Kapal Pengawal Pantai China CCG 5403 Dikesan Berada 50 Batu Nautika dari Pantai Sarawak – Pemerhati
Aplikasi penjejakan kapal menunjukkan kapal pengawal pantai China CCG 5403 dipercayai berada berhampiran dengan kawasan pembangunan gas Kasawari yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak negara, Petronas di Blok 316 yang jelas berada di dalam kawasan perairan ZEE milik Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal pengawal pantai China dengan nombor pennant, CCG 5403 dikesan berada di dalam 50 Batu Nautika daripada pantai Sarawak, Malaysia sejak seminggu lepas, menurut pemerhati Laut China Selatan dikenali dengan nama Ray Powell.
Powell menerusi ciapannya di dalam platform X @GordionKnotRay berkata, kapal pengawal pantai China kerapkali menjalankan rondaan di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara-negara jirannya.
Menurut beliau, rondaan kapal-kapal pengawal pantai China itu adalah “aktiviti yang bertujuan untuk mewujudkan kehadiran berterusan dan secara beransur-ansur menormalkan bidang kuasa China ke atas kawasan yang diberikan kepada jirannya di bawah undang-undang antarabangsa.”
“Sementara China Coast Guard 5403 telah menghampiri sehingga 50 batu nautika dari pantai Malaysia sepanjang minggu lalu, CCG 5305 pula bergerak ke utara dari Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada 31 Januari dan memasuki ZEE Vietnam.”
“Sejak itu, ia telah bergerak lebih jauh ke dalam kawasan ladang minyak dan gas luar pesisir berhampiran Vanguard Bank,” menurut ciapan Powell dalam platform X miliknya itu.
Dalam ciapannya itu, beliau tidak menyatakan sama ada kapal-kapal peronda milik Malaysia berada berhampiran kapal pengawal pantai China itu, namun kebiasaannya, kapal-kapal peronda negara sama ada daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berada tidak jauh daripada kapal-kapal penguatkuasa China itu melakukan “shadow.”

Powell adalah bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat dan adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.
Aplikasi penjejakan kapal menunjukkan kapal pengawal pantai China CCG 5403 dipercayai berada berhampiran dengan kawasan pembangunan gas Kasawari yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak negara, Petronas di Blok 316 yang jelas berada di dalam kawasan perairan ZEE milik Malaysia.
Kawasan tersebut juga berada berhampiran dengan Beting Patinggi Ali.
Petronas Carigali, anak syarikat penuh Petronas merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dan adalah operator Lapangan Gas Kasawari itu yang dianggarkan bernilai berbillion-billion ringgit.
Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 di luar pantai Sarawak dalam Laut China Selatan itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.
Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh Petronas itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia.


Lapangan gas mega itu bakal menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas setiap hari dan 3.5 juta tong kondensat setiap hari.
Gas yang diekstrak daripada Lapangan Gas Kasawari itu akan dihantar menggunakan paip untuk diproses di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.
Kompleks LNG Petronas di Bintulu itu terdiri daripada sembilan keretapi produksi (production trains) dengan kapasiti keseluruhan mencecah 29.3 juta tan setahun (million tonnes per annum –Mtpa).
Ia adalah di antara kemudahan produksi LNG terbesar di dunia.
Lapangan Gas Kasawari terletak di Laut China Selatan di luar pantai Sarawak di Malaysia. Lapangan gas itu terletak di perairan dengan kedalaman airnya mencecah 108 meter di dalam Blok SK316 kira-kira 200km di utara Bintulu, Sarawak.
Lapangan gas mega ini terletak di gugusan Beting Patinggi Ali dan kapal-kapal pengawal pantai China memang gemar “singgah” di kawasan perairan ini.
Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI), pada 2022 sahaja kapal-kapal pengawal pantai China menghabiskan masa sebanyak 316 hari daripada 365 hari dalam setahun di gugusan Beting Patinggi Ali itu.
— DEFENCE SECURITY ASIA