Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

RM6 Bilion Telah Dibayar Untuk Projek LCS Sehingga Oktober – PAC

0 897

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) memberitahu bahawa kerajaan telah membayar sebanyak RM6.083 bilion sehingga Oktober tahun ini bagi projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS).

Walaupun RM6.083 bilion telah dibayar sehingga Oktober lepas, tetapi “tidak ada sebuah kapal LCS dibina,” kata pengerusi PAC Wong Kah Woh sebagaimana dipetik oleh agensi berita Bernama dalam sidang media beliau di Dewan Rakyat hari ini.

PAC

“Pelantikan BNS Sdn Bhd dilakukan secara rundingan terus dan sehingga Oktober lalu, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar dan tidak ada sebuah kapal LCS siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS siap dibina setakat ini,” katanya.

Beliau berkata, PAC  akan memanggil bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal bulan depan. Turut akan dipanggil adalah bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS, Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.

PAC
Limbungan kapal Boustead Naval Shipyard.

PAC juga akan mengadakan lawatan ke tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak bulan depan.

Isu mengenai LCS itu menurut Wong turut dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/ Jabatan Persekutuan) dan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) diterbitkan pada 2019.

PAC
Sehingga kini tidak ada sebuah kapal LCS daripada enam dipesan oleh kerajaan berjaya dibina.

“PAC Parlimen memandang serius isu kegagalan pembekalan enam kapal peronda LCS oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) membabitkan nilai perolehan sebanyak RM9 bilion.

“Kegagalan penyiapan kapal LCS amat serius kerana ia membabitkan kelemahan dari segi tadbir urus, perolehan serta kewangan tetapi memberi impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara,” katanya.

Dua bulan lepas, bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong meminta supaya kerajaan menyiasat “kehilangan” dana RM1 bilion yang sepatutnya digunakan bagui projek pembinaan enam buah kapal LCS untuk TLDM.

Liew yang juga ahli Dewan Negara berkata, dakwaan kehilangan dana daripada projek itu amat serius.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...