Su-30SM2 Russia Tembak Jatuh Su-27 Ukraine pada Jarak 130km Guna R-37M
Sumber yang disokong Rusia mendakwa bahawa pesawat Su-27 Ukraine tersebut ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M yang dilancarkan dari pesawat pejuang Su-30SM2 milik Tentera Laut Rusia pada jarak kira-kira 130 km.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sumber Rusia mendakwa bahawa sebuah pesawat pejuang Su-27 milik Ukraine telah ditembak jatuh di kawasan Pokrovsk, Donetsk Oblast oleh pesawat Su-30SM2 milik Rusia menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M dari jarak 130 km.
Sumber Ukraine mengesahkan bahawa juruterbang Su-27 tersebut, Kapten Ivan Bolotov, “tidak kembali daripada misinya.” Kapten Ivan Bolotov, 24 tahun, adalah juruterbang dari Briged Penerbangan Taktikal Ke-831 dan telah melaksanakan misi tempur sejak bermulanya pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun 2022.
Briged Penerbangan Taktikal Ke-831 menghargai dedikasi juruterbangnya itu, menggambarkan Bolotov sebagai seorang pahlawan yang berani dan sukar digantikan.
Pihak berkuasa Ukraine telah mengesahkan kematian Bolotov, namun butiran terperinci mengenai insiden yang meragut nyawanya masih belum didedahkan.
Sumber yang disokong Rusia mendakwa bahawa pesawat Su-27 Ukraine tersebut ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M yang dilancarkan dari pesawat pejuang Su-30SM2 milik Tentera Laut Rusia pada jarak kira-kira 130 km.
Kematian Bolotov di ruang udara menonjolkan risiko besar yang dihadapi oleh Tentera Udara Ukraine, terutamanya dalam menghadapi ancaman peluru berpandu jarak jauh canggih milik Rusia.
Penganalisis ketenteraan menyatakan bahawa peluru berpandu R-37, dengan jarak jangkauan sehingga 300 km, merupakan ancaman serius kepada juruterbang Ukraine yang beroperasi berhampiran garis hadapan.
Kehilangan pesawat Su-27 ini turut menjejaskan lagi kekuatan armada pejuang barisan hadapan Ukraine, dengan anggaran hanya sekitar 20 buah pesawat Flanker masih beroperasi.
Menurut laporan Rusia, sejurus selepas pesawat Su-27 Tentera Udara Ukraine dimusnahkan, tentera Rusia berjaya memintas komunikasi radio pihak komando Ukraine.
Dalam perbualan tersebut, yang menggunakan bahasa Rusia, mereka berbincang mengenai kehilangan pesawat itu serta alasan rasmi yang akan diumumkan mengenai insiden tersebut, seperti kegagalan sistem hidraulik.
Pesawat Su-27 yang musnah itu adalah milik Briged Penerbangan Taktikal Ke-831 Tentera Udara Ukraine yang berpangkalan di Lapangan Terbang Mirgorod, wilayah Poltava.
Pangkalan udara ini digunakan oleh tentera Ukraine untuk melancarkan serangan ke wilayah Rusia.
Tidak dapat dinafikan kemungkinan bahawa pesawat Su-27 berkenaan ditembak jatuh ketika sedang melaksanakan serangan menggunakan peluru berpandu yang dibekalkan oleh NATO.
Tentera Ukraine juga banyak menggunakan pesawat Su-27 sebagai pesawat pengebom untuk melancarkan bom JDAM-ER, ASC-250 HAMMER, dan GBU-39B SDB.
Tentera Udara Russia dikatakan telah melengkapkan pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 miliknya dengan peluru berpandu udara-ke-udara “R-37M” (RVV-BD)yang boleh menembak jatuh sasaran udara sejauh 300km.
Moscow dikatakan telah meningkatkan penggunaan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti R-37M bagi membolehkan pesawat pejuangnya berada di luar ruang udara tengah dan barat Ukraine yang dikawal ketat oleh sistem pertahanan udara Ukraine serta dipantau rapi oleh pesawat-pesawat amaran awal NATO.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M (RVV-BD) atau AA-13 adalah peluru berpandu moden, dengan komponennya dihasilkan di dalam Russia.
Ia dihasilkan oleh firma Russia terkenal dalam pembangunan sistem peluru berpandu udara-ke-udara iaitu Vympel.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37 itu pada mulanya dibangunkan pada 1980-an untuk pesawat pejuang altitud tinggi, MiG-31 manakala varian terkininya, R-37M mula dibangunkan pada awal tahun 2000.
Walaupun R-37 itu dibangunkan untuk diguna pesawat MiG-31, tetapi varian terkininya iaitu R-37M boleh digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang yang lain termasuk Su-35, Su-30 dan pesawat generasi kelima, Su-57.
Peluru berpandu itu dikatakan mampu meningkatkan kemampuan keseluruhan sesebuah pesawat pejuang itu.
Sama seperti R-37, varian terkini peluru berpandu itu,R-37M juga boleh dilengkapkan dengan kepala peledak nuklear bagi memusnahkan formasi pesawat-pesawat tentera “musuh.”
Penganalisis tentera Barat mengatakan bahawa peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M direkabentuk khusus untuk menumpaskan pesawat-pesawat amaran awal (AWACS) dan juga sasaran udara berkepentingan tinggi.
Mereka berkata, peluru berpandu R-37M ini amat effektif menumpaskan sasaran udara berkepentingan tinggi jika digandingkan dengan pesawat pejuang generasi kelima Su-57 “Felon.”
Menurut media-media Russia, tentera udara negara itu mula melengkapkan pesawat-pesawat pejuangnya seperti Su-35, Su-30 dan Su-57 dengan peluru berpandu R-37M dua tahun lepas.
Setiap pesawat Su-35 dan Su-30 boleh membawa sehinga empat butir peluru berpandu R-37M.