Warga China Ditahan Guna Dron di Wisma Pertahanan — Sebahagian Trend Global Ancaman Pengintipan Ketenteraan ??

Insiden di Malaysia Cerminkan Peningkatan Aktiviti Dron Warga China di Lokasi Strategik Dunia

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Polis Malaysia telah menahan dua lelaki warga China selepas menerbangkan dron di kawasan larangan Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini, pada 6 Ogos lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan berkata, kegiatan kedua-dua suspek itu dikesan anggota polis tentera (MP) yang sedang menjalankan rondaan di kawasan kejadian.

“Siasatan mendapati suspek sedang menerbangkan dron di kawasan Padang Bola, Wisma Pertahanan sebelum ditahan.

“Hasil penahanan itu, anggota merampas pelbagai peralatan seperti dron serta beberapa keping kad memori. Pemeriksaan di hotel penginapan mereka menemukan peralatan dron,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, hasil soal siasat, suspek mendakwa bahawa rakaman dron itu adalah arahan daripada pihak majikan mereka.

Dron
Warga China ditahan polis kerana menerbangkan dron berhampiran Kementerian Pertahanan.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak mengetahui motif dan tujuan tinjauan dilakukan.

“Pihak polis turut berhubung dengan beberapa agensi antarabangsa dan tempatan bagi mengenalpasti latar belakang serta rekod perjalanan mereka,” ujarnya.

Difahamkan, kedua-dua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di atas pertuduhan mengikut Seksyen 3(a) dan Seksyen 4 Akta Rahsia Rasmi kerana mengintip serta melakukan dokumentasi di dalam kawasan larangan.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Hakim Izralizam Sanusi tidak membenarkan sebarang jamin dan menetapkan 11 September depan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.

Tindakan warga China menerbangkan dron di kawasan sensitif bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi ia turut berlaku di negara-negara lain, sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan tentang motif sebenar mereka berbuat demikian.

Pada Julai tahun lepas, pihak berkuasa di Korea Selatan telah menahan penuntut warga China kerana telah menerbangkan dron dan melakukan rakaman video terhadap kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat USS Theodore Roosevelt (CVN71) yang sedang berlabuh di salah sebuah pangkalan tentera laut Korea Selatan.

Ketiga-tiga penuntut China yang berusia di antara 30 hingga 49 tahun merupakan pelajar di salah sebuah universiti di Busan, di selatan Korea Selatan yang mempunyai pelabuhan yang kerapkali dikunjungi oleh kapal-kapal perang Amerika Syarikat termasuk kapal pengangkut pesawat.

Penuntut warga China itu ditahan pada 25 Julai selepas mereka menerbangkan dron di Pusat Pemerintahan Operasi Tentera Laut Korea Selatan, yang pada ketika itu sedang menempatkan kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt.

Warga China itu dituduh kerana mengambil gambar dan video kapal tentera laut dan kemudahan-kemudahan ketenteraan.

Pihak polis Korea Selatan menuduh ketiga-tiga penuntut warga China itu melanggar Enforcement Decree of the Protection of Military Bases and Installations Act.

Dalam keterangan mereka kepada pihak polis Korea Selatan, mereka mendakwa mengambil video dan gambar kapal pengangkut pesawat itu menggunakan dron kerana “ingin mengambil tahu” (out of curiosity). 

Menurut media-media tempatan Korea Selatan, video kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat yang telah dirakam oleh warga China itu adalah sepanjang lima minit dan mengandungi pemandangan panoramic kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dan Pusat Pemerintahan Operasi Tentera Laut Korea Selatan itu.

Pihak berkuasa Korea Selatan juga menahan seorang warga China pada tahun lepas kerana didakwa merakam ibu pejabat agensi perisikan tertinggi Korea di selatan Seoul menggunakan dron.

Balai Polis Seocho dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pihaknya menahan pelancong China tersebut sebagai suspek kerana melanggar Akta Keselamatan Penerbangan.

“Pelancong” China itu telah merakam bangunan Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) Korea Selatan dan beberapa lokasi lain di selatan Seoul menggunakan dron pada kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian itu.

Pada tahun lepas juga, satu insiden memalukan pihak keselamatan maritim Jepun berlaku apabila sebuah dron komersial diterbangkan warga China telah berjaya merapati kapal induk dan kapal perang milik negara itu di Pangkalan Tentera Laut Yokosuka, sekali gus mendedahkan kelemahan keselamatan yang serius.

Rakaman dron tersebut, yang memaparkan kapal pengangkut helikopter Angkatan Laut Pertahanan Maritim Jepun (JMSDF) JS Izumo di Pangkalan Tentera Laut Yokosuka telah tersebar di platform media sosial China sehingga mencetuskan kebimbangan mendalam pihak pertahanan Jepun.

Klip video tersebut mendedahkan kelemahan besar dalam aspek keselamatan di salah sebuah kemudahan pertahanan maritim terpenting Jepun, yang menjadi lokasi kapal-kapal perang utama negara itu.

Dalam temu bual bersama Kyodo News melalui perkhidmatan mesej, individu warga China yang memuat naik video itu mengaku beliau meninggalkan Jepun selepas melakukan rakaman tersebut dan kini berada di negara asalnya.

Pada Disember tahun lepas, penyiasat persekutuan Amerika Syarikat telah menahan seorang lelaki berusia 39 tahun selepas menuduhnya menerbangkan dron dan merakam gambar Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.

Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg — yang sebelum ini dikenali sebagai Vandenberg Air Force Base dan kini secara rasmi dipanggil Vandenberg Space Force Base — sangat penting kerana ia merupakan salah satu fasiliti strategik utama Amerika Syarikat untuk pelancaran roket, ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), dan operasi angkasa lepas.

Yinpiao Zhou, seorang warganegara China berusia 39 tahun yang menetap di Amerika Syarikat, telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco sebelum menaiki penerbangan keluar ke China, menurut kenyataan Pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat bagi Daerah Tengah California.

Pejabat itu turut memaklumkan bahawa beliau kali terakhir pulang ke Amerika Syarikat dari China pada Februari 2024.

Penahanan warga China di San Francisco itu bukanlah insiden terpencil.

Penerbangan dron di kawasan sensitif ketenteraan kini menjadi isu yang semakin membimbangkan bagi pihak berkuasa tempatan.

Portal pertahanan Amerika Syarikat, Military.com turut melaporkan penahanan seorang pelajar pascasiswazah kerana merakam gambar kemudahan tentera laut menggunakan dron.

Di Pangkalan Tentera Udara Langley, jumlah dron yang terbang di ruang udara pangkalan itu begitu banyak sehingga kedengarannya seperti “perarakan mesin pemotong rumput,” menurut seorang jeneral kepada akhbar Wall Street Journal.

Laman sesawang The Warzone pula melaporkan lebih 600 insiden telah berlaku sejak tahun 2022, termasuk serangan “berkelompok” di pangkalan tentera luar negara.

Sementara itu, media Sweden pada tahun lepas melaporkan bahawa sekurang-kurangnya lima warga China telah ditahan kerana menggunakan dron dan kamera untuk memantau beberapa lokasi sensitif ketenteraan serta infrastruktur di utara negara itu.

Pihak berkuasa Sweden telah menahan beberapa warga China kerana mengendalikan dron dan merakam gambar berhampiran lokasi sensitif, termasuk sebuah pemasangan radar di Västerbotten, pelabuhan Umeå dan sebuah lombong di Kiruna.

Insiden-insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan aktiviti pengintipan yang menyasarkan infrastruktur kritikal Sweden.

Warga China itu telah ditahan selepas diperhatikan menjalankan pemantauan tanpa kebenaran di kawasan larangan, sekali gus mencetuskan siasatan oleh perkhidmatan keselamatan Sweden.

Pihak berkuasa Sweden juga telah membatalkan visa kesemua individu terbabit.

Tahun lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mendakwa seorang warganegara China kerana menggunakan dron untuk merakam imej sebuah limbungan kapal di Virginia yang terlibat dalam pembinaan kapal selam nuklear Tentera Laut A.S.

Tertuduh, Fengyun Shi, seorang pelajar pascasiswazah di University of Minnesota, berdepan enam pertuduhan di bawah Akta Pengintipan.

Menurut afidavit, pada hari Shi merakam gambar tersebut, Limbungan Kapal Newport News sedang giat membina kapal pengangkut pesawat dan kapal selam nuklear kelas Virginia.

Menangani ancaman penerbangan dron di lokasi-lokasi keselamatan yang sensitive merupakan cabaran besar, khususnya kerana usaha mengesan pencerobohan dron kembali kepada pengendalinya amat sukar dilakukan.

Kebanyakan dron dilancarkan dari lokasi tersembunyi, sekali gus hampir mustahil untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Malah, walaupun pengendali berjaya ditahan seperti dalam kes di Vandenberg, membuktikan kaitan secara langsung dengan aktiviti yang ditaja oleh sesebuah negara kekal sebagai tugas yang rumit. – DEFENCE SECURITY ASIA

 alamat

Leave a Reply