Boustead Beri Kerjasama Pada SPRM Dalam Siasatan Projek LCS RM9 Bilion
Semalam, SPRM menahan seorang broker bagi membantu siasatan berhubung mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu dianggarkan bernilai RM 24 juta berkaitan kontrak perolehan enam buah kapal LCS. Ia menyusuli penahanan dua CEO beberapa hari lepas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain dalam apa-apa siasatan berkenaan projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion.
“Kami menentang segala bentuk rasuah dan akan terus menangani isu yang ditonjolkan oleh auditor dalaman dan luaran serta memenuhi jangkaan oleh pihak lembaga pengarah kami dan pemegang taruh kerajaan,” kata BHIC dalam satu kenyataan hari ini.
Syarikat juga akan bekerjasama rapat dan telus dengan kerajaan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pihak-pihak lain termasuk vendor dan kontraktor di dalam 12 bulan akan datang ini dalam mencari jalan untuk memastikan projek LCS dapat dilaksanakan dengan baik.
Pada November tahun lepas, BHIC telah membuat laporan di SPRM bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam projek LCS itu.
Semalam, pihak SPRM menahan seorang broker bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta berkaitan kontrak perolehan enam buah kapal LCS.

Difahamkan, suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.
Penahanan broker semalam itu menyusuli penahanan dua orang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal perang itu beberapa hari lepas.
Kedua-dua mereka berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM, lewat petang semalam.

Jurucakap SPRM, berkata kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.
“Seorang daripada mereka juga disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek itu,” katanya.
Comments are closed.