Isu Source Code Jadi Halangan: Cadangan India Beli 114 Buah Rafale Dari Perancis Hadapi Rintangan

India sedang mempercepat rundingan untuk memperoleh 114 jet pejuang Rafale, namun keengganan Perancis menyerahkan kod sumber kritikal pesawat itu boleh menggagalkan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah negara tersebut.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – India sedang mempercepatkan usahanya untuk memperoleh 114 buah pesawat pejuang Rafale tambahan melalui kerangka perjanjian kerajaan dengan kerajaan (G2G), yang dijangka menjadi kontrak pembelian pesawat tempur terbesar dalam sejarah negara itu.

Langkah itu dibuat ketika Tentera Udara India (IAF) berdepan krisis terburuk dalam kekuatan skuadronnya, yang semakin meruncing dengan persaraan armada MiG-21 yang sekian lama menjadi tulang belakang pertahanan udara negara tersebut.

Dilaporkan juga bahawa pembelian 40 buah pesawat pejuang halimunan J-35 oleh Pakistan daripada China turut memainkan peranan besar mendorong New Delhi untuk memperluas armada Rafale bagi mengekalkan keseimbangan kuasa udara serantau.

Kemasukan J-35 yang memiliki ciri-ciri halimunan generasi kelima serta keupayaan serangan jarak jauh dijangka memperkukuh potensi tempur udara Pakistan dan memaksa India menggandakan usaha untuk mempertahankan kelebihan teknologinya.

Namun aspirasi New Delhi untuk memperkukuh armada Rafale yang diklasifikasikan sebagai jet tempur generasi 4.5 itu berdepan halangan besar yang mampu menggagalkan keseluruhan rundingan: penolakan Perancis untuk menyerahkan source code Rafale, iaitu nadi digital yang mengawal sistem misi, integrasi persenjataan serta avionik.

Rafale

Meskipun usaha-usaha melobi berterusan, namun syarikat Dassault Aviation tetap bertegas bahawa seni bina perisian Rafale adalah hasil pembangunan berdekad lamanya, mengandungi rahsia industri bernilai tinggi dan tidak boleh diserahkan kepada pengendali luar.

India pula menegaskan bahawa akses kepada source code amat penting bagi mengintegrasikan sistem persenjataan buatan tempatan seperti peluru berpandu jarak jauh Astra (BVR), peluru berpandu anti-radiasi Rudram serta bom pintar Smart Anti-Airfield Weapon (SAAW) ke dalam ekosistem Rafale.

Tuntutan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif “Atmanirbhar Bharat” (India Berdikari) oleh Perdana Menteri Narendra Modi yang menyasarkan pengurangan pergantungan kepada pembekal asing serta mewujudkan asas industri pertahanan tempatan yang kukuh.

Menurut pegawai pertahanan India, “Tentera Udara India (IAF) merancang untuk mengemukakan kes bagi Acceptance of Necessity (AoN), iaitu langkah awal tetapi penting dalam proses perolehan (Rafale) bagi pertahanan negara, kepada Majlis Perolehan Pertahanan (DAC) menjelang Oktober 2025.”

Pada masa ini, IAF hanya mengoperasikan 31 skuadron, jauh lebih rendah daripada kekuatan yang diluluskan iaitu 42.5 skuadron yang diperlukan untuk menghadapi konflik serentak dengan China dan Pakistan.

Dengan persaraan terakhir MiG-21 dijadualkan bulan depan, kekuatan tempur udara India dijangka merosot lagi kepada 29 skuadron, jumlah terendah dalam sejarah negara itu.

Seorang pegawai kanan IAF menyatakan, “Kerajaan akan membuat keputusan muktamad apabila kes MRFA dibawa ke DAC. Tetapi benar, IAF telah mengemukakan keperluan mendesak untuk penambahan Rafale bagi mengekang pengurangan jumlah skuadron tempur.”

Keperluan itu semakin mendesak selepas konflik sempadan singkat tetapi sengit dengan Pakistan pada bulan Mei, di mana New Delhi dilaporkan kehilangan sehingga enam jet tempur barisan hadapan termasuk Su-30MKI, Mirage 2000 dan tiga Rafale.

Pakistan mendakwa pesawat-pesawat itu berjaya ditembak jatuh oleh jet tempur J-10C buatan China yang dibekalkan oleh Tentera Udara PLA, dilengkapi dengan peluru berpandu udara ke udara jarak jauh PL-15, sekali gus menimbulkan keraguan di New Delhi terhadap keupayaan keunggulan udaranya.

Peluru berpandu PL-15 yang dilaporkan mempunyai jarak melebihi 200 kilometer telah pun mengubah keseimbangan BVR (Beyond Visual Range) di Asia Selatan, memaksa India memprioritikan pembangunan balas serta mempercepatkan program integrasi peluru berpandu.

Dalam konteks itu, para komander IAF berhujah bahawa pembelian Rafale secara terus melalui G2G lebih pantas dan ekonomik berbanding tender global, yang lazimnya melibatkan kelewatan dalam rundingan serta integrasi.

India kini sudah mengoperasikan 36 Rafale, diperoleh melalui kontrak bernilai €7.8 bilion (RM37.5 bilion) yang ditandatangani pada 2016, dengan penghantaran selesai antara tahun 2020 hingga 2022.

Rafale tersebut ditempatkan di Pangkalan Udara Ambala berdekatan Pakistan dan Pangkalan Udara Hasimara berhampiran sempadan China, menegaskan kepentingannya dalam doktrin perang dua medan India.

Pada April 2025, India turut memeterai perjanjian bernilai US$7.4 bilion (RM33.3 bilion) bagi 26 pesawat Rafale-M versi tentera laut untuk menggantikan MiG-29K di atas kapal induk INS Vikrant dan INS Vikramaditya.

Rafale versi laut itu akan membekalkan India keupayaan serangan berasaskan kapal induk generasi 4.5, sesuatu yang amat penting ketika China memperluas armada kapal induknya di Lautan Hindi.

Rafale yang dipacu oleh dua enjin turbofan Snecma M88-2 dengan afterburner merupakan jet tempur pelbagai peranan generasi 4.5 yang berupaya mencapai kelajuan supercruise Mach 1.4 tanpa afterburner, menawarkan nisbah tujahan kepada berat yang tinggi serta jarak operasi yang lebih luas.

Dilengkapi radar AESA Thales RBE2-AA, Rafale mampu menjejak sehingga 40 sasaran serta menyerang lapan sasaran serentak pada jarak melebihi 100 km, menjadikannya antara sistem radar tercanggih dalam kelasnya.

Pesawat ini turut dilengkapi dengan suite peperangan elektronik Spectra yang merangkumi penerima amaran radar, jammer serta penderia amaran peluru berpandu inframerah yang berupaya mengesan serta menewaskan ancaman moden melalui kaedah balas aktif dan pasif.

Armada Rafale India turut dilengkapkan dengan Sistem Paparan Kepala Dipasang (HMDS), Thales Front Sector Optronics (FSO), sistem IRST (Infrared Search and Track) serta pautan data canggih untuk operasi berpusatkan rangkaian masa nyata.

Kekuatan tempur Rafale ditambah dengan integrasi Meteor BVR yang mempunyai zon “tiada lari” melebihi 60 km, peluru berpandu jelajah jarak jauh SCALP-EG dengan keupayaan serangan tepat sehingga 500 km, serta bom pintar modular Hammer (AASM).

Namun, walaupun kerjasama antara New Delhi dan Paris semakin erat, pertikaian mengenai kod sumber masih menjadi penghalang utama terhadap rancangan India untuk memperluas armada Rafale.

Kod itu mengawal komponen kritikal misi termasuk Modular Mission Computer (MMC) dan antaramuka radar-elektronik Rafale, yang sangat penting bagi integrasi persenjataan tanpa cela.

Tanpa akses tersebut, India akan terus bergantung kepada kelulusan Perancis bagi sebarang naik taraf, mengehadkan keupayaannya untuk menyesuaikan Rafale bagi peperangan berasaskan kecerdasan buatan, kaunter EW, serta pengaturcaraan semula misi dengan pantas.

“Ketidakupayaan untuk mengakses kod sumber merupakan halangan besar terhadap agenda pemodenan pertahanan India secara menyeluruh,” kata seorang pegawai kanan IAF.

Isu ini mengulangi kekecewaan lampau dengan armada Mirage 2000, apabila India gagal melakukan naik taraf tempatan akibat kekangan akses kod.

Perancis telah menawarkan kerjasama terhad melalui pasukan teknikal bersama serta perisian yang dikawal, namun masih jauh daripada tuntutan New Delhi untuk kedaulatan penuh.

Perancang ketenteraan India berhujah bahawa akses tanpa sekatan akan membolehkan integrasi subsistem tempatan dengan pantas, meningkatkan fleksibiliti misi serta mengurangkan kebergantungan logistik.

Pihak Perancis pula menegaskan bahawa akses kepada kod sumber membawa risiko besar termasuk kemungkinan penggodaman, kejuruteraan songsang serta kebocoran teknologi kepada negara pesaing.

Mereka juga bimbang jika akses diberikan kepada India, negara-negara pengendali Rafale lain seperti Mesir, Qatar dan Indonesia turut menuntut perkara sama, sekali gus melemahkan posisi eksport Dassault Aviation.

Bagi Paris, kod tersebut adalah “permata” strategik industri yang dibangunkan dengan kos kewangan besar dan penting untuk mengekalkan kebebasan aeroangkasa Perancis.

Tambahan pula, pengubahsuaian tanpa kebenaran oleh pihak ketiga boleh menjejaskan integriti pesawat, pensijilan keselamatan serta perjanjian sokongan selepas jualan, yang akhirnya merosakkan keseluruhan program eksport Rafale.

Walaupun wujud penyelesaian alternatif seperti integrasi persenjataan buatan India melalui pod luaran atau mod “tembak dan lupa”, kaedah itu dianggap tidak optimum kerana mengehadkan sepenuhnya potensi peperangan berasaskan gabungan sensor serta operasi berpusatkan rangkaian Rafale.

Pertarungan mengenai kedaulatan digital ini mungkin akhirnya menentukan sama ada India berjaya memperoleh 114 Rafale tambahan, atau terpaksa beralih kepada platform lain seperti Su-57E Rusia, F-35A Amerika Syarikat atau jet pejuang halimunan tempatan AMCA yang masih dalam pembangunan.

Yang menjadi taruhan bukan sekadar kekuatan armada udara India, tetapi juga masa depan keseimbangan kuasa udara di Asia Selatan, di mana jet halimunan J-20 China dan skuadron J-10C Pakistan sedang mula membentuk semula langit serantau.

Tambahan 114 Pesawat Pejuang Rafale India Bakal Ubah Imbangan Kuasa Asia Selatan

Tentera Udara India (IAF) kini berada pada tahap kekuatan operasi terendah dalam sejarahnya, dengan hanya 29 hingga 31 skuadron berbanding 42.5 skuadron yang telah diluluskan untuk mengekalkan daya cegah yang kredibel terhadap ancaman serentak daripada China dan Pakistan.

Dengan persaraan armada MiG-21 yang semakin uzur serta kelembapan dalam integrasi jet tempur buatan tempatan Tejas, IAF berdepan kekurangan serius dalam jumlah pesawat tempur yang melemahkan doktrin peperangan dua medan yang menjadi asas strateginya.

Cadangan pembelian 114 buah Rafale di bawah program Multi-Role Fighter Aircraft (MRFA) oleh New Delhi bukan sekadar pilihan perolehan, tetapi satu keperluan strategik yang mendesak.

Perjanjian yang dijangka bernilai antara AS$18 bilion hingga AS$20 bilion (RM85 bilion hingga RM95 bilion) itu bakal membekalkan India enam hingga tujuh skuadron tambahan jet tempur pelbagai peranan tercanggih di dunia.

Rafale menawarkan kepada India sebuah platform dengan kepelbagaian yang sukar ditandingi, daripada penguasaan udara, serangan jarak jauh, peperangan elektronik sehinggalah kepada keupayaan interdiksi maritim.

Peluru berpandu Meteor BVR yang dibawanya dengan zon “tiada lari” melebihi 150 km memberikan kelebihan ketara berbanding peluru berpandu PL-15 milik Pakistan dan inventori BVR semasa China.

Sistem peperangan elektronik Spectra yang dimilikinya pula membolehkan Rafale mengganggu, memperdaya serta melemahkan radar dan sistem peluru berpandu musuh, sekali gus meningkatkan peluang kelangsungan juruterbang India di ruang udara yang dipertikaikan.

Dengan keupayaan membawa peluru berpandu jelajah SCALP serta peluru berpandu anti-kapal AM39 Exocet, Rafale turut berperanan sebagai platform serangan yang berbahaya dengan keupayaan menyerang jauh ke dalam wilayah Pakistan atau aset tentera laut China di Lautan Hindi.

Bagi Pakistan, kemasukan 114 buah Rafale akan menjadi peningkatan mendadak kepada keupayaan tempur udara India yang boleh mengubah keseimbangan strategik rantau ini.

Pakistan ketika ini banyak bergantung kepada JF-17 Thunder (Blok I–III) sebagai tulang belakang armadanya, disokong oleh sebilangan kecil F-16 serta jet tempur J-10C yang baru diperoleh, lengkap dengan peluru berpandu BVR PL-15.

Walaupun PL-15 pada awalnya memberi Pakistan kelebihan kualitatif berbanding Su-30MKI dan Mirage 2000 milik India, kehadiran Rafale dengan Meteor telah mengubah semula imbangan kuasa tersebut.

Sistem pendorongan ramjet Meteor dengan zon “tiada lari” yang lebih panjang mengatasi PL-15 dan mengembalikan dominasi India dalam pertempuran jarak jauh.

Sistem Spectra juga mengurangkan keberkesanan radar dan penderia berpandu buatan China, sekali gus menimbulkan cabaran kelangsungan kepada JF-17 dan J-10C Pakistan.

Lebih membimbangkan Islamabad, peluru berpandu SCALP yang dibawa Rafale memberi India kemampuan melaksanakan serangan tepat terhadap pusat arahan, pangkalan udara serta bateri peluru berpandu Pakistan dengan menembusi pertahanan udara daratnya.

Bagi mengimbangi peluasan armada Rafale oleh India, Pakistan hampir pasti akan mempercepatkan perolehan pesawat pejuang halimunan J-35 daripada China, dengan laporan menyebut pesanan 40 buah pesawat telah dimuktamadkan.

J-35 yang direka dengan bentuk halimunan dan ruang simpanan senjata dalaman berpotensi menjadi penimbang generasi kelima kepada Rafale.

Namun, J-35 masih pada tahap awal pembangunan serta belum terbukti dalam pertempuran, berbeza dengan Rafale yang memiliki rekod operasi yang matang, menimbulkan persoalan tentang kebolehpercayaannya.

Pakistan mungkin juga akan memperluaskan armada J-10C, tetapi kekangan kewangan serta krisis ekonomi membataskan keupayaannya untuk menyaingi India dari segi jumlah perolehan.

Secara strategik, pembelian Rafale itu akan mengikat Pakistan lebih erat kepada China, menjadikan pakatan ketenteraan Sino-Pakistan sebagai teras utama pemodenan ketenteraan Islamabad.

Bagi China pula, pembelian Rafale oleh India akan mewujudkan cabaran “dua medan” – di Himalaya dan Lautan Hindi.

Di medan Himalaya yang berketinggian tinggi, penempatan Rafale India di Hasimara, Leh dan Tezpur bakal berdepan secara langsung dengan jet tempur China yang beroperasi dari Tibet.

Pesawat J-10C, J-11B malah J-20 halimunan milik China berdepan had bebanan dan jarak operasi apabila beroperasi dari pangkalan altitud tinggi di Tibet.

Rafale dengan nisbah tujahan kepada berat yang lebih baik, jejari tempur lebih jauh serta integrasi senjata lebih canggih membolehkan ia mendominasi dalam persekitaran yang mencabar itu.

Peluru berpandu Meteor akan memanjangkan lagi lingkungan tempur India, memberikan juruterbang IAF keupayaan menyerang pesawat China sebelum sempat mereka melancarkan senjata.

Situasi ini akan memaksa Beijing memperuntukkan lebih banyak pesawat J-20 serta aset sokongan jarak jauh ke Komando Teater Baratnya, mengikat sumber yang sepatutnya dialihkan ke Taiwan atau Laut China Selatan.

Rafale juga menggusarkan strategi laut China yang semakin agresif di Lautan Hindi.

Dengan India telah membeli 26 Rafale-M untuk kapal induknya INS Vikrant dan INS Vikramaditya, tambahan 114 Rafale berasaskan darat akan melengkapkan keupayaan serangan maritimnya.

Ia memberi India keupayaan berlapis untuk menyaingi kumpulan kapal induk China yang dijangka semakin kerap beroperasi di Lautan Hindi selaras peluasan armada laut dalam Beijing.

Gabungan peluru berpandu SCALP dan Exocet pada Rafale serta BrahMos pada kapal perang India mewujudkan daya cegah yang berkesan terhadap aset Angkatan Laut China (PLAN) di rantau ini.

Perolehan Rafale ini dijangka mengubah semula kalkulus daya cegah di Asia Selatan.

Bagi Pakistan, jurang konvensional yang semakin melebar boleh mendorong pergantungan lebih besar kepada arsenal nuklearnya untuk mengekalkan pariti, sekali gus berpotensi merendahkan ambang nuklear dalam krisis masa depan.

Bagi China, ia menandakan kemunculan India sebagai pesaing kredibel dua medan yang mampu mengancam aset China di Tibet serta menghalang peluasan lautannya di Lautan Hindi.

Langkah itu juga boleh mempercepatkan perlumbaan senjata di Asia Selatan, dengan Pakistan dan China dijangka meningkatkan usaha untuk menyaingi kelebihan India melalui pesawat halimunan, senjata hipersonik serta sistem pertahanan udara canggih.

Selain implikasi strategik, perjanjian Rafale juga bakal mengubah landskap industri pertahanan India.

New Delhi menuntut akses kepada kod sumber bagi membolehkan integrasi persenjataan buatan tempatan seperti peluru berpandu Astra, Rudram serta SAAW ke dalam ekosistem Rafale.

Jika berjaya, ia akan mengurangkan kebergantungan kepada senjata Perancis serta mempercepatkan inisiatif Atmanirbhar Bharat (India Berdikari), sekali gus mengukuhkan penyelidikan dan pembangunan dalam negeri pada sistem tempur barisan hadapan.

India juga berpotensi menjadi hab serantau untuk penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) Rafale, bukan sahaja untuk armadanya sendiri, tetapi juga bagi negara pengendali lain seperti Mesir, Qatar dan Indonesia.

Perolehan 114 Rafale dijangka lebih daripada sekadar pengembangan armada – ia merupakan “game changer” strategik untuk Asia Selatan.

Bagi Pakistan, ia mendalamkan lagi kebergantungan kepada China sambil melemahkan keyakinan terhadap keupayaan kuasa konvensionalnya, mungkin meningkatkan pergantungan kepada daya cegah nuklear.

Bagi China, ia menyulitkan strategi di Himalaya dan Lautan Hindi, memaksa Beijing mengalihkan aset canggih bagi mengekang India.

Bagi India, ia mengembalikan kekuatan skuadron, meningkatkan jejari serangan serta mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa udara utama Asia untuk dua dekad akan datang.

Akhirnya, perolehan Rafale ini bakal membentuk semula persaingan kuasa udara tiga hala antara India, Pakistan dan China — satu persaingan yang akan menentukan keseimbangan strategik Asia Selatan sehingga tahun 2040-an.

– DEFENCE SECURITY ASIA

alamat

Leave a Reply