Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas Qatar, Indonesia Kini Sasar 12 Mirage 2000-9 UAE Pula

Jika hasrat Bapak Prabowo itu tertunai, maka di dalam tempoh dua hingga tiga tahun ke depan ini, Indonesia bakal mengoperasikan 24 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 dan Mirage 2000-9 yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation daripada Perancis itu.

4,185

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hanya beberapa hari selepas mengumumkan ia bakal membelanjakan US$800 juta (RM3.2 bilion) untuk memperolehi 12 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 milik Qatar, Indonesia kini menyuarakan hasrat untuk memperolehi pula sebanyak 12 buah pesawat terpakai Mirage 2000-9 milik sebuah lagi negara Timur Tengah.

Negara Timur Tengah terbaru yang menjadi “sasaran” Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Emirates (UAE) juga punya Mirage, jenisnya Mirage 2000-9. Ini kami akan segera kirim tim negosiasi. Dan, ini juga kami negosiasi, karena kami harus yakinkan mereka bersedia (pesawat tempurnya) kami akuisisi,” kata beliau pada media di Kementerian Pertahanan negara itu.

Mirage
Pesawat pejuang Mirage 2000-9 milik Tentera Udara UAE

 

Jika hasrat itu tertunai, maka di dalam tempoh dua hingga tiga tahun ke depan ini, Indonesia bakal mengoperasikan 24 buah pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 dan Mirage 2000-9 yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation daripada Perancis itu.

Kedua-dua pesawat pejuang itu telah ditamatkan khidmatnya oleh Tentera Udara Qatar dan Tentera Udara UAE, selepas mereka memperolehi pesawat pejuang yang lebih canggih.

Jakarta menggunakan pinjaman asing untuk memperolehi pesawat pejuang Mirage 2000-5 Qatar yang mula diperkenalkan oleh syarikat pembuatnya, Dassault Aviation pada tahun 1967.

Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu kenyataan beberapa hari lepas itu menyatakan bahawa negara itu telah menandatangani perjanjian pembelian pesawat milik Qatar itu dengan Excalibur International, anak syarikat Czechoslovak Group .

Menteri Pertahanan Indonesia itu berkeyakinan Jakarta akan dapat memperolehi apa yang dihajatinya daripada UAE itu berikutan hubungan diplomatik yang baiknya dengan negara Timur Tengah itu.

Mirage
Pesawat pejuang Mirage 2000-9 UAE

 

Perolehan pesawat-pesawat pejuang terpakai oleh Indonesia itu merupakan salah satu usaha “stop-gap measures” sementara menunggu pesawat-pesawat pejuang Rafale yang dipesannya tiba serta kemungkinan pesawat F-15EX.

Indonesia dijangka menerima pesawat pejuang Rafale miliknya yang pertama di dalam tempoh tiga tahun manakala proses rundingan perolehan pesawat pejuang F-15EX dengan Amerika Syarikat masih lagi berjalan.

Prabowo menyatakan bahawa Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) memerlukan tambahan pesawat pejuang bagi menjaga negara itu yang mempunyai keluasan menyamai benua Eropah.

Pada Februari tahun lepaslepas, Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto telah menantangani kontrak bagi perolehan enam buah pesawat pejuang generasi 4. 5 buatan syarikat Perancis itu.

Secara keseluruhannya, Indonesia bercadang memperolehi sejumlah 42 buah pesawat pejuang Rafale.

rafale
Pesawat pejuang Rafale

 

Perolehan 42 buah pesawat pejuang Rafale akan dilakukan  secara dua tahap iaitu enam buah pesawat (tahap 1) dan 36 buah pesawat pada tahap kedua.

Harga bagi enam buah pesawat Rafale pertama itu dilaporkan sekitar US$1.3 bilion (RM5.2 bilion) manakala harga bagi keseluruhan 42 buah pesawat dianggarkan pada sekitar US$8.1 bilion (RM32.4 bilion).

Negara Asia Tenggara itu mengikuti jejak langkah Mesir yang membeli 55 buah pesawat Rafale, Qatar (36), India (36), Greek (24), Croatia (12) dan Emiriah Arab Bersatu (80).

Pada Februari lepas itu, Indonesia turut menerima keluluskan daripada pihak Amerika Syarikat untuk memperolehi sehingga 36 buah varian pesawat F-15 yang terbaru iaitu “EX” yang dianggarkan bernilai di sekitar US$14 billion (RM56 bilion). — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.