Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Stok Peluru Berpandu Patriot “Membimbangkan”, Amerika Terpaksa Import Dari Jepun

Tindakan mengimport peluru berpandu PAC-2 dan PAC-3  untuk sistem pertahanan udara Patriot daripada Jepun itu akan memastikan Amerika Syarikat mampu memenuhkan kembali bekalan stok peluru berpandu sistem Patriot-nya yang jauh berkurangan akibat dihantar ke Ukraine, Israel dan beberapa negara Arab.

0 1,238

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Disebabkan kekurangan peluru berpandu PAC-2 dan PAC-3 yang digunakan oleh sistem pertahanan udara “Patriot”, Amerika Syarikat kini terpaksa mengimport beberapa dozen peluru berpandu terbabit (dipanggil interceptor) daripada Jepun untuk mengatasi masalah kekurangan yang  kritikal itu.

Tindakan mengimport peluru berpandu PAC-2 dan PAC-3  untuk sistem pertahanan udara Patriot daripada Jepun itu akan memastikan Amerika Syarikat mampu memenuhkan kembali bekalan stok peluru berpandu sistem Patriot-nya yang jauh berkurangan akibat dihantar ke Ukraine, Israel dan beberapa negara Arab.

“Dengan import peluru berpandu Patriot terbabit daripada Jepun itu, Washington kini mampu untuk menghantar lebih banyak peluru berpandu itu ke Ukraine daripada stok bekalannya bagi mempertahankan ruang udara daripada serangan udara tentera Russia.”

Ukraine sedang berhadapan dengan kekurangan dana bantuan ketenteraan daripada Washington menyebabkan ia terpaksa mengurangkan operasi-operasi ketenteraan bagi menangani serangan tentera Russia.

Kiev memerlukan lebih banyak bantuan ketenteraan daripada Washington dan sekutu Eropahnya, walaupun Amerika Syarikat dan Eropah telah menghulurkan bantuan bernilai lebih daripada US$100 bilion (RM450 billion) sehingga kini kepada Ukraine.

Patriot

Selain peluru berpandu Patriot, Ukraine juga berhadapan dengan kekurangan yang kritikal daripada segi peluru-peluru meriam 155mm.

Peluru-peluru berpandu bagi sistem pertahanan udara Patriot dimiliki oleh Jepun dibuat di dalam negara oleh syarikatnya, Mitsubishi Heavy Industries secara berlesen daripada RTX (dahulu dikenali sebagai Raytheon) dan Lockheed Martin.

Sebagai sebuah negara Pacifist, Jepun terpaksa mengubahsuai peraturan dalam negeri untuk merealisasi hasratnya untuk mengeksport peluru-peluru berpandu yang amat diperlukan untuk sistem pertahanan udara Patriot itu.

Menurut Tokyo, eksport peluru berpandu terbabit akan mengukuhkan lagi kerjasama ketenteraan di antara Jepun dan Amerika Syarikat.

Selain peluru-peluru berpandu untuk sistem pertahanan udara Patriot, Jepun juga bercadang mengeksport peluru meriam 155mm yang dibuatnya secara berlesen daripada syarikat BAE kepada United Kingdom.

Patriot

 

Bagaimanapun, penganalisis di rantau Indo-Pasifik mengkritik hebat tindakan Jepun mengeksport peluru berpandu sistem pertahanan udara Patriot itu ke Amerika Syarikat di kala China mendatangkan ancaman ketenteraan.

Mereka menyatakan bahawa dengan ekport itu juga menandakan bahawa China tidak akan melaksanakan serangan untuk menawan Taiwan dalam jangka masa terdekat ini.

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dipersalahkan kerana mengikut telunjuk Presiden Biden yang mementingkan Eropah dengan bantuan ketenteraan berterusan kepada Ukraine dan meninggalkan Indo-Pasifik berseorangan dalam menghadapi China. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

Comments
Loading...