Ukraine dikatakan memiliki lima buah sistem pertahanan udara “Patriot” yang antara lain bertugas menjaga ruang udara ibu negara Kiev daripada serangan peluru-peluru berpandu jarak jauh dan hypersonik Russia.
Selama ini, sistem pertahanan udara “Patriot” dikatakan berkesan dalam menangani serangan peluru berpandu taktikal “Iskander” tetapi dalam insiden yang berlaku di Pokrovsk, peluru berpandu “Iskandar” dikenalpasti bertanggungjawab memusnahkan sistem pertahanan udara kebanggaan Amerika Syarikat itu. — DSA
Comments are closed.