Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Ukraine “Tipu” Dakwa Leopard Mereka Rosak, Elak Berdepan Tentera Russia – Media Jerman

Dakwaan itu dinyatakan dalam laporan laman web Jerman "Der Spiegel" berdasarkan kenyataan daripada anggota tentera Ukraine yang terlibat dalam serangan balas negara terhadap kedudukan Russia di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.

0 8,907

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Krew-krew kereta kebal Leopard yang dioperasi anggota tentera Ukraine didakwa telah menipu dengan mengatakan kereta kebal buatan Jerman mereka itu telah mengalami kerosakan, bagi mengelak mereka daripada dikerah ke medan peperangan dan berdepan dengan tentera Russia.

Dakwaan itu dinyatakan dalam laporan laman web Jerman “Der Spiegel” berdasarkan kenyataan daripada anggota tentera Ukraine yang terlibat dalam serangan balas negara terhadap kedudukan Russia di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.

Laporan oleh laman web Jerman itu memetik seorang krew kereta kebal Leopard dikenali dengan nama “Gudzik” yang menyatakan bahawa segelintir anggota tentera Ukraine enggan terlibat dalam peperangan dan menipu dengan menyatakan kereta kebal telah mengalami kerosakan.

Leopard
Kereta perisai Bradley yang ditinggalkan oleh tentera Ukraine selepas serangan tentera Russia.

 

Anggota tentera terbabit enggan mengecam krew kereta kebal Leopard yang enggan terlibat dengan peperangan itu kerana tahu tentang risiko sekiranya kereta kebal mereka terkena bedilan oleh tentera Russia.

“Mereka tahu, sekiranya kereta kebal mereka terkena bedilan tentera Russia, maka mereka akan menjadi ‘debu’ bersama-sama kereta kebal itu,” katanya kepada laman web Jerman itu.

Beliau juga menyatakan bahawa tiga daripada kereta kebal Leopard buatan Jerman yang terlibat dalam serangan balas Ukraine di Wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine itu telah terkena bedilan periuk api yang diletakkan oleh anggota tentera Russia.

Periuk-periuk api itu telah diletakkan di suatu kawasan yang luas dan mendatangkan ancaman yang signifikan kepada kereta-kereta kebal dan perisai Ukraine buatan Barat itu itu.

 Sejak tentera Ukraine melancarkan serangan balas musim panas yang ditunggu-tunggu baru-baru ini, ia dilaporkan telah mula kehilangan banyak kereta kebal dan kereta perisai yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.

Dalam serangan di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine yang berjaya dipatahkan oleh tentera Russia sebagaimana didakwa oleh media negara itu, tentera Ukraine dilaporkan telah kehilangan kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat.

Bradley
Kenderaan IFV Bradley buatan Amerika di Ukraine

 

Laporan oleh pemerhati menyatakan bahawa dalam serangan itu, Kiev telah kehilangan sekurang-kurangnya enam buah kereta kebal Leopard yang terdiri daripada varian Leopard 2A6 dan Leopard 2A4.

“Dua buah daripada kereta kebal buatan Jerman itu telah musnah sepenuhnya akibat tembakan peluru berpandu anti-kereta kebal atau periuk api, sebuah ditembak dan ditinggalkan manakala tiga buah yang lain telah ditinggalkan,” menurut laporan itu.

Gambar-gambar serta video kemusnahan kereta kebal Leopard dan kereta Bradley juga telah tersebar.

Dalam satu video yang telah tersebar, sebuah kereta kebal Leopard yang dioperasikan oleh tentera Ukraine telah dibedil oleh dron kamikaze “Lancet” milik tentera Russia.

Sebuah lagi video yang tersebar menunjukkan helikopter penyerang Russia,KA-52 telah melancarkan peluru berpandu terhadap konvoi armor diketuai oleh kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley.

Laporan media-media Russia mendakwa serangan Ukraine di wilayah Zaphorizia itu menyaksikan Kiev kehilangan di antara 22 hingga 24 buah kereta kebal Leopard yang dibekalkan oleh negara-negara Eropah.

Ka-52
Helikopter penyerang Ka-52 “Alligator”

 

Mengikut laporan daripada laman web analisis peperangan Belanda, Oryx, sejumlah 16 buah kenderaan IFV Bradley yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine telah musnah atau rosak teruk dalam tempoh beberapa hari ini.

Menurut Oryx, sejumlah lima buah Bradley IFV telah musnah sepenuhnya manakala lima mengalami kerosakan yang teruk sehingga ia terpaksa ditinggalkan oleh anggota tentera Ukraine yang mengoperasikannya.

Sejumlah 16 buah kenderaan Bradley IFV yang musnah itu hanyalah sebahagian kecil daripada 109 buah Bradley IFV yang dibekalkan oleh Washington kepada Kiev untuk berhadapan dengan tentera Russia.

Kemusnahan yang dialami oleh 16 buah kenderaan IFV Bradley itu berlaku apabila tentera Ukraine melaksanakan salah satu manuver tentera yang paling berisiko sepanjang konflik itu dipanggil “operasi memecah”. (Breaching Operation)

Operasi ini melibatkan tindakan “memecah” barisan pertahanan musuh yang disifatkan sebagai antara taktik ketenteraan yang paling berbahaya dan kompleks.

Apa yang membuatkan operasi dilaksanakan oleh tentera Ukraine ini lebih berbahaya adalah kerana ia dilakukan tanpa bantuan pesawat pejuang atau tembakan artileri, sekaligus mendedahkan kenderaan Bradley IFV itu kepada bahaya serangan balas pihak musuh yang menyebabkan kadar kemusnahan kenderaan tempur itu yang tinggi. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...