Mesir Sudah Miliki J-10CE Buatan China Dilengkapi Peluru Berpandu PL-15 ??
Kemungkinan pemilikan pesawat pejuang J-10CE buatan China oleh Tentera Udara Mesir itu dinyatakan oleh seorang pemerhati aeroangkasa China, Hurin menerusi platform media sosial X miliknya yang menunjukkan dua buah pesawat pejuang J-10CE milik Mesir sedang beraksi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Mesir berkemungkinan besar telah pun menerima kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang J-10CE buatan China, yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh (Beyond Visual Range) PL-15.
Kemungkinan itu dinyatakan oleh seorang pemerhati aeroangkasa China, Hurin menerusi platform media sosial X miliknya yang menunjukkan dua buah pesawat pejuang J-10CE milik Mesir sedang beraksi.
Tentera Udara Mesir dilaporkan memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang J-10CE buatan China itu.
Pesawat pejuang J-10CE merupakan varian eksport kepada pesawat pejuang J-10C “Vigorous Dragon” yang dibangunkan oleh dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation untuk Tentera Udara China.
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.

Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar AESA itu dipercayai mempunyai jarak operasi melebihi 300 km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara dengan jarak tembakan paling jauh di dunia.
Jarak itu membolehkan pesawat pejuang China menyerang sasaran sebelum memasuki jarak tembakan musuh, memberi kelebihan taktikal yang besar.
Pada Sept tahun lepas, Mesir dilaporkan memutuskan untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C buatan China bagi menggantikan pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat berusia yang kini digunakan oleh tentera udara negara Arab itu.
Walaupun Kementerian Pertahanan Mesir masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya, tetapi media-media tempatan dan luar telah pun mengesahkannya.
Dengan keputusan itu, Mesir menjadi negara kedua selepas Pakistan yang memperolehi 25 buah pesawat pejuang generasi 4.5 J-10C buatan China itu.
Keputusan Mesir memilih pesawat pejuang J-10CE buatan China itu menunjukkan negara Arab yang juga merupakan sekutu rapat kepada Amerika Syarikat mahu mengeratkan hubungannya dengan Beijing.

Pada ketika ini, Tentera Udara Mesir itu memiliki kira-kira 200 buah varian terdahulu pesawat pejuang F-16 buatan syarikat Lockheed Martin dan Amerika Syarikat telah menawarkan pakej menaiktaraf pesawat pejuang itu.
Bagaimanapun,nampaknya Mesir telah menolak tawaran itu oleh Washington itu.
Pesawat pejuang J-10CE yang dikatakan mahu dimiliki oleh Tentera Udara Mesir itu mula diperkenalkan kepada orang awam China pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat oleh tentera udara negara itu pada 2018.
Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya.
Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.
Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA) bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.
Laporan tentang kemungkinan Mesir memperolehi pesawat pejuang J-10C itu mula dihidu pada 2023, dengan laporan pegawai-pegawai kanan pertahanan negara Arab itu dan China dikatakan bertemu di Langkawi ketika pameran LIMA 2023 bagi berbincang tentang perolehan pesawat pejuang itu.
Pada LIMA 2023, pasukan aerobatik China “August 1st” yang menggunakan pesawat pejuang J-10C turut menyertai pameran aeroangkasa dan maritim itu di pulau peranginan itu.

Pada Julai 2024, tawaran China kepada Mesir untuk memperolehi pesawat pejuang J-10C itu dikatakan telah dikemukakan ketika Panglima Tentera Udara Mesir Jeneral Mahmud Foaad Abdel Gawaad semasa beliau melawat Beijing dan bertemu dengan rakan sejawatannya Jeneral Chang Dingqiu di Beijing.
Pertemuan di antara Panglima Tentera Udara Mesir dan China di Beijing itu adalah di atas jemputan Jeneral Chang Dingqiu bagi meningkatkan lagi hubungan strategik di antara kedua-dua negara.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Mesir, lawatan oleh Panglima Tentera Udara Mesir ke China itu membuktikan komitmen kuasa Timur Tengah itu untuk meningkatkan lagi hubungan ketenteraan dengan negara sahabat.
Perbincangan di antara kedua-dua pihak di meliputi usaha-usaha untuk meningkatkan kerjasama diantara tentera udara kedua-dua negara terutamanya melibatkan program latihan, pemindahan teknologi dan pembuataan peralatan bersama.
Jeneral Mahmoud Foaad itu juga telah melakukan kunjungan terhadap Pangkalan Udara Tangshan di mana beliau dan delegasi pegawai-pegawai kanan Tentera Udara Mesir itu disajikan dengan demonstrasi penerbangan pesawat pejuang J-10C.
— DEFENCE SECURITY ASIA