(VIDEO) Pakistan Tawar Penjualan Kereta Kebal Utamanya Haider Kepada Tentera Darat Bangladesh

Tawaran penjualan kereta kebal utama Haider itu dikemukakan ketika delegasi pegawai-pegawai Tentera Darat Bangladesh melakukan lawatan ke Heavy Industries Taxila (HIT) yang bertanggungjawab mengeluarkan pelbagai kelengkapan tentera untuk tentera Pakistan termasuk kereta kebal utama Haider.

Dalam apa yang disifatkan sebagai usaha yang bakal mengeratkan lagi hubungan ketenteraan di antara dua negara Islam, Pakistan buat pertama kalinya dilaporkan telah secara rasmi menawarkan penjualan kereta kebal utamanya, Haider kepada Bangladesh.
Tawaran penjualan kereta kebal utama Haider itu dikemukakan ketika delegasi pegawai-pegawai Tentera Darat Bangladesh melakukan lawatan ke Heavy Industries Taxila (HIT) yang bertanggungjawab mengeluarkan pelbagai kelengkapan tentera untuk tentera Pakistan termasuk kereta kebal utama Haider.
Kereta berada di HIT, delegasi pegawai kanan Tentera Darat Bangladesh itu telah dibawa melawat kemudahan pembuatan kereta perisai dan pelbagai pembuatan sistem persenjataan yang lain.
Hubungan ketenteraan di antara Islamabad dan Dhaka semakin erat terutamanya selepas pemenang hadiah Nobel Muhammad Yunus mengambilalih pentadbiran kerajaan Bangladesh selepas kejatuhan Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang kini tinggal dalam buangan di India.
Walaupun berhadapan dengan desakan daripada Dhaka, New Delhi enggan mengekstradisi Sheikh Hasina kembali ke Bangladesh walaupun bekas Perdana Menteri itu berhadapan dengan pelbagai tuduhan.
Muhammad Yunus yang mewujudkan Bank Grameen telah mengambil pendekatan untuk mengeratkan lagi hubungan keselamatan dan ketenteraan bukan sahaja di antara Bangladesh dan Pakistan, tetapi juga di antara negara itu dengan China.
Hubungan pertahanan dan keselamatan yang lebih erat di antara Bangladesh dan Pakistan serta China telah menyebabkan kesangsian yang tinggi daripada negara jirannya, India.
Pada awal tahun lepas, Pakistan telah mendedahkan kepada awam kereta kebal utamanya yang baru dinamakan Haider, yang dibangunkan hasil kerjasama di antara syarikat pertahanan negara itu dengan China.
Dibangunkan oleh syarikat pertahanan Pakistan, Heavy Industries Taxila (HIT) dan NORINCO daripada China, kereta kebal utama terbaru Pakistan itu merupakan bukti jelas tentang hubungan pertahanan dan ekonomi yang amat erat antara kedua-dua negara.
China merupakan pembekal senjata terbesar kepada Pakistan.
Selain kereta kebal utama Haider, Pakistan dan China turut bekerjasama membangunkan pesawat pejuang JF-17 Thunder yang dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan juga Chengdu Aircraft Corporation of China.   
Menurut laporan sebelum ini, Pakistan telah bersetuju untuk membeli 674 buah kereta kebal VT4 daripada China, yang sebahagian besar daripadanya dipasang dan dihasilkan di kilang milik HIT di Pakistan.
Kemungkinan besar, kereta kebal utama terbaru “Haider” itu adalah kereta kebal VT4 China itu tetapi telah dilengkapi dengan komponen-komponen keluaran Pakistan itu sendiri bagi membolehkan ia diberikan nama terbarunya itu.
Kereta kebal utama VT4 atau MBT-3000 keluaran syarikat NORINCO daripada China itu merupakan kereta kebal generasi ketiga dan adalah varian eksport daripada kereta kebal Type 99 yang digunakan oleh Tentera Darat China.
Haider
“Haider”
Haider adalah kereta kebal terbaru industry pertahanan Pakistan, yang sebelum ini telah membangunkan kereta-kereta kebal buatan tempatan yang lain seperti Al-Zarrar dan Al-Khalid.
Kereta kebal utama Haider, ia direkabentuk secara konvensional dengan dioperasikan oleh tiga krew, dengan pemandu kereta kebal berada di bahagian hadapan.
Mengenai sistem persenjataannya pula, ia dilengkapi dengan meriam 125mm yang berkemampuan melancarkan pelbagai peluru seperti APFSDS, HE, HEAT dan juga peluru berpandu anti-kereta kebal.
Dengan kapasiti untuk membawa 38 butir peluru, kereta kebal utama Haider mampu berada lama di medan peperangan untuk memusnahkan lebih banyak sasaran.
Selain meriam, kereta kebal terbaru Pakistan itu juga dilengkapi dengan mesingan 7.62mm dan Remote Control Weapon Station (RCWS) dengan mesingan berat 12.7mm sebagai sistem pertahanan jarak dekatnya.
Untuk sistem pertahanannya, selain mesingan 7.62mm dan 12.7mm, kereta kebal utama Haider itu juga dilengkapi dengan sistem armor yang terdiri daripada teknologi armor komposit dan reaktif bagi melindunginya daripada pelbagai ancaman termasuk peluru berpandu anti-kereta kebal.
Mengenai enjinnya pula,  ia dilengkapi dengan enjin diesel yang memberikannya kuasa 1,200 kuasa kuda, transmisi otomatik bagi membolehkannya mencapai kelajuan 70km sejam untuk jarak operasi sejauh 500km.
Kereta kebal utama Haider juga dilengkapi dengan sistem kawalan tembakan (fire control system) yang canggih bagi membolehkan ia membedil sasaran di medan pertempuran dengan darjah ketepatan yang tinggi.
Sistem Fire Control System kereta kebal utama Haider itu juga dilengkapi dengan komputer ballistik yang melakukan kiraan bagi memastikan sasaran ditembak dengan tepat sekaligus memusnahkan ancaman.
Setakat ini, jumlah sebenar Haider yang sudah diserahkan kepada unit-unit armor Tentera Darat Pakistan tidak diumumkan secara rasmi, namun anggaran pakar pertahanan menjangkakan puluhan unit pertama sudah dioperasikan di beberapa Divisyen Armor strategik di Punjab dan selatan Sindh.
Sebahagian laporan tidak rasmi turut menyebut rancangan untuk menjadikan Haider sebagai MBT tulang belakang “Armoured Division 1 Corps” Pakistan yang sering diatur gerak di sepanjang Sempadan Antarabangsa dengan India.
Pengoperasian Haider menandakan langkah strategik Islamabad untuk mengurangkan pergantungan mutlak kepada model MBT warisan Soviet seperti T-80UD buatan Ukraine atau Type-85IIAP buatan China yang telah berkhidmat selama dekad.
Pakar pertahanan Pakistan mendakwa Haider mampu menandingi keupayaan MBT Arjun Mk.1A India, meskipun kebanyakan penganalisis antarabangsa melihat Haider lebih dekat kategori MBT “medium-weight” berbanding platform super-heavy seperti T-90MS atau Arjun.
Secara strategik, kehadiran Haider juga berfungsi sebagai platform peralihan untuk Islamabad membina keupayaan rekabentuk, integrasi modular dan pengeluaran kereta kebal secara bersiri, satu usaha yang bermula dengan Al-Khalid sejak era 1990-an.
Tentera Darat Bangladesh (Bangladesh Army) kini sedang giat memperkukuh komponen armor sebagai tulang belakang keupayaan tempur daratnya dalam menghadapi cabaran keselamatan di rantau Asia Selatan.
Sejak merdeka pada tahun 1971, Bangladesh mewarisi doktrin tentera darat berasaskan platform buatan Soviet dan China, dengan kereta kebal utama (Main Battle Tank, MBT) menjadi elemen penting dalam menjaga kedaulatan di sempadan daratnya.
Antara tulang belakang armada armor Bangladesh ketika ini ialah MBT Type-59, Type-69 dan Type-69 IIG yang diimport dari China sejak era 1980-an, selain beberapa varian Type-62 yang lebih ringan untuk sokongan operasi di kawasan bergunung.
Dalam usaha memodenkan asetnya, Bangladesh turut memperoleh MBT-2000 (VT-1A) buatan China, yang dianggap sebagai antara kereta kebal paling moden dalam inventori Tentera Darat Bangladesh.
Kereta kebal MBT-2000 ini dilengkapi meriam smoothbore 125mm, sistem kawalan tembakan digital, enjin diesel berkuasa tinggi serta keupayaan penglihatan malam yang lebih baik berbanding varian lama.
Menurut sumber pertahanan serantau, Bangladesh kini memiliki lebih 300 unit MBT pelbagai jenis, menjadikan Kor Armor mereka antara yang terbesar di Asia Selatan selepas India dan Pakistan.
Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal tunggal, Dhaka dilaporkan turut meneroka peluang pembelian kereta kebal dari Turki, Ukraine dan Pakistan melalui lawatan pertahanan, lawatan delegasi, serta program pertukaran teknologi.
Tumpuan utama Tentera Darat Bangladesh ketika ini adalah memastikan armada armor sedia ada kekal berkeupayaan melalui program menaik taraf Type-59 dan Type-69, termasuk penambahbaikan perisai, sistem komunikasi dan peralatan pandu arah digital.
Dalam konteks geo-strategik, kekuatan armor Bangladesh dilihat penting untuk mengekalkan kestabilan di kawasan sempadan dengan Myanmar di selatan serta menjaga kedudukan strategik di sekitar sempadan India-Bangladesh.
Pemerhati pertahanan menilai walaupun Bangladesh tidak terlibat dalam sebarang konflik konvensional berskala besar sejak merdeka, kehadiran Kor Armor yang efektif tetap diperlukan untuk misi pencegahan, kawalan sempadan dan operasi penindasan pemberontakan.
Selain itu, Bangladesh aktif menambah baik doktrin peperangan mekanis dengan memperkukuh integrasi kereta kebal, infantri mekanis, artileri sokongan dan dron tinjau, sejajar dengan perkembangan medan pertempuran moden.

Leave a Reply