Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sehingga 15 Sept 2021, Kapal LCS TLDM Baru Siap 57.05 Peratus

Keadaan keadaan TLDM mengalami kekangan aset yang serius dan situasi geo-politik yang semakin meruncing di Laut China Selatan, negara sememangnya amat menantikan kehadiran keenam-enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) itu.

0 6,476

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas mendiamkan diri untuk beberapa ketika, kerajaan hari ini tampil memberikan “sedikit jawapan” yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat tentang kelewatan projek pembinaan enam buah kapal “Littoral Combat Ship” (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menelan belanja kos sebanyak RM9 billion.

Bercakap di Parlimen hari ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sehingga 15 September 2021 tahap kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir paling moden dalam inventori TLDM itu telah mencapai sebanyak 57.05 peratus.
Pembinaan kapal-kapal tempur TLDM itu katanya telah mengalami kelewatan sebanyak 38.89 peratus kerana jikalau mengikut perancangan kerja asal, kemajuan kerja-kerja kapal itu pembinaan sepatutnya sudah mencapai 95.94 peratus.

“Diatas sebab kelewatan itu juga, kerajaan telah mengenakan denda (penalti) atas kelewatan itu sebanyak RM80.6 juta,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, projek pembinaan enam buah kapal LCS kelas-Maharaja Lela untuk TLDM ini telah bermula pada RMK10 pada tahun 2010 tetapi adalah amat malang kerana ia masih berlanjutan sehingga RMK12 yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.

LCS
Kapal LCS TLDM

 

Hishammuddin berkata, projek pembinaan LCS ini berhadapan dengan beberapa masalah yang telah menyebabkan ia mengalami kelewatan yang amat serius.

“Projek ini berhadapan dengan beberapa masalah termasuklah kegagalan kontraktor menyiapkan rekabentuk, kelewatan pihak kontraktor dalam memuktamadkan perolehan beberapa peralatan dan kualiti kerja yang tidak menepati spesifikasi,” menurut Menteri Pertahanan.

Mengikut kontrak, kapal LCS pertama sepatutnya diserahkan kepada TLDM pada 2017 tetapi dilengahkan kepada 2019.

Pada Mei lepas, Menteri Pertahanan pada ketika itu dan kini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (Littoral Combat Ship) yang terhenti sejak 2019 akan diteruskan bagi memperkukuhkan keselamatan perairan negara dan mendorong industri pertahanan negara.

Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang bermesyuarat pada 5 Mei lalu.

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Kumpulan Boustead (selaku syarikat dipertanggungjawabkan).
“Dengan penerusan pembinaan itu oleh Kumpulan Boustead, ia akan menyelamatkan 1,600 pekerja yang terdiri daripada anak tempatan dan juga lebih daripada 400 syarikat vendor daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera,” kata Ismail satu kenyataan ketika menjadi Menteri Pertahanan Mei lepas.

jika pembinaan LCS itu tidak diteruskan, ia akan memberi beberapa impak negatif kepada pekerja dan vendor Bumiputera yang terbabit dengan projek itu.

“Ia juga akan memberi kesan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang juga pemegang saham di dalam Boustead Holdings Berhad.

tldm
Kapal LCS TLDM.

 

“Selain itu, secara tidak langsung pencarum yang juga anggota tentera akan menerima kesan sekiranya projek ini tidak diteruskan, malah pihak bank yang memberi pinjaman kepada projek ini juga bakal kerugian kerana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd tidak berkeupayaan membayar pinjaman,” katanya.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...