Maritim Malaysia Peroleh Kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) Dari Turkiye
Perolehan kapal pelbagai guna dan pelbagai misi itu dimeterai di Putrajaya semasa lawatan Presiden Turkiye Recep Tayyep Edrogan ke Malaysia hari ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan memperolehi sebuah kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) dibina oleh syarikat pembuat kapal Turkiye, Desan Shipyard.
Perolehan kapal pelbagai guna dan pelbagai misi itu dimeterai di Putrajaya semasa lawatan Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan ke Malaysia hari ini.
Dokumen perolehan kapal Turkiye itu merupakan sebahagian daripada majlis pertukaran 11 dokumen yang diadakan di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Erdogan di Putrajaya hari ini.
Pertukaran dokumen perolehan kapal MPMS Maritim Malaysia itu adalah di antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Awang Alik Jeman dan Pengerusi Lembaga Desan Shipyard Cenk Ismail Kaptanoglu.
Setakat ini tiada maklumat lanjut diberikan tentang perolehan kapal MPMS oleh Maritim Malaysia itu.
Bagaimanapun pada Oktober tahun lepas, Ketua Pengarahnya Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata Maritim Malaysia telah diperuntukkan sejumlah RM350 juta untuk perolehan sebuah kapal misi pelbagai guna (Multi Purpose Mission Ship).
Katanya, kapal misi pelbagai guna itu akan membolehkan Maritim Malaysia melaksanakan operasi di laut dengan lebih berkesan.
“Kapal ini jelas beliau akan dilengkapi dengan pelbagai keupayaan pelbagai misi operasi yang membolehkan Maritim Malaysia melaksanakan operasi di laut dengan lebih berkesan,” menurut beliau dalam satu kenyataan.
Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) ialah kapal yang direka untuk menjalankan pelbagai operasi maritim dalam satu platform.
Ia digunakan oleh tentera laut dan agensi keselamatan maritim untuk memenuhi keperluan misi yang berbeza tanpa perlu menggunakan pelbagai jenis kapal khusus.
MPMS sering direka dengan modulariti, membolehkan kapal ini disesuaikan untuk pelbagai tugas dengan menukar peralatan atau konfigurasi tertentu.
Kapal seperti ini memberi kelebihan dari segi kecekapan operasi dan kos berbanding memiliki pelbagai kapal khusus untuk setiap misi.

Pada majlis pertukaran dokumen yang disaksikan oleh Anwar dan Erdogan hari ini, Kementerian Pertahanan dan Setiausaha Industri Pertahanan (SSB) Turkiye turut bertukar-tukar dokumen melibatkan kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
Dokumen bertajuk “Perolehan Kerajaan ke Kerajaan dan Terma Rujukan bagi Jawatankuasa Bersama Produk Pertahanan” (Government-to-Government Procurement and Terms of Reference for the Joint Committee on Defence Products) itu ditukarkan di antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Presiden SSB Prof Haluk Gorgun.
Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Raja Datuk Nushirwan Datuk Zainal Abidin turut bertukar-tukar dokumen bertajuk “Kerjasama Strategik dalam Bidang Sistem Komunikasi” atau “Strategic Cooperation in the Field of Communication Systems” juga dengan Presiden SSB Prof Haluk Gorgun.
— DEFENCE SECURITY ASIA