Duta Perancis Nyata Komitmen Teruskan Pembinaan Kapal LCS Milik TLDM
Walaupun menerima "komitmen" daripada Perancis untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik TLDM itu, tetapi bagi kerajaan ia masih belum membuat keputusan sama ada sambung semula pembinaan kapal LCS itu atau membiarkannya "terbengkalai."
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Perancis telah menyatakan komitmennya untuk meneruskan projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berdasarkan kepada perjanjian asal, walaupun projek bernilai RM9 bilion itu berhadapan kelewatan selama 43 bulan.
Duta Perancis ke Malaysia Roland Galharague berkata, penglibatan dua syarikat di dalam projek pembinaan kapal perang itu, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dan Naval Group (dahulu DCNS) daripada Perancis perlu dikekalkan.
Beliau menaruh keyakinan yang tinggi bahawa projek pembinaan enam buah kapal perang termoden TLDM bernilai RM9.128 bilion itu akan dapat disiapkan tanpa sebarang masalah sebaik sahaja diteruskan semula.

“Apa yang saya boleh beritahu, projek ini akan diteruskan sehingga tamat dengan penglibatan Perancis walaupun penyertaan syarikat kami hanyalah kecil.
“Kami mahu siapkan projek.Tambahan pula ia ada adalah kerjasama Malaysia menerusi syarikat BNS dengan penglibatan secara kecil daripada syarikat Perancis, Naval Group. Kedua-dua syarikat akan terlibat dan itu adalah perjanjiannya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Baru-baru ini,Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein telah menyatakan hasrat beliau untuk mendapatkan bantuan Perancis dalam menyelesaikan isu pembinaan kapal perang itu.
Pada Januari lepas, Hishammuddin berkata bahawa Menteri Pertahanan Perancis Florence Parly akan melakukan lawatan ke Malaysia pada 23 Januari, di mana isu berkenaan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) milik TLDM bernilai RM9 bilion yang tertangguh sejak sekian akan dibincangkan.
“Kita akan meminta kerjasama kerajaan Perancis untuk membantu kita (kerajaan Malaysia) dalam usaha kita untuk memastikan semua perancangan untuk Littoral Combat Ship berjaya dilaksanakan,” kata beliau.
Bagaimanapun sebagaimana yang kita ketahui bahawa lawatan Menteri Pertahanan Perancis ke Malaysia yang dijadualkan pada 23 Januari itu gagal menjadi kenyataan tanpa sebarang sebab diberikan.
Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” Naval Group itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.
Comments are closed.