Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) “Satu Demi Satu Kereta Kebal M1A1 Abrams Ukraine Musnah Dibedil Tentera Russia”

(VIDEO) Amerika Syarikat telah membekalkan 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams kepada tentera Ukraine, tetapi baru beberapa minggu dikerah ke medan pertempuran, satu demi satu kereta kebal Abrams terbabit berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia.

0 9,665

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah membekalkan 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams kepada tentera Ukraine, tetapi baru beberapa minggu dikerah ke medan pertempuran, satu demi satu kereta kebal Abrams terbabit berjaya dimusnahkan oleh tentera Russia.

Semalam pemerhati menyatakan tentera Ukraine telah kehilangan kereta kebal M1A1 Abrams mereka yang kedua dalam pertempuran untuk mempertahankan bandar Berdychi di wilayah Donetsk.

Seperti biasa kemusnahan kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang kedua itu telah dirakam oleh dron-dron pemantau Russia.

Kereta kebal seberat 70 tan itu yang dioperasikan oleh Briged Mekanis ke-47 Tentera Darat Ukraine dilaporkan terkena periuk api anti-kereta kebal yang ditanam oleh tentera Russia, menyebabkan ia tidak lagi beroperasi.

Sebaik sahaja terkena periuk api, krew kereta kebal M1A1 Abrams itu telah meninggalkannya dalam usaha untuk menyelamatkan diri mereka.

Rosak dan tidak lagi boleh bergerak akibat bedilan periuk api, kereta kebal M1A1 Abrams dioperasi tentera Ukraine itu kemudiannya dibedil oleh dron berani mati tentera Russia menyebabkannya musnah sepenuhnya.

Minggu lepas, kereta kebal M1A1 Abrams pertama dioperasikan oleh Ukraine telah disahkan musnah dipercayai akibat bedilan dron berani mati “Lancet” tentera Russia di kawasan pertempuran di Avdiivka.

Maklumat-maklumat menyatakan bahawa kereta kebal M1A1 Abrams pertama dimusnahkan oleh Russia itu pada mulanya telah dibedil oleh dron berani mati “Lancet” tentera Russia dan sebelum dibedil buat kali kedua oleh Rocket Propelled Grenade (RPG).

Dalam pertempuran yang sama, sebuah kenderaan kejuruteraan M1150 Assault Breacher Vehicle (ABV) yang menggunakan chasis kereta kebal M1A1 Abrams turut dimusnahkan oleh bedilan tentera Russia.

Pemerhati tentera menyatakan kehilangan kenderaan kejuruteraan M1150 ABV ini lebih “diratapi” oleh tentera Ukraine kerana bilangan kenderaan itu yang amat kecil di dalam tentera Ukraine.

Ia adalah kehilangan kedua kenderaan kejuruteraan M1150 ABV dalam tempoh seminggu ini, selepas kehilangan pertama kenderaan itu dalam pertempuran di Petrvis’ke berhampiran Avdiivka di Ukraine baru-baru ini.

 

Kenderaan kejuruteraan itu amat penting untuk tentera Ukraine, malah dikatakan kepentingan sebuah kenderaan M1150 ABV itu adalah bersamaan tiga atau empat buah kereta kebal M1A1 Abrams.

“Kehilangan (kenderaan kejuruteraan) adalah lebih menyakitkan bagi pihak musuh berbanding kemusnahan beberapa kereta kebal. Ini disebabkan tentera Ukraine kekurangan kenderaan kejuruteraan dan kewujudan beberapa lapangan-lapangan periuk api yang besar, maka bantuan peralatan-peralatan seperti kenderaan kejuruteraan M1150 ABV adalah semakin kritikal (untuk tentera Ukraine).”

“Kenderaan kejuruteraan adalah amat penting untuk anggota bersiap-sedia melakukan serangan,” menurut Rybar.

Penyokong-penyokong Ukraine mengharapkan kehadiran kereta kebal M1A1 Abrams seberat lebih 70 tan itu mampu memberikan kelebihan kepada tentera negara itu dalam menangani serangan armor oleh tentera Russia.

Abrams
Kenderaan kejuruteraan M1150 Assault Breacher Vehicle (ABV) berdasarkan kepada chasis kereta kebal M1A1 Abrams.

 

Beberapa bulan lepas, pegawai-pegawai tentera Ukraine telah pun memberikan amaran bahawa kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat itu mungkin tidak akan “bertahan lama” di medan peperangan.

Apatah lagi, kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine adalah daripada varian M1A1 yang dianggap telah “berusia” serta tidak dilengkapi dengan armor “depleted uranium” serta kemampuan terhad berbanding varian terkininya, M1A2. — DSA

 

Comments
Loading...