Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

SPRM Tahan CEO Berhubung Pembinaan Enam Buah Kapal LCS TLDM

Projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9 bilion telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan atau tiga tahun sembilan bulan.

0 10,178

(DEFENCE SECURITY ASIA) –Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua orang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bernilai RM9 bilion.

Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM, lewat petang semalam.

Jurucakap SPRM, berkata kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

“Seorang daripada mereka juga disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek itu,” katanya.

Menurut akhbar Berita Harian Online, ia difahamkan dengan penahanan itu SPRM menemui petunjuk baharu untuk terus melakukan siasatan terhadap kontrak perolehan enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard.

LCS
Kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM

 

Siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan mensasarkan pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya akan disiapkan sepenuhnya pada tahun 2025, iaitu kira-kira 12 tahun selepas projek pembinaan kapal-kapal perang tercanggih TLDM itu bermula.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen.

LCS
Gambar terbaru kapal LCS terbaru (kredit BNS)

 

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, sehingga 31 Oktober tahun ini kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Comments
Loading...