India “Hadiah” Kapal Korvet Miliknya, INS Kirpan Kepada Vietnam
Menteri Pertahanan India menyatakan bahawa pemberian kapal perang kepada Vietnam itu merupakan suatu detik bersejarah dalam usaha untuk meningkatkan kemampuan tentera laut negara Asia Tenggara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – India “menghadiahkan” sebuah kapal korvet miliknya, INS Kirpan kepada Vietnam dalam usaha kedua-dua negara meningkatkan kerjasama pertahanan ketika tentera China meningkatkan tindakan agresifnya.
Pemberian kapal korvet kepada Vietnam itu diumumkan ketika Menteri Pertahanan negara Asia Tenggara, Jeneral Phan Van Giang bertemu dengan rakan sejawatannya daripada India Rajnath Singh di New Delhi.
Kedua-dua negara itu terpaksa berhadapan dengan China yang semakin bertindak agresif di Laut China Selatan dan Lautan Hindi serta di perbatasan pergunungan antara India dan Beijing.

Menteri Pertahanan India menyatakan bahawa pemberian kapal perang kepada Vietnam itu merupakan suatu detik bersejarah dalam usaha untuk meningkatkan kemampuan tentera laut negara Asia Tenggara itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, China kerap menghantar kapal-kapal pengawal pantainya serta kapal penyelidik untuk menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Vietnam bertujuan menganggu aktiviti minyak dan gas di perairan terbabit.
Insiden terbaru berlaku beberapa minggu lepas, dengan China telah menghantar “segerombolan” kapal-kapal pengawal pantainya ke dalam perairan ZEE Vietnam untuk mengiringi kapal penyelidik marinnya menjalankan kajian dasar laut.
Kapal korvet kelas-Khukri, INS Kirpan itu merupakan kapal perang yang dibina dan direkabentuk oleh industri pertahanan India, memiliki berat sebanyak 1,350 tan dan telah ditauliahkan ke dalam Tentera Laut India pada tahun 1991.
Kapal korvet INS Kirpan itu dilengkapkan dengan empat butir peluru berpandu anti-kapal buatan Russia,P-20 , sistem pertahanan udara “Strela” serta sebuah helikopter, HAL Chetak.

Dengan kelajuan 25 knot, kapal perang India yang bakal dimiliki oleh Tentera Laut Vietnam itu mampu membawa kira-kira 80 orang anak kapal dan berkemampuan beroperasi sejauh 4,000 batu nautika.
Selain menghadiahkan sebuah kapal korvet kepada Vietnam, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di dalam bidang industri pertahanan dan latihan tentera termasuk membabitkan kapal-kapal selam kedua-dua negara.


Comments are closed.