Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Walau Dikritik Kerana “Usia”, Indonesia Tetap Peroleh 12 Mirage 2000-5

“Indonesia memerlukan pesawat pejuang dengan segera (kepada Tentera Udara) untuk menampung penurunan kesiapsiagaan kombat pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Indonesia,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan negara itu Edwin Adrian Sumantha dalam satu kenyataan sebagaimana dipetik oleh agensi berita Reuters.

0 4,489

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia meneruskan hasratnya untuk memperolehi 12 buah pesawat pejuang Mirage 2000-5 yang sebelum ini digunakan oleh Tentera Udara Qatar, walaupun pihak dalam negara itu mengkritik usia pesawat itu yang disifatkan sebagai “terlalu tua.”

Jakarta menggunakan pinjaman asing berjumlah US$800 juta (RM3.2 bilion) untuk memperolehi pesawat pejuang itu yang mula diperkenalkan oleh syarikat pembuatnya, Dassault Aviation pada tahun 1967.

Kementerian Pertahanan Indonesia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa negara itu telah menandatangani perjanjian pembelian pesawat itu dengan Excalibur International, anak syarikat Czechoslovak Group .

Mirage
Pesawat Mirage 2000-5 Tentera Udara Qatar

 

Pesawat-pesawat pejuang terpakai itu akan diserahkan kepada Indonesia 24 bulan selepas kontrak itu ditandatangani.

Pembelian itu meliputi perolehan sembilan buah pesawat pejuang Mirage 2000-5 satu tempat duduk manakala tiga buah pesawat yang lain adalah dua tempat duduk .

“Apa yang sangat mendesak sehinggakan kita terpaksa membeli pesawat pejuang terpakai dan sudah tua, “ akhbar Kompas memetik kenyataan pembuat undang-undang negara itu, Tubagus Hasanuddin.

Kementerian Pertahanan Indonesia tidak menjelaskan usia pesawat pejuang terpakai dibelinya itu, tetapi pembelian turut meliputi perolehan 14 buah enjin pesawat, tiga tahun khidmat sokongan dan latihan juruterbang.

“Indonesia memerlukan pesawat pejuang dengan segera (kepada Tentera Udara) untuk menampung penurunan kesiapsiagaan kombat pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Indonesia,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan negara itu Edwin Adrian Sumantha dalam satu kenyataan sebagaimana dipetik oleh agensi berita Reuters.

Qatar
Pesawat Mirage 2000-5 Qatar

 

Indonesia merancang untuk meletakkan pesawat-pesawat Mirage 2000-5 diperolehinya di Pangkalan Udara Supadio di Pontianak,Kalimantan yang terletak berhampiran dengan Laut China Selatan.

Tentera Udara Qatar menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang satu enjin yang dibangunkan oleh Dassault Aviation itu pada 2021, tidak lama selepas ia memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale pada 2015 dan 2017.

Qatar cuba menjualkan pesawat Mirage 2000-5 miliknya, dengan beberapa negara menunjukkan minat terutamanya Bulgaria selepas ia menyerahkan pesawat-pesawat Su-25 dan MiG-29 miliknya kepada Ukraine.

Tentera Udara Indonesia sejak beberapa tahun dahulu berusaha untuk memodenkan angkatannya yang terdiri daripada pesawat-pesawat pejuang F-16 dan Sukhoi Su-30.

Pada Februari tahun lepas, Indonesia menandatangani perjanjian dengan Perancis untuk memperolehi 42 buah pesawat pejuang Rafale, yang akan dibeli secara dua fasa iaitu enam buah pesawat (tahap 1) dan 36 buah pesawat pada fasa kedua.

rafale
Pesawat pejuang Rafale

 

Jakarta dijangka menerima pesawat Rafale yang pertama daripada enam buah itu tiga tahun selepas kontrak diaktifkan iaitu pada tahun 2025.

Indonesia dijangka menggunakan varian sedia ada iaitu Rafale FR3.

Rundingan dengan Amerika Syarikat sedang berlangsung untuk perolehan sejumlah pesawat pejuang F-15EX bagi kegunaan Tentera Udara Indonesia. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...