Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pengebom dan Pejuang Filipina, Amerika Lakukan Rondaan di Kawasan Dipertikaikan di Laut China Selatan

Rondaan bersama dan latihan pemintasan udara di kawasan Terumbu Scarborough yang hangat dipertikaikan terletak di barat laut Filipina, merupakan yang pertama dilakukan oleh kedua-dua sekutu perjanjian lama itu sejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kembali memegang jawatan.

0 4,265
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pesawat-pesawat pengebom dan pejuang milik Amerika Syarikat serta Filipina telah menjalankan rondaan dan latihan bersama di kawasan terumbu yang dipertikaikan hak pemilikannya di Laut China Selatan, di mana pesawat pejuang China pernah melepaskan (suar) flares tahun lalu bagi menghalau pesawat Filipina, menurut pegawai Filipina.
Rondaan bersama dan latihan pemintasan udara di kawasan Terumbu Scarborough yang hangat dipertikaikan terletak di barat laut Filipina, merupakan yang pertama dilakukan oleh kedua-dua sekutu perjanjian lama itu sejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kembali memegang jawatan.
Terumbu Scarborough, yang dituntut oleh kedua-dua negara, terletak dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina tetapi telah berada di bawah kawalan de facto China sejak 2012.
Dua buah pesawat pengebom B-1 Tentera Udara Amerika Syarikat dan tiga buah pesawat pejuang FA-50 Tentera Udara Filipina terlibat dalam rondaan dan latihan singkat yang melibatkan latihan pemintasan pesawat musuh, kata jurucakap Tentera Udara Filipina, Maria Consuelo Castillo, dalam satu sidang media.
Tentera Filipina menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama pesawat pengebom B-1 digunakan dalam latihan bersama di Laut China Selatan.
“Latihan ini memberi tumpuan kepada meningkatkan koordinasi operasi, mempertingkatkan kesedaran domain udara, dan memperkukuhkan keupayaan pelaksanaan pertempuran yang tangkas antara kedua-dua angkatan udara,” menurut kenyataan Tentera Udara Filipina.
Filipina
Pesawat-pesawat pejuang FA-50 Filipina (kredit Web)
Latihan sehari yang diadakan pada hari Selasa itu mencerminkan hubungan kukuh antara kedua-dua negara yang telah lama menjadi sekutu perjanjian, menurut kenyataan pegawai.
Tentera Udara Filipina memiliki 12 buah pesawat pejuang FA-50 yang diperolehinya daripada Korea Selatan.
Tidak diketahui sama ada rondaan bersama itu menghadapi sebarang cabaran daripada pesawat-pesawat Tentera Udara China yang mengawal kawasan Terumbu Scarborough.
Bagaimanapun Beijing menyatakan bahawa tindakan pesawat-pesawat pejuang Amerika dan Filipina itu mengancam keamanan dan kestabilan serantau.
“Filipina telah bersekongkol dengan negara-negara luar rantau untuk menganjurkan ‘rondaan bersama’ yang kononnya bertujuan untuk sengaja menggugat keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan,” kata jurucakap tentera China.
Beijing menyatakan bahawa ia turut menjalankan rondaan rutin di ruang udara di atas Terumbu Scarborough pada hari Selasa.
Tentera Udara China akan terus berada dalam tahap keadaan berjaga-jaga yang tinggi bagi mempertahankan kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritim China dengan tegas, kata jurucakap tersebut.
Di bawah Perjanjian Pertahanan Bersama 1951, Filipina dan Amerika Syarikat terikat untuk saling membantu sekiranya berlaku serangan luar.
Di bawah pentadbiran Joe Biden, Washington menyatakan bahawa senario tersebut turut merangkumi serangan bersenjata di Laut China Selatan.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, namun tuntutannya bertindih dengan tuntutan Filipina, Brunei, Malaysia, Vietnam, dan Taiwan.
B-1B
Pesawat pengebom strategik B-1 Lancer.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Manila dan Beijing telah berdepan dalam beberapa siri konfrontasi di laut.
Pada Ogos tahun lalu, dua pesawat tentera udara China terbang rapat dan melepaskan suar (flares) di laluan sebuah pesawat tentera udara Filipina yang sedang menjalankan rondaan rutin di kawasan Terumbu Scarborough, menurut pegawai tentera.
Tindakan itu telah dikecam dan dibantah keras oleh kerajaan Filipina.
Kesemua krw yang berada di dalam pesawat pengangkut NC-212i turboprop Tentera Udara Filipina tidak mengalami sebarang kecederaan, menurut kenyataan tentera Filipina.
Pemerintahan Selatan Tentera Pembebasan China pada ketika itu menyatakan bahawa sebuah pesawat tentera udara Filipina telah “menceroboh secara haram ” ruang udara di atas terumbu tersebut dan mengganggu aktiviti latihan pasukan China.
China turut memberi amaran kepada Filipina supaya “menghentikan pencerobohan, provokasi, penyelewengan, dan tindakan membesar-besarkan isu.”
— DEFENCE SECURITY ASIA
Leave A Reply

Your email address will not be published.