Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Vietnam “Hambat”, Paksa Kapal China Keluar Perairan ZEE Miliknya

Walaupun saiznya jauh lebih kecil, tetapi ia tidak menghalang sebuah kapal Jabatan Perikanan Vietnam, Kiem Ngu 278 untuk mengekori dengan rapat sebuah kapal pengawal pantai China,CCG 5205 sehingga memaksa kapal China itu yang jauh lebih besar meninggalkan kawasan perairan ZEE Vietnam.

0 8,570

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal peronda Jabatan Perikanan Vietnam dikatakan mengekori dengan rapat sebuah kapal pengawal pantai China CCG 5205 sehingga memaksa ia keluar daripada kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) daripada negara.

Namun selepas dipaksa untuk keluar daripada ZEE Vietnam, kapal pengawal pantai China itu dilaporkan memasuki kawasan perairan ZEE Malaysia pula.

Menurut laporan oleh Radio Free Asia (RFA), kapal peronda Jabatan Perikanan Vietnam itu “Kiem Ngu 278” yang saiznya jauh lebih kecil berbanding kapal China itu telah mengekori dengan rapat kapal pengawal pantai China terbabit dan dalam satu masa dikesan hanya berada 10 meter di antara satu sama lain.

Vietnam

“Menurut data daripada signal Automatic Identification System (AIS) kapal itu menunjukkan ia (kapal Vietnam) dan kapal China itu berada amat rapat di antara satu sama lain kira-kira pukul 7 pagi pada Ahad,” menurut seorang penyelidik yang memantau insiden itu.

Ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford, Raymond M. Powell yang dipetik oleh RFA berkata, kapal Jabatan Perikanan Vietnam itu mula mengekori kapal pengawal pantai China yang berada di perairan ZEE negara itu pada 24 Mac yang lalu.

“Kapal peronda Jabatan Perikanan Vietnam itu amat berani dalam tindakannya walaupun saiznya amat kecil berbanding kapal pengawal pantai China yang sekurangnya-kurangnya dua kali ganda lebih besar daripadanya.”

“Ia pasti suatu pertembungan yang amat tegang di antara kedua-dua buah kapal itu,” katanya sambil menambah bahawa insiden itu berlaku kira-kira 50 batu nautika selatan daripada Vanguard Bank yang terletak dalam perairan ZEE Vietnam tetapi didakwa China sebagai miliknya.

“Dalam satu masa kapal Vietnam dan kapal China itu hanya berada 10 meter antara lain,” kata beliau.

Vietnam
Kapal peronda Perikanan Vietnam.

 

China sering menghantar kapal-kapal perondanya ke Vanguard Bank yang turut menempatkan beberapa operasi minyak dan gas.

Seorang lagi penganalisis maritim berpangkalan di Singapura yang dipetik oleh RFA, Collin Koh berkata, kedua-dua kapal itu berada terlalu rapat di antara satu sama lain sehingga risiko berlakunya pelanggaran adalah amat tinggi.

“Jarak 10 meter diantara satu sama lain adalah terlalu dekat. Bergantung kepada keadaan laut pada ketika itu, risiko pelanggaran adalah amat tinggi, ” kata beliau.

Kapal peronda China dilaporkan pernah melanggar kapal-kapal penguatkuasa Vietnam dengan sengaja sebelum ini.

Vietnam

Kapal pengawal pantai China CCG 5205 dikesan meninggalkan pangkalannya di Sanya di Pulau Hainan pada 11 Mac dan memasuki perairan ZEE Vietnam pada sehari selepas itu.

Kapal China itu kemudiannya berlayar di antara kawasan-kawasan dituntutnya di Laut China Selatan sebelum memasuki semula perairan ZEE Vietnam pada Mac 21 untuk beberapa jam dan pada Mac 24 apabila di diekori dan “dihambat” oleh kapal Vietnam sehingga ia meninggalkan perairan ZEE negara itu.

Kapal Jabatan Perikanan Vietnam Kiem Ngu 278 berpangkalan di Vung Tau yang terletak di selatan bandaraya Ho Chi Minh. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...