Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand, Israel Kerjasama Hasil Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal “SPIKE”

Kerjasama antara Defense Technology Institute (DTI) dan syarikat Rafael Advanced Systems daripada Israel itu juga bergantung kepada perolehan lebih banyak sistem peluru berpandu itu oleh Angkatan Tentera Thailand.

0 3,397

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Defence Technology Institute (DTI), sebuah agensi penyelidikan di bawah Kementerian Pertahanan Thailand telah menandatangani perjanjian dengan syarikat pertahanan Israel untuk menghasilkan sistem peluru berpandu  “SPIKE” di negara Asia Tenggara itu.

Syarikat pertahanan Israel yang menandatangani perjanjian dengan DTI itu adalah Rafael Advanced Defense Systems.

Perjanjian itu akan menyaksikan pemindahan teknologi di antara kedua-dua pihak dan seterusnya penghasilan komponen sistem peluru berpandu itu di Thailand.

Dibawah perjanjian di antara kedua-dua pihak itu, dua varian sistem peluru berpandu buatan syarikat pertahanan Israel itu, Spike Non-Line-of-Sight (NLOS) dan Spike Extended Range (ER) akan dihasilkan di Thailand.

“Jikalau kerjasama di bawah fasa pertama itu berjaya, maka kita akan bergerak ke fasa kedua di mana kita meningkatkan lagi pemindahan teknologi dan produksi, “ menurut pegawai kanan DTI kepada portal pertahanan antarabangsa itu.

SPIKE
Anggota tentera Thailand dengan sistem peluru berpandu “SPIKE”

 

Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau turut berkata bahawa kerjasama antara DTI dan Rafael daripada Israel itu juga bergantung kepada perolehan lebih banyak sistem peluru berpandu itu oleh Angkatan Tentera Thailand.

Sekiranya Angkatan Tentera Thailand memutuskan untuk memperolehi lebih banyak sistem peluru berpandu itu, maka DTI dan syarikat Rafael akan menubuhkan syarikat usahasama untuk melakukan pembuatan sistem peluru berpandu itu di Thailand.

Pada akhir tahun 2020, Thailand telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Rafael daripada Israel itu untuk memperolehi sistem peluru berpandu “SPIKE MR” buatan syarikat itu.

Perolehan peluru berpandu anti kereta kebal Spike MR (Medium Range) oleh tentera darat Thailand dilakukan selepas proses pemilihan dan ia digunakan oleh anggota tentera daripada Divisyen Ke-6 Infantri Tentera Darat Thailand.

SPIKE
Anggota tentera Thailand dengan “SPIKE”

 

Peluru berpandu Spike MR adalah sistem elektro optikal fire and forget yang mampu membedil sasaran sehingga 2.5 km.

 Sebagaimana didakwa oleh syarikat pembuat senjata itu, peluru berpandu anti kereta kebal Spike adalah sistem yang popular dikalangan negara asing (negara yang mempunyai hubungan diplomatik Israel).

Menurut syarikat Rafael, Spike kini digunakan oleh 35 buah negara termasuk 19 buah negara anggota NATO dan sejumlah 33,000 peluru berpandu telah pun terjual.

Pemilihan peluru berpandu Spike oleh tentera Thailand hanya mengesahkan lagi kebanjiran senjata-senjata buatan syarikat pertahanan Israel di Asia dan Asia Tenggara. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...