Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ketika Hubungan Tegang Dengan India, Maldives Kerah Dron Bayraktar TB2 Dari Turkiye

Selepas meminta tentera India keluar daripada negara itu, Maldives mengumumkan pula bahawa ia telah memperolehi dron Bayraktar TB2 daripada Turkiye untuk memantau kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) miliknya.

0 7,254

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas meminta tentera India keluar daripada negara itu, Maldives mengumumkan pula bahawa ia telah memperolehi dron Bayraktar TB2 daripada Turkiye untuk memantau kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) miliknya.

Kerajaan Maldives mahu menggunakan dron Bayraktar TB2 yang dibangunkan oleh syarikat Turkiye, Baykar Technology untuk memantau perairan ZEE miliknya seluas 900,0000 km persegi, sekaligus meningkatkan kemampuannya untuk memantau kepentingan maritimnya.

Dron berkuasa tinggi dipercayai diperolehi oleh kerajaan Maldives pada 3 Mac lalu dan beroperasi daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Maafaru di Noonu Atoll.

Selain dron yang diperolehinya daripada Turkiye, kerajaan Maldives juga bercadang memperolehi dron daripada China untuk tujuan sama berikutan lawatan presiden baru negara itu ke China baru-baru ini.

Tindakan Maldives memperolehi dron Bayraktar TB2 daripada Turkiye sudah semestinya tidak disenangi oleh India yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Ankara.

Maldives

Baru-baru ini, Maldives mengarahkan kira-kira 80 orang anggota tentera India keluar daripada negara itu sebelum Mei bagi memenuhi janji pilihanraya umum oleh presiden baru negara itu, Mohamed Muizzu.

India menempatkan 80 orang anggota tenteranya di Maldives untuk mengoperasi dan menyelenggara helikopter dan pesawat ringan disumbangkannya yang digunakan untuk operasi mencari dan menyelamat di pulau itu.

Muizzu yang dikatakan pro-China menjadi presiden negara itu pada November lepas di atas kempen “India Out.”

New Delhi sedaya-upaya mahu mengekalkan pengaruhnya di Maldives yang berada di kedudukan yang amat strategik berhampiran di Lautan Hindi, pada ketika pulau yang terkenal dengan sektor pelancongannya sedang “dipujuk” oleh China dengan pelaburan dan bantuan ekonomi.

China juga mahu berbaik-baik dengan Maldives.

INS Jatayu

Baru-baru ini, kerajaan Maldives telah membenarkan sebuah kapal penyelidik China “Xiang Yang Hong 3” untuk berlabuh di pelabuhan negara itu bagi membolehkan ia mendapatkan bekalan makanan dan minuman.

Kehadiran kapal penyelidik itu tidak disenangi oleh India yang mendakwa fungsi utama kapal penyelidik dasar laut itu adalah mengumpul maklumat dan data yang akan digunakan untuk operasi kapal selam China.

Dakwaan oleh New Delhi itu bagaimanapun dinafikan oleh China.

Tersentak dengan permintaan Maldives supaya anggota tenteranya meninggalkan pulau itu dan hubungan rapatnya dengan China, India secara tergesa-gesa telah mentauliahkan pangkalan tentera lautnya yang baru di Pulau Minicoy yang terletak di Kepulauan Lakshadweep, tidak jauh daripada Maldives.

Pangkalan tentera laut India yang dilengkapi dengan kemudahan radar, kapal perang dan sistem peluru berpandu “BrahMos” di pulau itu di namakan INS Jatayu.

Maldives
Kapal Xiang Yang Hong 3

 

Ia akan menjadi kemudahan tentera India bagi memantau perluasan pengaruh China di Lautan Hindi serta pergerakan kapal-kapal tentera lautnya di kawasan perairan yang strategic.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China telah menjalin hubungan yang lebih rapat dengan negara-negara pesisir Lautan Hindi dan membina kemudahan pelabuhan yang boleh digunakan oleh kapal-kapal awam dan tentera. — DSA

Comments
Loading...