Pesawat F/A-18 Hornet Kuwait Rekod Jam Penerbangan 1,500 Hingga 3,000 Jam Sahaja

TUDM sahkan pesawat F/A-18 Hornet Kuwait hanya merekodkan 1,500–3,000 jam penerbangan, jauh lebih rendah berbanding Hornet Malaysia, memberi peluang pemanjangan hayat operasi sehingga dua dekad lagi.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hasil penilaian dilakukan oleh Pasukan Teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapati pesawat-pesawat pejuang F/A-18 milik Tentera Udara Kuwait (KAF) merekodkan jumlah jam penerbangan yang relatif rendah iaitu sekitar 1,500 hingga 3,000 jam.

Dalam jawapan lisan kepada soalan Oscar Ling Chai Yew (DAP-Sibu), Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, jumlah jam penerbangan pesawat pejuang F/A-18 KAF itu rendah berbanding jumlah jam penerbangan pesawat pejuang F/A-18D TUDM di antara 4,000 hingga 6,000 jam.

Kata beliau, jangka hayat operasi pesawat F/A-18C/D Hornet, lazimnya adalah antara 6,000 hingga 8,000 jam penerbangan atau sekitar 30 tahun perkhidmatan, bergantung kepada tahap penyelenggaraan, corak penggunaan dan program peningkatan keupayaan yang dilaksanakan.

“Pasukan Teknikal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan lawatan fizikal dan penilaian (assessment) ke Kuwait pada Jun 2024. Hasil penilaian mendapati pesawat F/A-18 KAF merekodkan jumlah jam penerbangan yang relatif rendah, iaitu sekitar 1,500 hingga 3,000 jam berbanding pesawat F/A-18D TUDM sedia ada yang telah mencatat antara 4,000 hingga 6,000 jam penerbangan.”

“Sekiranya perolehan ini dimuktamadkan, pihak TUDM mengunjurkan pesawat F/A-18 KAF ini dapat terus dioperasikan bersama pesawat F/A-18D TUDM sedia ada sekurang-kurangnya sehingga tahun 2040 tertakluk kepada kerangka dan sistem, penyelenggaraan serta penyesuaian dengan operasi semasa TUDM,” kata Menteri Pertahanan Malaysia itu.

Kuwait
Pesawat F/A-18 Tentera Udara Kuwait

Pesawat pejuang F/A-18D Hornet ialah varian dwi-tempat duduk (tandem seat) daripada keluarga McDonnell Douglas (kini Boeing) F/A-18 Hornet, yang direka sebagai pesawat pelbagai peranan (multirole fighter) untuk operasi dari darat dan kapal induk.

Bulan lepas, Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pihaknya akan melakukan penilaian teknikal terhadap 38 pesawat F/A-18 Hornet milik KAF September ini.

Beliau  berkata, pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat sebagai pengeluar pesawat berkenaan untuk melakukan penilaian teknikal itu.

“Selepas pihak negara pengeluar (Amerika Syarikat) memberikan kelulusan untuk perolehan pesawat berkenaan, TUDM kini boleh melihat dokumentasi dan rekod berkaitan pesawat berkenaan dan kami sudah mempersiapkan pasukan untuk membuat penilaian di sana.

“Mereka dijangka berlepas ke Kuwait September ini untuk menilai kesesuaian pesawat ini untuk dibeli, proses penilaian dijangka mengambil masa antara tiga minggu untuk mereka menilai semua dokumen dan rekod mengenai pesawat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-21 di Pangkalan Udara Subang.

Norazlan berkata, penilaian teknikal berkenaan adalah penting bagi melihat aspek kesesuaian pesawat berkenaan terutamanya membabitkan isu penyelenggaraan.

Panglima TUDM sebelum ini, Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan mengesahkan bahawa Washington telah memberikan kelulusan yang diperlukan untuk meneruskan rundingan pemerolehan tersebut.

Sementara itu Mohamed Khaled dalam jawapannya di Parlimen itu juga mengulas tentang kos peningkatan separuh hayat (mid-life upgrade) pesawat-pesawat pejuang F/A-18 milik KAF, sekiranya TUDM memilikinya kelak.

“Berhubung dengan kos peningkatan separuh hayat (mid-life upgrade), pada masa ini TUDM belum merancang untuk melaksanakan apa-apa program pemanjangan separuh hayat ke atas pesawat F/A-18 KAF dalam tempoh terdekat memandangkan pesawat ini dilengkapi dengan perisian pemantauan 25X yang sama seperti pesawat F/A-18D TUDM sedia ada,” kata beliau.

Walau bagaimanapun kata Mohamed Khaled, TUDM kini sedang melaksanakan program naik taraf pesawat F/A-18D TUDM ke perisian pemantauan 29C yang dijangka siap pada penghujung tahun 2026.

Menteri Pertahanan berkata, kajian terperinci sedang dijalankan untuk menilai sama ada pesawat F/A-18 KAF juga wajar dinaik taraf ke standard yang sama.

“Penilaian fizikal penuh ke atas semua pesawat F/A-18 KAF dijangka akan dilaksanakan pada September 2025 bagi menentukan keperluan penilaian teknikal dan kos anggaran yang akan terlibat.”

“Kementerian Pertahanan melalui TUDM akan memastikan setiap perolehan dan program penyelenggaraan dilaksanakan mengikut analisis kos-manfaat (cost benefit analysis) selaras dengan keperluan operasi semasa dan aspirasi Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55),” kata beliau.

Proses perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik KAF itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat, namun Malaysia masih perlu menunggu sehingga Kuwait menerima pesawat F/A-18E/F Super Hornet yang dibeli daripada Amerika Syarikat sebelum proses pemindahan dapat dimuktamadkan.

Di bawah peruntukan Arms Export Control Act Amerika Syarikat, sebarang pemindahan aset ketenteraan buatan negara itu – termasuk yang telah dimiliki negara ketiga – perlu mendapat kelulusan rasmi daripada Kongres Amerika Syarikat.

Mohamed Khaled sebelum ini menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang yang dibeli oleh Kuwait pada awal 1990-an itu berada dalam keadaan baik dan sesuai untuk terus dioperasikan.

Dalam lawatan beliau ke Kuwait pada Oktober tahun lalu, negara Teluk itu telah menyatakan tiada halangan terhadap hasrat Malaysia untuk mendapatkan pesawat pejuang Hornet mereka.

Ketika ini, TUDM mengoperasikan lapan pesawat F/A-18D Hornet dan 18 buah pesawat Sukhoi Su-30MKM dalam inventori jet pejuangnya.

TUDM juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian pemerolehan 18 pesawat tempur ringan FA-50M buatan Korea Selatan bagi menggantikan pesawat BAE Hawk 208/108 yang telah menamatkan khidmatnya.

Namun begitu, FA-50M itu hanya dijangka mula diterima mulai tahun hadapan, menjadikan perolehan F/A-18 terpakai daripada Kuwait sebagai solusi sementara yang strategik dan menjimatkan untuk mengekalkan kesiapsiagaan udara negara.

Sejak diperkenalkan selepas Perang Teluk 1991, pesawat F/A-18 Hornet telah menjadi tunjang kekuatan udara taktikal Kuwait dan memainkan peranan penting dalam strategi pertahanan udara negara itu.

Kuwait memperoleh 32 pesawat F/A-18C dan lapan pesawat F/A-18D melalui program Foreign Military Sales (FMS) dengan Amerika Syarikat sebagai langkah pemodenan selepas pencerobohan oleh Iraq.

Pesawat generasi keempat pelbagai peranan ini terkenal dengan keupayaan tempur udara-ke-udara dan udara-ke-darat serta kemampuan operasi dalam pelbagai cuaca dan situasi, termasuk dari kapal induk.

Sepanjang dua dekad lalu, pesawat-pesawat ini telah menerima pelbagai naik taraf seperti radar baharu, avionik canggih dan sistem peperangan elektronik bagi memastikan ia kekal relevan dalam senario peperangan moden.

Hornet milik Kuwait juga kerap terlibat dalam latihan gabungan dan misi operasi sebenar bersama pasukan bersekutu di Timur Tengah, sekaligus membuktikan kesesuaian dan kebolehpercayaan platform ini dalam operasi ketenteraan.

Meskipun berusia lebih tiga dekad, pesawat-pesawat tersebut masih dianggap berada dalam keadaan struktur yang baik dengan kadar penggunaan yang rendah serta rekod penyelenggaraan yang cemerlang.

Kini, dengan ketibaan pesawat baharu F/A-18E/F Super Hornet yang lebih canggih dan dibangunkan di bawah kontrak bernilai AS$1.5 bilion (RM7.05 bilion) dengan Amerika Syarikat, Kuwait bersiap sedia untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat pejuang Hornet legasi mereka secara berperingkat.

Langkah ini bukan sahaja membuka peluang strategik kepada Malaysia, malah membolehkan negara memperoleh pesawat berprestasi tinggi dengan kos yang lebih efektif serta keserasian penuh dengan infrastruktur F/A-18D sedia ada.

Bagi Kuwait pula, peralihan ini menandakan transformasi besar dari platform era Perang Dingin kepada jet tempur generasi baharu yang lebih bersepadu secara digital dan mampu melaksanakan misi jarak jauh.

Dalam masa yang sama, Kuwait turut melaksanakan program pemodenan udara bernilai berbilion dolar yang turut menyaksikan perolehan 28 pesawat Eurofighter Typhoon – termasuk 22 varian satu tempat duduk dan enam varian dua tempat duduk – melalui kontrak bernilai €7.96 bilion (RM39.8 bilion) yang dimeterai dengan Itali pada 2016.

Typhoon yang diterima oleh Kuwait merupakan antara konfigurasi tercanggih, dilengkapi radar AESA Captor-E dan sistem pertahanan elektronik terkini.

Sehingga kini, sebanyak 13 buah pesawat Typhoon telah diterima oleh Tentera Udara Kuwait secara berperingkat sejak penghantaran pertama pada Disember 2021, dengan baki 15 buah lagi dijadualkan sampai pada tahun ini.

Dalam masa yang sama, kesemua 28 pesawat Super Hornet Kuwait – terdiri daripada 22 varian F/A-18E dan enam varian F/A-18F – telah siap dibina oleh Boeing dan diserahkan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat sebagai langkah interim sebelum diserahkan secara rasmi kepada Kuwait.

Penyerahan akhir masih tertangguh kerana kerja-kerja penaiktarafan kemudahan pangkalan udara di Ahmed Al-Jaber masih dijalankan, selain proses persiapan logistik dan latihan.

Gabungan dua platform ini akan membentuk tulang belakang kekuatan udara Kuwait dalam dekad-dekad mendatang, sekaligus menjadikannya antara kuasa udara paling moden di rantau Teluk.

Malaysia, yang kini berada dalam fasa rundingan akhir bagi memperoleh pesawat Hornet terpakai Kuwait, berpeluang meningkatkan keupayaan udara dengan pantas dan kos efektif dalam situasi geopolitik yang semakin mencabar di rantau ini.

Asal-usul F/A-18 Hornet

F/A-18 Hornet mula dibangunkan pada akhir 1970-an untuk memenuhi keperluan Tentera Laut dan Kor Marin Amerika Syarikat sebagai pesawat tempur yang mampu melaksanakan misi udara-ke-udara (fighter) dan udara-ke-darat (attack) dengan tahap keberkesanan tinggi.
Varian F/A-18D mula diperkenalkan pada penghujung 1980-an dan awal 1990-an sebagai model dwi-tempat duduk yang dioptimumkan untuk misi serangan tepat, pengintipan, peninjauan bersenjata, dan operasi malam dalam semua keadaan cuaca.

Reka Bentuk & Ciri-ciri Utama

  1. Kokpit Dwi-tempat Duduk
    • Juruterbang di hadapan dan Weapon Systems Officer (WSO) di belakang, membolehkan pembahagian tugas antara penerbangan dan pengendalian senjata/avionik.
    • Semua sistem kawalan penerbangan adalah fly-by-wire, memberikan tindak balas yang tepat dan stabil.
  2. Enjin
    • Dikuasakan oleh dua enjin General Electric F404-GE-402 turbofan.
    • Setiap enjin menghasilkan daya tujahan kira-kira 7,258 kg (16,000 lbf) dengan afterburner.
    • Kelajuan maksimum sekitar Mach 1.8.
  3. Dimensi
    • Panjang: ±17.07 meter
    • Rentang sayap: ±12.3 meter
    • Tinggi: ±4.66 meter
    • Berat maksimum berlepas (MTOW): ±23,500 kg
  4. Sistem Avionik & Deria
    • Radar pelbagai mod AN/APG-73 (kemudian dinaik taraf).
    • Paparan “multi-function displays” (MFD) untuk kedua-dua kru.
    • Keupayaan Forward-Looking Infrared (FLIR), kamera malam, dan sistem laser untuk pengeboman tepat.
    • Boleh dilengkapkan dengan pod peninjauan ATARS (Advanced Tactical Airborne Reconnaissance System) bagi misi ISR.

Persenjataan

F/A-18D Hornet mempunyai 11 hardpoints (stesen gantung) untuk membawa pelbagai jenis persenjataan:

  • Senjata udara-ke-udara: AIM-9 Sidewinder, AIM-7 Sparrow, AIM-120 AMRAAM.
  • Senjata udara-ke-darat: bom pintar JDAM, Paveway LGB, roket Hydra, AGM-65 Maverick, AGM-84 Harpoon.
  • Meriam dalaman: 1 × M61A1 Vulcan 20mm (578 butir peluru).
  • Boleh membawa kombinasi persenjataan untuk misi multi-role dalam satu penerbangan.

Peranan Operasi

  • Misi Serangan Tepat: Menggunakan bom berpandu laser/GPS.
  • Misi Peninjauan: Dengan pod ATARS atau sistem kamera beresolusi tinggi.
  • Pertempuran Udara-ke-Udara: Sebagai pesawat pencegat atau perlindungan udara.
  • Operasi Malam & Semua Cuaca: Berkat avionik moden dan keupayaan penggunaan peralatan malam.

Keseimbangan Kuasa Udara Serantau: Implikasi Strategik untuk Asia Tenggara

Sekiranya Malaysia memuktamadkan pembelian armada pesawat F/A-18 Hornet milik Kuwait, ia akan menandakan salah satu perubahan paling signifikan dalam landskap kuasa udara tempur Asia Tenggara Maritim dalam tempoh lebih sedekad.

Ketika ini, kekuatan operasi tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terdiri daripada 26 buah pesawat pejuang — lapan F/A-18D Hornet dan 18 Su-30MKM Flanker-H pelbagai peranan.

Penambahan pesawat F/A-18C/D Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) yang mencatat jam penerbangan rendah berpotensi meningkatkan jumlah ini kepada lebih 40 pesawat pelbagai peranan, suatu lonjakan keupayaan yang jarang dapat dicapai oleh mana-mana angkatan udara serantau dalam tempoh singkat tanpa melibatkan program perolehan bernilai berbilion dolar.

Peningkatan pesat ini bukan sahaja mampu menutup jurang liputan pertahanan udara sedia ada, malah mengurangkan perbezaan angka dengan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) yang memiliki lebih 60 pesawat tempur moden, termasuk F-15SG Strike Eagle, F-16C/D Block 52+ yang dinaik taraf, serta pesawat generasi kelima F-35B Lightning II yang bakal diterima.

Walaupun Singapura kekal mempunyai kelebihan teknologi, khususnya dalam peperangan berpusat rangkaian dan serangan tepat jarak jauh, pertambahan bilangan pesawat sedia terbang Malaysia akan mengembalikan sedikit keseimbangan strategik dari segi keupayaan pencegahan pada waktu aman.

Langkah ini juga akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam mengimbangi pemodenan udara Indonesia, yang merangkumi rancangan perolehan 42 pesawat Dassault Rafale F4, F-16V Viper yang dinaik taraf, serta kemungkinan kemasukan prototaip KF-21 Boramae untuk penilaian.

Kemasukan Hornet Kuwait akan memberikan TUDM keupayaan melaksanakan rondaan udara tempur (CAP) yang lebih lama dan berterusan di Laut China Selatan serta laluan maritim strategik seperti Selat Melaka dan Selat Sunda.

Ia turut meningkatkan kekerapan dan skala latihan udara serta maritim bersama rakan strategik seperti Australia, Amerika Syarikat, dan berpotensi Jepun, sekali gus mempertingkatkan kesiapsiagaan Malaysia untuk operasi gabungan atau bersekutu.

Dari sudut teknikal dan keserasian, rekod tempur F/A-18D yang terbukti serta kesesuaiannya dengan sistem operasi angkatan udara Amerika Syarikat dan sekutu akan memperkukuh peranan Malaysia dalam susunan Five Power Defence Arrangements (FPDA).

Ia juga memastikan Malaysia dapat menyertai pasukan petugas pelbagai negara atau gabungan tindak balas pantas dalam senario yang merangkumi rondaan keselamatan maritim hingga kepada konflik berintensiti tinggi.

Kadar penggunaan rendah Hornet KAF — antara 1,500 hingga 3,000 jam penerbangan — membolehkan TUDM memanfaatkannya sehingga dua dekad tanpa masalah keletihan struktur utama atau memerlukan kerja baik pulih besar yang mahal.

Faktor ini memberi ruang fiskal penting kepada Malaysia untuk menyalurkan dana pertahanan kepada perolehan pesawat generasi kelima di masa hadapan, selaras dengan pelan pemodenan jangka panjang TUDM CAP55.

Dari sudut geopolitik, langkah ini mencerminkan pendekatan pragmatik Malaysia untuk memperoleh ‘pengganda kuasa’ (force multiplier) bernilai tinggi, berbanding menunggu pesawat halimunan yang amat mahal.

Ia juga menghantar isyarat jelas kepada sekutu dan pesaing bahawa Malaysia bersedia memanfaatkan peluang perolehan jarang berlaku bagi memperkukuh keupayaan tempurnya secara mendadak dengan kos jauh lebih rendah berbanding pesawat baharu.

Tindakan ini berpotensi menjadi pencetus kepada gelombang pemodenan bersaing di rantau ini, memaksa negara jiran mempercepatkan program penggantian pesawat tempur masing-masing.

Hal ini semakin relevan memandangkan peningkatan kekerapan penerbangan Tentera Udara dan Tentera Laut China di sekitar kawasan pertikaian di Laut China Selatan.

Dari segi operasi, proses integrasi untuk juruterbang dan kru penyelenggaraan TUDM dijangka berjalan lancar.

Saluran latihan sedia ada, infrastruktur sokongan darat, dan inventori alat ganti untuk platform Hornet sudah tersedia, menghapuskan keluk pembelajaran yang lazimnya mahal apabila mengoperasikan pesawat jenis baharu.

Secara praktikal, Hornet Kuwait ini mewakili peluasan ‘plug-and-play’ terhadap kuasa tempur TUDM.

Dalam konteks strategik, perolehan ini bukan sahaja menajamkan kelebihan tempur Malaysia, malah menyediakan satu pasukan berkeupayaan tinggi yang fleksibel dan bersedia untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai senario operasi — daripada pemintasan maritim hinggalah kepada misi serangan gabungan.

Paling penting, ia memberi Malaysia tempoh masa berharga — mungkin sedekad atau lebih — sebelum membuat komitmen untuk melangkah ke generasi seterusnya seperti F-35 atau platform generasi keenam, sekali gus memastikan pertahanan udara negara kekal kredibel dalam medan udara serantau yang semakin padat dan mencabar.

— DEFENCE SECURITY ASIA

alamat

 

1 Comment
  1. Eric C Manuel says

    Only today 16 Sept 2025 we read “titah YDP Agong Sultan Ibrahim commented not to buy old aircraft termed “flying coffin”. Not to repeat the A4-Skyhawk fiasco again. Yet the government want to buy these 30 year old CD Block aircraft from Kuwait. If the aircraft is in such good condition WHY IS KUWAIT REPLACING IT WITH THE EF BLOCK F-18 ?

Leave a Reply