Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Arab Saudi Tambah Koleksi Dron Buatan China, Terbaru HALE WL-10B

Dron altitud tinggi “Wing Loong-10B” yang bakal dimiliki oleh Arab Saudi itu dibangunkan oleh Aviation Industry Corporation of China (AVIC) dan akan berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Saudi (RSAF).

0 2,294

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi kekal menjadi antara pembeli terbesar senjata buatan China di rantau Timur Tengah apabila ia muncul sebagai pelanggan eksport pertama bagi dron jarak jauh altittud tinggi (High Altitude Long Endurance – HALE) “Wing Loong-10B” (WL-10B).

Dron “Wing Loong-10B” itu dibangunkan oleh Aviation Industry Corporation of China (AVIC) dan akan berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Saudi (RSAF).

Pihak delegasi China turut membawa dron altitude tinggi itu ke pameran World Defense Show 2024 yang telah berlangsung di Riyadh daripada 4 hingga 8 Feb lalu.

Dron WL-10B  yang bakal diperolehi oleh Riyadh merupakan varian eksport kepada dron WL-10 yang digunakan oleh People’sLiberation Army Air Force (PLAAF).

Ia boleh mencapai kelajuan maksimum 620km sejam dan terbang setinggi 15,000 meter dengan kemampuan untuk berada di udara selama 20 jam.

Arab Saudi
Dron HALE Wing Loong WL-10B

 

Dron altitud tinggi buatan China itu dilengkapkan dengan pelbagai kelengkapan elektro-optikal dan sistem persenjataan seperti peluru berpandu dan bom seberat 900kg termasuk bom-bom luncuran (glide bomb).

Ia juga boleh dilengkapkan dengan peluru berpandu anti-kapal YJ-9E.

Sejak beberapa tahun yang lalu, Arab Saudi telah menjalin kerjasama dengan syarikat daripada China, Chengdu Aircraft Industry Group (CAIG) untuk menghasilkan dron-dron bersenjata buatan syarikat dalam negara bagi kegunaan angkatan tentera negara Arab itu.

Sejak bersetuju untuk memperolehi dron-dron buatan China sejurus selepas lawatan Raja Salman ke China pada 2017, kerjasama Riyadh dan Beijing dalam bidang pertahanan telah berkembang.

Hasilnya, China bersetuju untuk membekalkan 300 buah dron bersenjata Wing Loong II kepada Arab Saudi, dengan sebahagian besar daripada dron-dron itu akan dihasilkan oleh industri pertahanan negara Arab yang kaya-raya itu.

Sebelum memperolehi dron WL-10B yang terbaru ini, Arab Saudi telah pun memiliki dron-dron buatan China yang lain termasuk Wing Loong 1 dan Wing Loong II yang digunakan secara meluas oleh negara itu dalam konflik bersenjatanya menentang kumpulan bersenjata Houthi di Yemen.

Selain membeli dron-dron buatan China, Arab Saudi pada tahun lepas turut membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi dron “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.

Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.

Saudi

Perjanjian “pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye” itu telah ditandatangani ketika Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan melawat Arab Saudi tahun lepas.

Syarikat pertahanan Saudi Arabian Military Industries (SAMI) mengumumkan bahawa 70 peratus daripada komponen dron “Akinci” yang bakal diperolehi oleh Arab Saudi itu akan dibuat dalam negara.

Ia adalah sebahagian daripada langkah Arab Saudi untuk meningkatkan kemampuan industri pertahanannya.

Selain SAMI yang menandatangani perjanjian dengan syarikat pembuat dron “Akinci”, Baykar Technology, sebuah lagi syarikat Arab Saudi, National Company for Mechanical Systems (NCMS) pula memeterai perjanjian dengan syarikat Aselsan daripada Turkiye yang membina sistem electro-optical bagi dron bersenjata itu.

NCMS turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Roketsan daripada Turkiye, yang menghasilkan sebahagian besar sistem persenjataan dron “Akinci” serta pelbagai sistem persenjataan lain. — DSA

Notis

 

Comments
Loading...