Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika, China “Berlumba” Cari Bangkai F-35C Di Dasar Laut China Selatan?

Dikatakan terdapatnya "perlumbaan" di antara Amerika Syarikat dan China untuk mencari dan menaikkan semula bangkai pesawat pejuang F-35C yang kini berada di dasar Laut China Selatan.

0 2,829

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua hari lepas, sebuah pesawat pejuang F-35C milik Tentera Laut Amerika Syarikat telah terhempas di Laut China Selatan sebaik sahaja melakukan pendaratan di kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson.

Pesawat pejuang F-35C adalah khusus untuk operasi di kapal-kapal pengangkut pesawat dan dianggarkan bernilai sekitar US$103 juta (RM412 juta) sebuah, sebagaimana dinyatakan oleh syarikat pembuatnya, Lockheed Martin.

Pesawat F-35C hanya mencapai Initial Operation Capability (IOC) pada 2019.

Tujuh anggota tentera Amerika Syarikat cedera dalam kejadian itu, dengan tiga daripada mereka diterbangkan ke Manila untuk mendapatkan rawatan lanjut. Juruterbang pesawat F-35C itu terselamat selepas mengaktifkan kerusi injalnya.

Kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson sedang mengadakan “Dual Carrier Operation” bersama-sama sebuah lagi kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln dan kapal-kapal dibawah Carrier Strike Group masing-masing di Laut China Selatan ketika insiden tu berlaku.

F-35C

Pihak Tentera Laut Amerika Syarikat telah pun membuat perancangan untuk menaikkan bangkai pesawat F-35C yang kini terdampar di dasar Laut China Selatan dan operasi itu akan dilakukan dengan secepat mungkin.

Bekas pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat Carl Schuster memberitahu CNN bahawa operasi mencari dan menaikkan pesawat F-35C daripada dasar Laut China Selatan itu dijangka mengambil masa 120 hari ini.

Walaupun tugas menaikkan pesawat F-35C itu daripada dasar laut adalah berbahaya, tetapi ia terpaksa dilakukan kerana “ancaman” daripada China.

F-35C

Pegawai-pegawai tentera laut Amerika mahu mencari dan menaikkan bangkai pesawat generasi kelima pesawat F-35C dengan pantas itu kerana terdapat kebimbangan bahawa pihak China juga berminat dengan bangkai pesawat canggih itu.

Mereka bimbang kapal-kapal selam China telah pun bergerak ke lokasi kejadian di dalam usaha untuk mencari dan “mencuri” komponen-komponen penting pesawat F-35C yang terhempas di Laut China Selatan itu.

Kebimbangan mereka terhadap usaha China untuk “mencuri” bangkai pesawat F-35C adalah benar kerana Beijing menganggap lokasi kejadian itu adalah perairan miliknya dan ia mempunyai “hak” terhadap pesawat canggih Amerika Syarikat itu.

F-35C

China tidak perlu mendapatkan keseluruhan bangkai pesawat itu, kerana sebarang komponen atau serpihan pesawat F-35C yang terhempas sudah cukup untuk memberikan pelbagai jawapan kepada negara itu.

Serpihan pesawat F-35C itu mampu memberikan jawapan terhadap bahan digunakan untuk membina pesawat itu, yang direkabentuk untuk meminimakan “radar cross section” sekaligus menjadikannya “halimunan” daripada radar.

China boleh menggunakan maklumat itu untuk merekabentuk radar yang lebih baik untuk mengesan pesawat halimunan itu.

F-35C

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Jika China berjaya mendapatkan radar, penderia electro-optical, komponen eletronik serta enjin daripada pesawat yang terhempas itu, ia akan membantunya memahami kemampuan sebenar dan kelemahan pesawat F-35C itu.

Sebarang data atau maklumat yang diperolehi daripada bangkai pesawat F-35C itu akan membantu China menaiktaraf pesawat generasi kelimanya sendiri, J-20 “Mighty Dragon” dan J-35 (pesawat gen-5 China yang akan beroperasi daripada kapal pengangkut pesawat)

Sebab itulah, pihak Amerika Syarikat akan berusaha sedaya-upaya bagi memastikan ia memenangi “perlumbaan” dengan China untuk mencari dan menaikkan semula bangkai pesawat F-35C daripada dasar Laut China Selatan. — DSA

J-20
Dua buah pesawat termoden China, J-20 sedang melakukan penerbangan.

 

Comments
Loading...