Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Perang Iran Alborz Masuki “Gelanggang” di Laut Merah

Kehadiran kapal perang Iran di “tengah-tengah” kapal perang Amerika Syarikat dan sekutunya di Laut Merah dan Selat Bab el-Mandep meningkatkan risiko berlakunya “miscalculations” yang boleh memburukkan lagi keadaan di Timur Tengah pada ketika ini.

0 9,634

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal perang Iran, Alborz dikesan telah melepasi Selat Bab el-Mandep dan telah memasuki Laut Merah di mana berbelas kapal perang Amerika Syarikat dan sekutu sedang beroperasi menjaga laluan perdagangan penting daripada serangan kumpulan bersenjata Houthi pada ketika ini.

Kehadiran kapal perang Iran di “tengah-tengah” kapal perang Amerika Syarikat dan sekutunya di Laut Merah dan Selat Bab el-Mandep meningkatkan risiko berlakunya “miscalculations” yang boleh memburukkan lagi keadaan di Timur Tengah pada ketika ini.

Menurut agensi berita Iran, Tasnim, kapal perang milik Tentera Laut Iran telah beroperasi di rantau itu sejak 2009 untuk menjaga laluan perdagangan yang penting itu daripada pelbagai ancaman terutamanya pelanunan.

Kehadiran kapal friget kelas-Alvand “Alborz” di kawasan perairan itu juga adalah melaksanakan pelbagai misi lain yang tidak dinyatakan.

Dibina pada 1968, kapal friget Tentera Laut Iran itu mempunyai berat keseluruhan 1,100 tan dan boleh membawa sehingga 146 krew kapal.

Boleh belayar selaju 17 knot, kapal perang Iran itu “Alborz” juga dilengkapi dengan empat butir peluru berpandu anti-kapal C-802 buatan China (atau Noor yang merupakan versi tempatan) yang boleh membedil sasaran sejauh 120km.

Iran
“Alborz”

 

Setiap sebuah peluru berpandu C-802 itu dilengkapi dengan 165kg peledak.

Agensi berita Tasnim yang dikatakan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) tidak menjelaskan dengan lebih lanjut tujuan kehadiran kapal friget Alborz itu Laut Merah tetapi ia dipercayai berkaitan dengan konflik yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza.

“Berikutan daripada peningkatan ketegangan akibat konflik di Gaza, terdapat perkembangan mendadak di Teluk Aden dan Selat Bab el-Mandep,” kata agensi berita itu.

Sejak bermulanya konflik di Gaza, kumpulan bersenjata Houthi yang disokong oleh Iran telah melancarkan serangan peluru berpandu dan dron-dron berani mati terhadap kapal-kapal dagang yang menggunakan Laut Merah dan Selat el-Mandep.

Laluan perkapalan di Laut Merah dan Bab el-Mandep menampung kira-kira 30 peratus kapal-kapal kontena dan kira-kira 10 peratus daripada kapal-kapal tangka dunia.

Iran
Kapal perang Amerika Syarikat di Laut Merah.

 

Sebarang ancaman keselamatan terhadap kapal-kapal komersial yang melaluinya boleh menjejaskan keseluruhan perdagangan dunia.

Dalam usaha untuk memelihara keselamatan kapal-kapal dagang yang menggunakan laluan di Laut Merah dan Bab el-Mandep, Amerika Syarikat telah menubuhkan Pasukan Bertindak Tentera Laut Pelbagai Negara untuk menjaga keselamatan laluan perkapalan penting itu.

Pada Ahad, helikopter Tentera Laut Amerika telah menenggelamkan tiga buah bot milik kumpulan Houthi yang cuba menyerang sebuah kapal kontena di Laut Merah.

Mengesahkan insiden itu, jurucakap kumpulan Houthi menyatakan bahawa 10 orang anggotanya sama ada terbunuh atau hilang.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Britain menyatakan bahawa negara itu bersedia untuk bertindak terhadap kumpulan bersenjata Houthi.

Iran
Anggota kumpulan Houthi merampas sebuah kapal dagang di Laut Merah.

 

“Kami bersedia untuk bertindak dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil lebih banyak tindakan bagi menangani ancaman terhadap kebebasan navigasi di Laut Merah,” tulis Grant Schapps di akhbat Daily Telegraph.

Menurut akhbar itu, Britain akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat bagi melaksanakan tindakan ketenteraan terhadap kumpulan Houthi. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

 

Comments
Loading...