Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

43 Kes Pencerobohan Ruang Udara Negara Sepanjang Jan-Mei 2023 — MINDEF

“Jumlah keseluruhan pesawat asing yang dikesan dan direkodkan menceroboh ruang udara negara dari bulan Januari 2023 sehingga Mei 2023 ialah berjumlah 43 kes pencerobohan.” -- Kementerian Pertahanan memberitahu Dewan Negara pada 20 Jun 2023.

0 3,437

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dewan Negara dimaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah mengesan dan merekod sebanyak 43 kes pencerobohan pesawat-pesawat asing terhadap ruang udara negara untuk tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Terdapat dua kategori pencerobohan ruang udara iaitu Pencerobohan Ruang Udara Berdaulat (within Malaysia Territorial Airspace – MTA) dan Pencerobohan Ruang Udara Berkepentingan (within EEZ until MTA).

Pemantauan pula dilakukan mengikut wilayah iaitu Region 1 (Semenanjung) dan Region 2 (Sabah dan Sarawak).

TUDM
Rajah pencerobohan pesawat tentera China pada 31 Mei 2021. (kredit TUDM)

 

“Jumlah keseluruhan pesawat asing yang dikesan dan direkodkan menceroboh ruang udara negara dari bulan Januari 2023 sehingga Mei 2023 ialah berjumlah 43 kes pencerobohan.”

“Pecahan kes pencerobohan adalah seperti berikut iaitu — Kategori Pencerobohan Ruang Udara Berdaulat hanya berlaku di Region 1 sahaja adalah sebanyak 6 kes pencerobohan yang melibatkan 2 kes tidak mengikuti laluan seperti yang dimohon dan 4 kes tanpa permohonan.”

“Kategori Pencerobohan Ruang Udara Berkepentingan pula, sebanyak 37 kes pencerobohan direkodkan iaitu kes pencerobohan di Region 1 dan 34 kes pencerobohan di Region 2,” menurut jawapan Kementerian Pertahanan terhadap pertanyaan lisan Datuk Dominic Lau Hoe Chai di Dewan Negara pada 20 Jun.

Kementerian Pertahanan memandang serius terhadap sebarang bentuk ancaman kedaulatan dan pencerobohan oleh pesawat asing yang memasuki ruang udara negara tanpa kebenaran.

Bagi pencerobohan ruang udara negara oleh pesawat asing, mekanisme tindak balas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhadap pencerobohan adalah melalui Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN) di mana pelan operasi khusus seperti Operasi CURIGA, Operasi SIERRA WATCH dan Operasi JEDI WATCH akan diaktifkan.

TUDM
Sebuah pesawat pengangkut China Ilyushin-76 yang dipintas oleh TUDM ketika menghampiri Zon Maritim Malaysia (kredit TUDM)

 

“Selain mengaktifkan pelan operasi khusus oleh TUDM, pihak Kementerian turut mengemukakan laporan pencerobohan yang telah dikenal pasti dan cadangan Bantahan Diplomatik secara berkala kepada Kementerian Luar Negeri untuk tindakan lanjut.”

Kementerian Pertahanan juga menyatakan bahawa sebagai perisai kedaulatan ruang udara negara, diantara tindakan yang dilaksanakan oleh TUDM adalah antaranya dengan memantau, melapor dan merekod segala penerbangan memasuki ruang angkasa negara yang mencurigakan melalui OP CURIGA.

Selain itu, ia juga memberi amaran udara (Air Warning) melalui komunikasi radio dan mengarahkan pesawat penceroboh keluar dari ruang udara kedaulatan negara.

“Pesawat pejuang akan dilancarkan bagi tujuan memintas atau membayangi pesawat penceroboh sekiranya perlu. Mengenal pasti pencerobohan dan seterusnya menafi keberadaannya atau mengusir keluar pesawat penceroboh dari ruang udara negara.”

“Bagi tujuan keselamatan, pesawat pejuang akan diarahkan untuk memaksa pesawat penceroboh mendarat berdasarkan prosedur khas yang ditetapkan (force down procedure).” kata Kementerian Pertahanan.

TUDM
Salah sebuah pesawat China yang dipintas oleh TUDM. (kredit TUDM)

 

Antara insiden pencerobohan pesawat asing terhadap ruang udara negara yang paling serius berlaku pada 31 Mei 2021 di mana TUDM telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara ZMM, Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.

Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.

“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “

“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM dalam kenyataan itu.

Beberapa hari selepas itu, Wisma Putra telah pun menyerahkan nota diplomatik berkenaan insiden “penerbangan mencurigakan” pesawat-pesawat tentera China di ruang udara nasional kepada duta besar negara itu di Malaysia. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...