India Tolak F-35 Kerana Bimbang Kewujudan “Perisian Boleh Dinyahaktif Dari Jauh” – Dakwa Pakar Rusia

Keputusan India menolak F-35 dan beralih kepada Su-57E Rusia membawa mesej strategik kepada Washington dan mengubah imbangan kuasa udara di Indo-Pasifik.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India sepenuhnya sedar akan risiko strategik yang bakal dihadapi sekiranya memperoleh pesawat pejuang halimunan F-35 dari Amerika Syarikat, berikutan kebimbangan bahawa versi eksport pesawat itu dilengkapi dengan perisian dan perkakasan tersembunyi yang boleh diaktifkan dari jauh atau “Kill Switch”.

Menurut Pengarah Pusat Analisis Perdagangan Senjata Dunia (CAWAT) yang berpangkalan di Moscow, Igor Korotchenko, perisian dan perkakasan tersembunyi ini—yang beliau istilahkan sebagai “malware” atau “back door”—tertanam dalam sistem avionik canggih pesawat tersebut, dan boleh dimatikan sepenuhnya oleh Washington pada bila-bila masa.

Amaran itu hadir ketika pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, meningkatkan tekanan politik dan ekonomi terhadap New Delhi, termasuk pengenaan tarif import yang tinggi sehingga 50 peratus berikutan tindakan India terus-menerus membeli minyak dan gas dari Rusia.

Korotchenko menegaskan bahawa reaksi negatif India terhadap ugutan Trump adalah wajar dan sah bagi sebuah kuasa besar yang mempertahankan kedaulatannya.

“Dalam keadaan ini, cubaan Washington untuk memaksa penjualan F-35 kepada India dilihat di New Delhi sebagai risiko strategik,” jelas Korotchenko.

Russia
Su-57

Beliau menambah, “Pesawat generasi kelima F-35 merupakan ancaman sebenar kepada Tentera Udara India sekiranya dibekalkan dalam konfigurasi eksport yang telah dikompromi.”

Korotchenko mendakwa versi eksport F-35 yang dibekalkan bukan sahaja kepada negara bukan NATO malah kepada sekutu rapat Amerika yarikat juga mengandungi kelemahan sistem yang disengajakan.

“Kelemahan ini boleh diaktifkan pada bila-bila masa menerusi isyarat elektronik luaran daripada agensi Amerika Syarikat, sekali gus ‘menyahfungsikan’ pesawat tersebut,” katanya.

Sekiranya India membeli F-35, beliau memberi amaran, negara itu akan menjadi bergantung secara strategik kepada Washington, yang berupaya mematikan pesawat-pesawat tersebut sekiranya ia digunakan dalam operasi yang bertentangan dengan kepentingan geopolitik AS.

Memandangkan risiko itu, New Delhi lebih cenderung mengekalkan kerjasama ketenteraan-teknikal jangka panjangnya dengan Rusia.

India telah membina kepakaran luas menerusi pengeluaran berlesen pesawat Su-30MKI dan kini melihat Su-57E Rusia sebagai alternatif generasi kelima yang lebih selamat dari segi kedaulatan.

Korotchenko menegaskan bahawa kelebihan terbesar Su-57E adalah rekod keberkesanannya dalam konflik sebenar menentang sistem serangan udara, pertahanan udara, dan peperangan elektronik moden Barat.

Dalam langkah strategik yang dilihat sebagai tamparan diplomatik kepada Washington, India secara rasmi menolak tawaran F-35 daripada AS.

Keputusan ini menunjukkan bahawa Su-57E berpotensi menjadi pesawat tempur generasi kelima pilihan utama New Delhi untuk mengimbangi kekuatan udara China dan Pakistan yang semakin berkembang.

Langkah itu menandakan perubahan besar dalam keutamaan pertahanan India, daripada bergantung kepada sistem Barat yang terhad integrasinya kepada platform yang menyokong pembangunan senjata tempatan di bawah inisiatif “Atmanirbhar Bharat” atau “India Berdikari”.

Penolakan ini berlaku beberapa bulan selepas Presiden Trump sendiri menawarkan F-35 kepada Perdana Menteri Narendra Modi semasa lawatan beliau ke Rumah Putih pada Februari lalu.

Bagaimanapun, pegawai India menyatakan mereka tidak berminat dengan platform “siap guna” sebaliknya mahukan kerjasama strategik yang memberi tumpuan kepada pembuatan tempatan dan autonomi sistem sepenuhnya.

Tawaran Rusia untuk Su-57E termasuk akses penuh kepada kod sumber—sesuatu yang digambarkan penganalisis sebagai “mengubah landskap strategi”—yang membolehkan integrasi tanpa halangan bagi misil, sistem peperangan elektronik dan komputer misi buatan India.

Akses seperti ini dianggap sebagai “holy grail” dalam urus niaga pertahanan global, yang tidak pernah ditawarkan oleh AS untuk F-35 atau oleh Perancis untuk Rafale.

Seorang pegawai kanan pertahanan India mengakui, “Keengganan Perancis untuk berkongsi kod sumber kritikal kekal menjadi isu besar kepada perancang pertahanan India, terutama dalam usaha mengoperasikan sistem senjata tempatan di semua platform.”

Dassault Aviation, pembuat Rafale, telah lama enggan berkongsi akses kepada subsistem kritikal seperti radar Thales RBE2 AESA dan Modular Mission Computer, dengan alasan hak harta intelek dan kawalan eksport antarabangsa.

India telah menyiapkan pembelian 36 Rafale bernilai €7.8 bilion (RM37.5 bilion / USD 8.4 bilion) pada 2022, ditempatkan di pangkalan Ambala dan Hasimara berhampiran Pakistan dan China.

Pada April 2025, India menandatangani kontrak tambahan dengan Perancis untuk 26 Rafale M versi kapal pengangkut bagi INS Vikrant dan INS Vishal, dengan penghantaran antara 2028 dan 2030.

Namun, kekangan akses kod sumber telah mencetuskan perdebatan baharu tentang autonomi strategik jangka panjang India dan keupayaan menyesuaikan pesawat asing dengan sistem tempatan seperti misil Astra Mk2 dan senjata SAAW.

Sebaliknya, pakej Su-57E bukan sahaja menawarkan ciri halimunan dan keupayaan super-manoeuvrability, malah membenarkan integrasi teknologi yang selari dengan program naik taraf “Super-30” India.

Varian Su-57E yang ditawarkan merangkumi radar AESA berasaskan Gallium Nitride (GaN), komputer misi buatan India, serta potensi pembangunan bersama avionik dan sistem senjata dengan HAL dan DRDO.

India kini mengoperasikan lebih 270 pesawat Su-30MKI yang menjadi tulang belakang armada tempurnya, dihasilkan bersama Rusia dan sedang dinaik taraf secara menyeluruh di bawah inisiatif “Super Sukhoi”.

Naik taraf itu meliputi kokpit kaca, komputer misi DRDO, radar AESA, serta integrasi senjata buatan India seperti Astra Mk1/2 dan Rudram, selain senjata jarak jauh Rusia seperti BrahMos-A dan R-77-1.

Sumber menyatakan bahawa jika India meneruskan pembelian Su-57E, ia akan memperoleh sekitar 50–60 pesawat bagi membentuk sekurang-kurangnya tiga skuadron operasi untuk menghalang ancaman dari J-20 China dan J-10C serta JF-17 Block III Pakistan yang dilengkapi misil jarak jauh PL-15.

Radar AESA N036 Byelka pada Su-57E memberikan liputan 360 darjah dengan fungsi ECM/ECCM canggih untuk persekitaran peperangan elektronik yang padat.

Enjin berkembar AL-41F1 dengan muncung tujahan vektor membolehkan manuver ekstrem selepas kehilangan daya angkat, memberi kelebihan dalam pertempuran jarak dekat dan mengelak misil.

Ciri halimunan pesawat ini termasuk lapisan penyerap radar, ruang simpan senjata dalaman dan reka bentuk rangka yang mengurangkan jejak radar serta inframerah.

Senjata yang boleh dibawa termasuk misil udara-ke-udara R-74M2 dan R-77M, peluru berpandu Kh-38 dan Kh-59MK2, serta kemungkinan membawa misil hipersonik Kh-47M2 Kinzhal untuk serangan jarak jauh—sesuatu yang tiada pada mana-mana pesawat India ketika ini.

Su-57E mula diperkenalkan kepada dunia di Aero India 2021 dan kini ditawarkan kepada negara terpilih seperti Algeria, Vietnam, Myanmar, dan India sebagai pelanggan strategik paling berpotensi.

Minat India berpunca daripada keperluan operasi segera bagi menghadapi ancaman dua-front serta mengurangkan pergantungan kepada ekosistem pertahanan Barat.

Sekiranya diperoleh, Su-57E bukan sahaja akan menjadi pesawat tempur generasi kelima, malah aset geopolitik yang mempamerkan kebebasan ketenteraan India dalam landskap kuasa Indo-Pasifik yang sedang berubah.

Dalam bulan-bulan mendatang, keputusan akhir India berpotensi membentuk hala tuju kuasa udara Asia untuk beberapa dekad dan mendefinisikan semula persaingan geopolitik AS-China dari sudut pandang India.

alamat

Leave a Reply