Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal-kapal Perang Russia, China, Iran Berkumpul Di Laut Arab Untuk “Latihan Keselamatan”

Kapal-kapal perang daripada Russia, China dan Iran yang dianggap sebagai "musuh Amerika" kini berhimpun di Teluk Oman di Laut Arab untuk memulakan latihan perang sesama mereka, disamping mengeratkan lagi hubungan ketenteraan antara negara-negara sekutu itu.

0 6,188

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal-kapal perang daripada Russia, China dan Iran yang dianggap sebagai “musuh Amerika” kini berhimpun di Teluk Oman di Laut Arab untuk memulakan latihan perang sesama mereka disamping mengeratkan lagi hubungan ketenteraan antara negara-negara sekutu itu.

Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan berkata, latihan yang dinamakan “Security Bond 2024” itu mensasarkan untuk mengukuhkan lagi keselamatan dan kerjasama maritim serantau, pada ketika rantau itu sedang berhadapan dengan ketegangan yang amat meruncing.

Beijing menyatakan bahawa ia akan mengerahkan kapal destroyer miliknya “Urumqi”, friget “Linyi” dan kapal bekalan “Dongpinghu” untuk menyertai latihan itu.

Ketiga-tiga negara yang dianggap “musuh Amerika” itu turut mengadakan latihan yang sama di lokasi yang sama pada tahun lepas.

Sementara agensi berita Iran menyatakan bahawa selain ketiga-tiga buah negara terbabit yang menghantar kapal-kapal perang mereka, latihan perang terbabit juga akan disertai oleh wakil-wakil daripada Pakistan, Kazakhstan, Azerbaijan, Oman, India dan Afrika Selatan yang akan bertindak sebagai pemerhati.

Latihan

Ia berkata matlamat utama latihan itu adalah untuk mengukuhkan asas keselamatan di rantau itu dan memperluaskan lagi kerjasama di antara negara-negara yang menyertai latihan maritim itu.

Sementara itu Kementerian Pertahanan Iran pula menyatakan bahawa latihan maritim itu akan berlangsung di Teluk Oman di Laut Arab dengan latihan mensasarkan untuk mengukuhkan lagi keselamatan maritim.

Ia juga berkata kapal-kapal perangnya daripada Armada Pasifik Tentera Laut Russia yang diketuai oleh kapal cruiser Varyag telah pun tiba di pelabuhan Char Bahar di Iran pada Isnin untuk menyertai latihan maritim itu yang mengukuhkan persahabatan di antara ketiga-tiga negara itu.

Latihan maritim antara kapal-kapal perang ketiga-tiga buah negara “musuh Amerika” itu berlaku ketika ketegangan di rantau itu berada dalam keadaan amat meruncung akibat konflik di Semenanjung Gaza antara Palestin dan Israel serta serangan peluru berpandu oleh kumpulan bersenjata Houthi terhadap kapal-kapal komersial yang belayar di Laut Merah.

Pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat telah pun menyuarakan kebimbangan mereka terhadap hubungan yang semakin erat di antara Russia, Iran dan China di dalam aspek keselamatan dan pertahanan.

Latihan
Kapal perang Russia

 

Pada tahun lepas, pegawai tentera paling tinggi Amerika Syarikat Jeneral Mark Milley menyatakan bahawa Russia, China dan Iran akan menimbulkan pelbagai masalah kepada Washington pada tahun-tahun akan datang ini.

Baru-baru ini, Iran dilaporkan telah menghantar kira-kira 400 buah peluru berpandu darat-ke-darat berkuasa tinggi kepada Russia, dalam satu lagi bukti menunjukkan hubungan pertahanan dan ketenteraan yang semakin rapat di antara kedua-dua negara itu.

Penghantaran peluru berpandu darat-ke-darat itu sudah semestinya akan membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine.

Enam sumber dipetik oleh agensi berita antarabangsa Reuters berkata bahawa kebanyakkan daripada peluru berpandu darat-ke-darat jarak dekat itu adalah daripada keluarga “Fateh-110” seperti “Zolfaghar.”

Menurut pakar-pakar ketenteraan, peluru berpandu darat-ke-darat yang dihantar Iran ke Russia itu berkeupayaan membedil sasaran dengan tepat daripada kedudukan sejauh di antara 300km hingga kepada 700km.

Menurut laporan, Iran mula menghantar peluru-peluru berpandu darat-ke-darat itu kepada Russia pada bulan lepas selepas rundingan di antara kedua-dua pihak di Teheran dan Moscow berakhir pada tahun lepas.

Latihan
Kapal destroyer China “Urumqi”

 

Bagi membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine, Iran dan Korea Utara dilaporkan telah menghantar pelbagai jenis persenjataan untuk membantu rakannya itu termasuk pesawat tanpa pemandu, peluru-peluru artilleri, roket dan lain-lain.

Iran juga telah mengirimkan dron berani mati “Shahed-136” yang telah digunakan dengan berkesan oleh Russia untuk menyerang bandar-bandar Ukraine serta infrastruktur-infrastruktur kritikal milik negara Eropah Timur itu.

Russia dan Iran juga dilaporkan bekerjasama untuk mendirikan kemudahan pembinaan dron-dron “Shahed” di bandar Yelabuga, selatan Moscow.– DSA

Comments
Loading...