Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Sendiri Hadapi Masalah Dapatkan Alat Ganti Su-30MKI Miliknya Dari Russia

Timbul persoalan tentang bagaimana India mahu menjadi pembekal alat ganti yang “reliable” kepada pesawat Su-30MKM TUDM jika negara itu juga berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan alat ganti pesawat Su-30MKI miliknya daripada Russia?

0 6,271

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Laporan media India baru-baru ini mengatakan bahawa Malaysia mungkin memilih pesawat pejuang ringan/latihan (LCA/FLIT) “Tejas” sebagai pilihannya disebabkan beberapa faktor termasuk tawaran New Delhi untuk membekalkan alat ganti bagi pesawat Su-30MKM yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

India dan Malaysia menggunakan varian pesawat Sukhoi Su-30 yang hampir sama.

Disebabkan sekatan ekonomi yang dihadapi oleh Russia akibat pencerobohannya terhadap Ukraine, eksport senjata Moscow ke negara-negara luar turut disekat dan ini termasuklah bekalan alat ganti pesawat-pesawat pejuangnya buatannya.

Su-30MKI

Sekatan ekonomi terhadap Moscow telah menimbulkan masalah kepada negara-negara yang menggunakan pesawat pejuang buatan Russia termasuk Malaysia.

Jadi, tawaran daripada India untuk menjadi pembekal alat-alat ganti pesawat Sukhoi Su-30 kepada Malaysia tidak dapat dinafikan adalah suatu tawaran yang baik bagi memastikan pesawat Su-30MKM milik TUDM terus dapat beroperasi dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara.

BAGAIMANAPUN, timbul juga persoalan tentang bagaimana India mahu menjadi pembekal alat ganti yang “reliable” kepada pesawat Su-30MKM TUDM jika negara itu juga sedang berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan alat ganti untuk pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI miliknya daripada Russia?

Ya, industri pertahanan India juga membuat sendiri alat-alat ganti pesawat Su-30MKI miliknya tetapi bukan semua, dengan majoriti alat ganti masih perlu diperolehi daripada Russia.

Su-30MKI

Sejab beberapa bulan yang lepas,. laporan daripada media India mendakwa negara itu kini berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan alat ganti pesawat pejuang Su-30MKI miliknya terutama yang membabitkan peralatan dan komponen elektroniknya.

Seawal bulan Mac lalu, laporan di media India “The Economic Times” telah menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI milik negara itu amat bergantung kepada bekalan alat-alat ganti daripada Russia untuk menjamin keberkesanan operasi pesawat terbabit.

Pegawai-pegawai kanan negara itu telah melahirkan kebimbangan terhadap kesan sekatan ekonomi yang ketat Barat terhadap Russia dan kemampuan syarikat-syarikat negara itu untuk membekalkan alat-alat ganti dan komponen termasuk enjin kepada pesawat pejuang India itu.

Ini kerana pesawat Su-30MKI adalah aset utama Tentera Udara India.

Su-30MKI

Pihak India juga bimbang terhadap ketidaktentuan masa depan program peningkatan keupayaan pesawat Su-30MKI milik mereka kepada varian “Super Sukhoi” bakal berdepan dengan masalah besar sekiranya kesukaran mendapatkan bekalan alat ganti daripada Russia berterusan.

Menurut pegawai-pegawai itu yang dipetik oleh media India itu, terdapat 44 sistem Su-30MKI yang perlu diganti sebelum pesawat itu dinaiktaraf kepada “Super Sukhoi”, dengan kerja-kerja dilakukan oleh syarikat Bharat Electronics dan Hindustan Aeronautics Limited (HAL).

Apa yang membimbangkan mereka adalah peralatan elektronik daripada Russia untuk pesawat Su-30MKI , yang semakin sukar didapati pada ketika ini akibat sekatan ekonomi pihak Barat itu.

Su-30MKI

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Syarikat-syarikat Russia memperolehi bekalan peralatan elektronik itu daripada pembekal mereka di negara-negara Barat dan sekatan ekonomi ketat dihadapinya pada ketika ini telah menyebabkan bekalan alat ganti mereka terputus.

Tentera India merupakan pengguna pesawat Su-30MKI terbesar di luar Russia dengan 272 buah pesawat yang dibina secara berlesen oleh HAL. — DSA

Comments
Loading...