Teruskan Pembinaan Kapal LCS Atau RM6 Bilion “Hangus”. Apa Pilihan Kita?
Kerajaan masih perlu menjalankan kajian sama ada hendak menyambung pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM atau membiarkan ia terus “terbengkalai” dan melihat pelaburan sebanyak RM6 bilion setakat ini “hangus.”

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nasib enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM yang pembinaannya telah tertangguh beberapa tahun lamanya masih terumbang-ambing dengan kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad sama ada hendak meneruskan pembinaannya atau membiarkannya terus “terbengkalai”.
Menurut laporan agensi berita nasional,BERNAMA hari ini, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dipetik sebagai berkata bahawa keputusan sama ada projek pembinaan kapal LCS itu diteruskan atau sebaliknya memerlukan perincian lanjut.
Dalam ertikata yang lain, kajian masih perlu dilakukan tentang sama ada pembinaan enam buah kapal itu hendak diteruskan atau ia dibiarkan terus “terbengkalai” dan melihat pelaburan mencecah RM6 bilion yang telah dibelanjakan selama ini “hangus.”

Bagaimanapun Hishammuddin dalam laporan BERNAMA itu berpendapat projek itu perlu diteruskan bagi memastikan pembinaan kapal-kapal LCS itu berjalan lancar, walaupun ia sebenarnya bukan suatu perkara mudah.
“Saya hendak maklumkan bahawa keputusan meneruskan projek LCS ini mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pembangkang dan keputusan untuk meneruskannya (LCS) ini sewaktu bekas Menteri Pertahanan sebelum saya telah membawa perkara ini.
“Terus-terang saya katakan bahawa persetujuan Kabinet untuk meneruskan LCS memerlukan perincian daripada kita dan perkara ini telah dibangkitkan kepada Kabinet sebanyak tiga kali,” katanya di dalam laporan BERNAMA itu.
Jemaah Menteri kata beliau dalam laporan agensi berita nasional itu telah mewujudkan sebuah Jawatankuasa Menteri-Menteri Kabinet yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi memuktamadkan projek pembinaan LCS itu.
“Beliau (Mustapa) sendiri akan membuat pembentangan kepada Kabinet dengan perancangan dan jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak tiga kali dan mereka (ahli jawatankuasa) juga ke Lumut, Perak untuk melihat sendiri aset sedia ada bagi meneruskan projek LCS.
“Saya harap jawatankuasa menteri ini telah bermesyuarat serta selesai dan kita harapkan ia dapat dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenai hala tuju LCS,” katanya.
Sama ada projek itu diteruskan atau tidak kata Hishammuddin, majoriti sudah membuat keputusan ia perlu diteruskan tetapi cara dan kaedahnya mesti mendapat persetujuan jemaah menteri.
Comments are closed.