Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Apakah Pengakhiran Projek Kapal LCS Kita?

0 1,718

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya episod sedih projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) belum menunjukkan penghujungnya, walaupun selepas sembilan tahun kontrak pembinaan kapal-kapal TLDM itu ditandatangani.

Rakyat Malaysia perlu menunggu lebih lama lagi untuk melihat kapal-kapal LCS itu siap. Lompong-lompong dalam kawalan perairan negara yang sepatutnya diisi oleh kapal-kapal LCS itu akan terus kosong untuk dieksploitasi oleh musuh-musuh negara, sebagaimana yang kini berlaku di  Beting Patinggi Ali) (Luconia Shoals).

LCS

Bayangkan… kontrak ditandatangani pada 2011 tetapi sehingga hari ini rakyat Malaysia masih belum nampak kelibat sebijik kapal LCS pun mencecah permukaan air walaupun berbilion ringgit sudah dibelanjakan.

Mungkin ada pihak yang “tersilap” dalam membaca kontrak pembinaan kapal LCS itu dan menyangka mereka sedang membina kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) berkuasa nuklear. Mungkin itulah “sebab” utama disebalik tempoh yang terlalu lama untuk pihak kontraktor utama menyiapkan kapal LCS  yang pertama dan lima buah yang lain.

LCS
Kapal Gowind Tentera Laut Mesir.

Drama LCS ini sedikit sebanyak juga memberikan gambaran sebenar terhadap kemampuan industri pertahanan kita, kemampuan industri pembinaan kapal, pengurusan projek, sikap terhadap pertahanan negara dan lain-lain lagi.

Menyedihkan, apatah lagi ia berlaku selepas satu lagi drama yang hampir sama membabitkan pembinaan kapal-kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV) untuk TLDM.

Apakah kita sudah lali dengan perkara-perkara begini dan menerimanya sebagai suatu kebiasaan untuk rakyat Malaysia. Kalau iya, kita boleh lupakan impian untuk menjadi negara maju.

LCS
Rekabentuk LCS TLDM adalah mengikut kapal Gowind.

Episod NGPV dan kini LCS (kedua-duanya melibatkan implikasi kewangan berbilion-bilion ringgit wang awam) telah menjadikan Malaysia sebagai bahan lawak negara-negara luar. (orang Zimbabwe pun gelak kat kita)

Terbaru Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Dewan Rakyat berkata, Kementerian Pertahanan sedang menimbang beberapa opsyen untuk menyelamatkan projek pembinaan kapal-kapal LCS oleh Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) bernilai RM9 billion.

Opsyennya adalah membiarkan BHIC menyelesaikan kontrak itu atau menamatkan kontrak dan melantik syarikat penyelamat.

LCS
Masih belum cecah air…

Opsyen yang lain adalah melantik Naval Group France untuk menyiapkan pembinaan dua buah kapal tetapi opsyen itu kata Menteri Pertahanan telah pun ditolak oleh Jemaah menteri.

Jika kerajaan memilih supaya BHIC menyiapkan projek ini, ia perlu melepaskan RM3 bilion lagi untuk projek ini, kata Ismail.

Mengikut kontrak, kapal LCS pertama sepatutnya diserahkan kepada TLDM pada 2017 tetapi dilengahkan kepada 2019 dan kini sudah hendak memasuki 2021, masih tiada bayang kapal pertama.

LCS
Kapal Gowind Tentera Laut Mesir.

Setakat ini masih belum ada maklumat tentang opsyen mana yang dipilih oleh kerajaan untuk menyelamatkan projek pembinaan kapal-kapal LCS ini.

Masa depan projek bernilai RM9 bilion ini masih terumbang-ambing lagi dan rakyat Malaysia pun tidak tahu sama ada mereka akan melihat kapal LCS TLDM berada di perairan mengawasi sempadan negara.

Mungkin juga kapal LCS yang direkabentuk dengan kemampuan halimunan akan kekal “halimunan” daripada pandangan rakyat Malaysia untuk selama-lamanya.

LCS
Peluru berpandu anti kapal “NSM”

Satu lagi persoalan adalah, apa akan jadi kepada persenjataan, sistem sensor dan elektronik yang kontraknya telah ditandatangani sebelum ini.

Pasti sistem-sistem yang sepatutnya antara paling moden di pasaran sudah pasti lapuk sebelum ia dapat dipasang di kapal-kapal LCS. Peluru berpandu anti-kapal, NSM buatan firma Norway, Kongsberg pun sudah lemau.

Maklumlah, sudah hampir 10 tahun kontrak LCS ini berjalan dan nampak gaya penantian untuk kapal pertama LCS negara akan terus berlarutan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...