Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Turkiye Lancar Peluru Berpandu Anti-Kapal “ATMACA” Guna Enjin Tempatan

(VIDEO) Peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, ROKETSAN kini dilengkapi oleh enjin KTJ-3200 yang dibina oleh syarikat tempatan negara itu, Kale Arge.

0 4,795

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari lalu, Turkiye mengumumkan bahawa peluru berpandu anti-kapal “Atmaca” yang dibangunkannya sendiri dan dilengkapkan dengan enjin turbojet buatan tempatan telah berjaya membedil sasarannya dengan tepat.

Peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, ROKETSAN kini dilengkapi oleh enjin KTJ-3200 yang dibina oleh syarikat tempatan negara itu, Kale Arge.

Peluru berpandu “ATMACA” itu dibangunkan oleh ROKETSAN dibawah naungan agensi pembangunan pertahanan Turkiye, SSB.

Video yang dikongsikan oleh SSB menunjukkan peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” itu telah dilancar di Sjnop, sebuah kawasan pesisir pantai yang terletak di utara Turki dan membedil sasaran yang berada di Laut Hitam.

Kebergantungan sistem pertahanan keluaran industri pertahanan Turkiye terhadap enjin-enjin daripada pengeluar luar telah berjaya diatasi dengan penggunaan enjin buatan syarikat tempatan, Kale Arge terhadap peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” itu.

Peluru berpandu “ATMACA” yang memiliki panjang di antara 4.3 meter hingga 5.2 meter dan berat 750 kg itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 250km, berbanding hanya 130km bagi peluru berpandu anti-kapal “Harpoon Block II” keluaran Amerika Syarikat.

Manakala peluru berpandu anti-kapal “Exocet Block III” pula berkemampuan membedil sasaran laut sejauh 200km.

 Untuk panduan, sistem peluru berpandu anti-kapal keluaran Turkiye itu menggunakan panduan Inertial Navigation System (INS) dan Global Positioning System (GPS).

Menurut ROKETSAN yang membangunkan peluru berpandu “ATMACA” itu, peluru berpandu anti-kapal terbabit mampu beroperasi secara autonomous, radar cross-section (RCS) yang rendah, boleh beroperasi dalam semua keadaan cuaca dan berkemampuan berhadapan dengan pelbagai sistem countermeasures.

Ia juga mendakwa “ATMACA” berkemampuan merangka pelan misi secara 3D, selain target update  dan mission-abort menerusi datalink.

“ATMACA” telah dibangunkan oleh syarikat ROKETSAN sejak 10 tahun lalu tetapi hanya didedahkan kepada awam pada 2019. 

ATMACA
Peluru berpandu anti-kapal “ATMACA”.

 

Tahun lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia akan menggantikan sistem peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat yang kini digunakan oleh 11 buah kapal perangnya dengan peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” dibangunkan oleh industri pertahanan tempatan.

Tindakan negara Mediterranean untuk memastikan ia berdikari dalam pembuatan sistem dan komponen pertahanan miliknya sendiri.

Peluru berpandu anti-kapal buatan tempatan “ATMACA” itu akan menggantikan lebih 350 buah peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat yang telah berusia, dengan kerja-kerja integrasi peluru berpandu anti-kapal tempatan dijangka selesai dilaksanakan pada 2027.

Turkiye dijangka dalam menjimatkan kira-kira US$500 juta (RM2.25 bilion) dengan menggantikan peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” dengan peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” buatan tempatan itu.

Kos peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” itu dikatakan hanya separuh berbanding kos perolehan peluru berpandu anti-kapal “Harpoon.”

Enjin
Enijn turbojet KTJ-3200 yang dibangunkan oleh Kale Arge dan akan digunakan pada peluru berpandu SOM dan ATMACA (Anadolu)

 

Antara kapal-kapal perang Tentera Laut Turkiye yang akan dilengkapkan dengan peluru berpandu “ATMACA” itu adalah kapal friget kelas-I, kapal Meko 200TN kelas-Barbaros dan kapal korvet kelas-Ada.

Pada akhir Januari lalu,  Indonesia dilapor telah memberikan kontrak kepada syarikat tempatannya, PT Republik Defensindo untuk memperolehi 45 buah peluru berpandu anti-kapal ‘Atmaca” buatan syarikat Roketsan daripada Turkiye.

Selari dengan itu, Jakarta muncul sebagai negara luar Turkiye yang menggunakan peluru berpandu anti-kapal itu. — DSA

Comments
Loading...