Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Dakwa J-20 Miliknya “Tembak Jatuh” 17 Buah Rafale India Dalam Simulasi Peperangan Udara?

Dalam satu simulasi peperangan udara yang dianjurkan oleh China, pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya, J-20 “Mighty Dragon” dilaporkan telah menembak jatuh 17 buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India.

0 1,064

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam satu simulasi peperangan udara yang dianjurkan oleh China, pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya, J-20 “Mighty Dragon” dilaporkan telah menembak jatuh 17 buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India.

“Kejayaan” Tentera Udara China itu (PLAAF) telah dilaporkan oleh seorang juruterbang China yang dikaitkan dengan Wang Hai Air Group daripada Pemerintahan Medan Timur angkatan tentera negara itu.

Sebagaimana dilaporkan oleh portal pertahanan Bulgarian Military, juruterbang China itu menyatakan bahawa beliau dan rakan-rakannya telah “menembak jatuh” 17 buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India itu dalam simulasi peperangan udara yang diadakan.

Hubungan kedua-dua kuasa besar Asia itu sebagaimana diketahui adalah tidak baik terutamanya di kawasan sempadan pergunungan di mana anggota tentera masing-masing pernah terlibat dalam peperangan.  

Tentera Udara India memiliki 36 buah pesawat pejuang Rafale yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation dan pada tahun lepas, dilaporkan telah memesan 26 buah lagi pesawat pejuang generasi 4.5 itu untuk kegunaan tentera lautnya pula.

Rafale
Pesawat pejuang Rafale India

 

Pesawat pejuang Rafale varian tentera laut itu mahu digunakan oleh India di kapal pengangkut pesawatnya.

Selain pesawat-pesawat pejuang Rafale, Tentera Udara India juga memiliki kira-kira 250 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI yang kebanyakkannya dibina dalam negara oleh syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL).

China dan tentera udara negara-negara lain menggunakan simulasi peperangan udara untuk menguji dan merangka taktik dan strategi udara mereka tanpa perlu mendedahkan diri dan aset pada suasana peperangan yang sebenarnya.

Oleh kerana itulah, hasil daripada simulasi peperangan adalah lebih untuk kajian para perancang tentera dan bukan untuk menggambarkan keadaan yang sebenar yang bakal berlaku di medan peperangan.

Kedua-dua pesawat pejuang, J-20 “Mighty Dragon” dan Rafale menggunakan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) tetapi pesawat pejuang generasi kelima itu dilapor mengguna radar yang lebih berkuasa tinggi berbanding apa yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Perancis itu.

J-20
J-20

 

Selain itu, pesawat pejuang J-20 itu adalah pesawat yang halimunan berbanding pesawat pejuang Rafale yang hanya memiliki Radar Cross Section yang rendah.

Tahun lepas, J-20 “Mighty Dragon” telah melakukan penerbangan sulung menggunakan dua enjin baru yang lebih berkuasa dan membolehkannya terbang lagi jauh serta berada lebih lama di udara.

Bertempat di kemudahan syarikat pembuat pesawat itu, Chengdu Aircraft Industry Corporation (CAIC), pesawat J-20 itu melakukan penerbangan sulung dilengkapi dengan dua enjin terbaru yang akan menggantikan enjin lamanya, WS-10.

Dinamakan WS-15, enjin terbaru pesawat J-20 ini akan menggantikan secara berperingkat enjin WS-10 yang mula didedahkan kepada khalayak ramai pada tahun lepas selepas dibangunkan selama beberapa tahun.

Menurut para penganalisi pertahanan, walaupun kemampuan sebenar pesawat pejuang J-20 itu belum teruji tetapi ia tidak dapat dinafikan adalah pesawat pejuang generasi kelima yang baik dengan kemampuan enjin baru membolehkannya untuk beroperasi lebih lama (endurance) berbanding pesawat pejuang yang sama kelas dengannya.

J-20
Varian terkini J-20 menggunakan enjin baru, WS-15

 

Dengan enjin WS-15, ia akan membawa J-20 lebih ke depan berbanding pesawat-pesawat pejuang pesaingnya dari segi endurance.

Dengan enjin baru, WS-15, ia membuka lebih banyak kemungkinan strategik kepada pesawat-pesawat J-20 milik China termasuk membolehkannya untuk menjalankan rondaan lebih lama, berada di udara lebih lama untuk tugas-tugas pertahanan udara serta membolehkan ia melaksanakan misi serangan udara terhadap Taiwan daripada kawasan timur China.

Enjin terbaru WS-15 yang bakal digunakan oleh J-20 juga memungkinkan ia melakukan serangan-serangan udara terhadap kemudahan tentera Barat di Jepun tanpa perlu melakukan misi pengisian minyak di udara.

Dikatakan enjin WS-15 adalah enjin pesawat pejuang yang paling berkemampuan pernah diintegrasikan dengan pesawat pejuang dua enjin.(sekurang-kurangnya apabila dibandingkan dengan enjin-enjin pesawat pejuang buatan Russia seperti AL-41F dan D-30F-6).

Kuasa tujahan enjin WS-15 dikatakan mencecah di antara 19-20 tan berbanding enjin F119 yang digunakan oleh F-22 yang mencapai 17.5 kuasa tujahan.

Enjin WS-15 yang bakal digunakan oleh J-20 dibangunkan oleh Aero Enjine Corp of China (AECC).

China dikatakan memiliki kira-kira 200 buah pesawat pejuang J-20. — DSA

(LAGI BERITA TENTANG PESAWAT PEJUANG J-20 “MIGHTY DRAGON”)

Comments
Loading...