Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Enggan Hantar Lebih Banyak Sistem “Patriot” Ke Ukraine — Penganalisis CIA

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita kurang mendengar berita tentang sistem pertahanan udara Patriot. Ia telah dihantar ke Ukraine tetapi dimusnahkan tidak lama selepas itu (serangan Mei 2023). Sama ada ia dimusnahkan atau sedang diperbaiki, sistem Patriot tidak terlibat dalam konflik,” kata bekas ejen CIA, Larry Johnson.

0 5,612

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Amerika Syarikat dilapor “teragak-agak” menghantar lebih banyak sistem pertahanan udara “Patriot” ke Ukraine selepas peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” Russia didakwa berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara canggih itu yang mengawal ruang udara Kiev Mei lalu.

Dipetik sebagai berkata di dalam You Tube, bekas ejen perisikan CIA (Central Intelligence Agency) Amerika Syarikat, Larry Johnson berkata, terdapat banyak persoalan pada ketika ini sama ada Washington masih meneruskan penghantaran sistem pertahanan udara “Patriot” ke Ukraine.

“Keengganan” meneruskan penghantaran sistem pertahanan udara “Patriot” ke Ukraine itu sedang hangat dibincangkan oleh komuniti penganalisis pertahanan antarabangsa, menurut Johnson.

“Kengganan” itu kata beliau, berpunca daripada kejayaan peluru berpandu hypersonik “Kinzhal” Russia berjaya memusnahkan bateri sistem pertahanan udara “Patriot” yang ditugaskan untuk memberikan perlindungan terhadap ruang udara ibu negara Kiev.

Washington kemungkinan bimbang jika lebih banyak sistem pertahanan udara “Patriot” itu akan dimusnahkan oleh peluru berpandu Russia sekiranya ia terus mengirim lebih banyak sistem pertahanan udara itu ke Ukraine.

Patriot
Sistem pertahanan udara “Patriot”.

 

Disebabkan Amerika Syarikat kini teragak-agak untuk menambah penghantaran sistem pertahanan udara “Patriot” ke Ukraine, ia telah mengirimkan sistem pertahanan udara yang kurang berkesan ke Ukraine sebagai pengganti kepada Patriot.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita kurang mendengar berita tentang sistem pertahanan udara Patriot. Ia telah dihantar ke Ukraine tetapi dimusnahkan tidak lama selepas itu (serangan Mei 2023). Sama ada ia dimusnahkan atau sedang diperbaiki, sistem Patriot tidak terlibat dalam konflik,” kata beliau.

“Kita (Amerika Syarikat) menghantar sistem-sistem pertahanan udara ke Ukraine, tetapi bukan Patriot,” kata Johnson.

Pada Mei lepas, Russia mendakwa serangan peluru berpandu hypersonik ”Kinzhal” telah berjaya memusnahkan sistem pertahanan udara “Patriot” buatan Amerika Syarikat yang mengawal ruang udara Kiev, ibu negara Ukraine.

Walaupun Ukraine menafikan dakwaan oleh Kementerian Pertahanan Russia itu, tetapi kenyataan daripada media-media Amerika Syarikat yang memetik sumber daripada Pentagon mengesahkan bahawa sistem pertahanan udara canggih “Patriot” miliknya telah mengalami “kerosakan” yang teruk akibat serangan peluru berpandu hypersonik itu.

Tidak musnah tetapi “rosak”, sebagaimana yang dinyatakan oleh stesen televisyen kabel terkenal Amerika Syarikat, CNN.

Kinzhal
Pesawat MiG-31 dengan peluru berpandu Hypersonik “Kinzhal.”

 

Laporan media Barat menyatakan bahawa sistem pertahanan “Patriot” itu dibedil oleh peluru berpandu hypersonik Kinzhal selepas sistem pertahanan udara canggih itu melancarkan kira-kira 30 butir peluru berpandu dalam tempoh dua minit terhadap peluru berpandu dan dron yang dilancarkan tentera Russia terhadap bandar Kiev.

Setiap sebutir peluru berpandu Patriot itu dianggarkan bernilai US$5 juta (RM20 juta), membawa nilai keseluruhan 30 butir peluru berpandu yang dilancarkan itu sebanyak US$150 juta (RM600 juta).

Walaupun selepas melancarkan peluru-peluru berpandu bernilai RM600 juta, sistem pertahanan udara Patriot itu tetap dimusnahkan atau mengalami “kerosakan” selepas itu.

Setiap bateri sistem pertahanan udara Patriot mempunyai enam stesen pelancar, yang setiap satunya membawa tiga kanister peluru berpandu itu.

Serangan peluru berpandu yang membedil sistem pertahanan udara Patriot di Kiev Mei lepas telah sedikit-sebanyak mencalar imej  sistem itu, yang digembar-gemburkan sebelum ini sebagai “jawapan tepat” Ukraine terhadap serangan udara sama ada oleh pesawat atau peluru berpandu oleh Russia.

Menurut tentera Ukraine, serangan terhadap bandaraya Kiev pada Mei lepas itu dilaksanakan Russia menggunakan enam butir peluru berpandu hypersonik Kinzhal yang dilancarkan oleh enam pesawat pejuang MiG-31K, sembilan peluru berpandu Kalibr dilancar oleh kapal-kapal perang di Laut Hitam dan enam dron Shahed. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...