Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Belanjawan Pertahanan Arab Saudi Tahun Ini Cecah RM346 Billion, Kelima Terbesar di Dunia

Dengan belanjawan pertahanan mencecah US$78 billion pada 2025, ia menjadikan Arab Saudi negara kelima dengan perbelanjaan pertahanan terbesar di dunia dan yang tertinggi dalam dunia Arab.

0 4,803
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan sebanyak US$78 billion (RM346 billion) untuk perbelanjaan pertahanannya pada tahun ini, yang merupakan suatu peringkatan berbanding US$75 billion (RM333 billion) perbelanjaan untuk pertahanan pada tahun lepas.
Dengan belanjawan pertahanan mencecah US$78 billion pada 2025, ia menjadikan Arab Saudi negara kelima dengan perbelanjaan pertahanan terbesar di dunia dan yang tertinggi dalam dunia Arab.
Gabenor kepada General Authority for Military Industries (GAMI) Ahmad Al-Ohali dalam satu kenyataan berkata, peruntukan pertahanan sebanyak US$78 billion itu merupakan 21 peratus daripada peruntukan keseluruhan kerajaan pada tahun ini.
“Kerajaan (Arab Saudi) telah memperuntukkan kira-kira US$78 bilion kepada sektor pertahanan  dalam Belanjawan 2025, yang mewakili 21 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan dan 7.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Arab Saudi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut menyatakan bahawa Arab Saudi telah mencatat pertumbuhan perbelanjaan pertahanan tahunan sebanyak 4.5 peratus sejak tahun 1960.
Arab Saudi, yang secara tradisinya merupakan salah sebuah negara pengimport senjata terbesar di dunia, kini memberi tumpuan penuh kepada Wawasan 2030 yang dilancarkan pada tahun 2016.
KAAN
Delegasi Arab Saudi bergambar di hadapan pesawat pejuang KAAN baru-baru ini.
Wawasan 2030 itu bermatlamat mengurangkan kebergantungan Arab Saudi terhadap sektor minyak dan memperkukuhkan sektor-sektor lain berasaskan pengeluaran domestik.
Wawasan 2030 menetapkan mensasarkan 50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan pertahanan dilakukan secara tempatan menjelang tahun 2030, di samping menggalakkan syarikat-syarikat pertahanan untuk membuka ibu pejabat serantau mereka di Arab Saudi.
Kadar lokalisasi industri ketenteraan tempatan mencapai 19.35 peratus pada penghujung tahun 2023, menurut kenyataan itu.
Baru-baru ini, Arab Saudi dilaporkan telah secara “senyap-senyap” memperolehi 39 buah sistem pertahanan udara Pantsir-S1M buatan Russia yang dianggarkan bernilai US$2.3 billion (RM10.1 billion).
Dibawah kontrak, kerajaan Arab Saudi dilaporkan telah bersetuju untuk membayar US$2.3 billion itu kepada syarikat pengeksport senjata Russia, ROSOBORONEXPORT bagi penghantaran 39 buah sistem pertahanan udara Pantsir-S1M itu.
Selain 39 buah sistem pertahanan udara buatan Russia itu, penghantaran turut melibatkan 10 buah post pemerintahan bergerak selain ratus peluru berpandu, kenderaan pengangkut dan sistem komunikasi bagi sistem pertahanan udara itu.
Cobra
Pasukan khas Arab Saudi bersama-sama kenderaan perisai Cobra II 4×4.
Kerajaan Arab Saudi juga dilaporkan sedang berunding dengan Turkiye untuk memeterai perjanjian pertahanan bernilai US$6 billion (RM26.3 billion) melibatkan perolehan kereta kebal, kapal perang, dan peluru berpandu.
Baru-baru ini, Defence Security Asia melaporkan bahawa Arab Saudi sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima KAAN yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima KAAN oleh Arab Saudi itu dikata telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye itu baru-baru ini.
Selain pesawat pejuang KAAN, kerajaan Arab Saudi juga dilaporkan menunjukkan minat untuk memperolehi pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation daripada Perancis.
Sementara itu, pada 18 Julai tahun lepas, Arab Saudi mengumumkan bahawa ia bakal membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu (dron) Akinci MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.
Tornado
Pesawat pejuang Panavia Tornado Tentera Udara Arab Saudi
Pada Oktober tahun lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meluluskan penjualan beberapa jenis peluru berpandu dan senjata lain kepada Arab Saudi dianggarkan bernilai US$900 juta (RM3.86 billion) bagi meningkatkan lagi kemampuan pertahanan sekutu utamanya di rantau Timur Tengah.
Penjualan kepada Arab Saudi itu termasuklah sejumlah 220 buah peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9X Block II  Sidewinder, perisian peluru berpandu, latihan, peralatan sokongan, alat ganti dan bantuan teknikal daripada kontraktor dan pelbagai sokongan lain.
Peluru berpandu udara-ke-udara itu dipercayai adalah untuk kegunaan pesawat-pesawat pejuang F-15 milik Tentera Udara Arab Saudi.
Pada tahun lepas, Arab Saudi dilaporkan telah menjadi pelanggan kepada sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan, KM-SAM Block II.
Sebagaimana dilaporkan oleh media pertahanan antarabangsa, Arab Saudi dikatakan telah menandatangani kontrak bernilai US$3.2 billion (RM15.25 billion) untuk memperolehi sistem pertahanan udara buatan Korea Selatan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.