Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sekatan Ekonomi Terhadap Russia Jejas Bekalan Alat Ganti Su-30MKM TUDM?

Antara yang menjadi "kerisauan" pemerhati pertahanan negara adalah membabitkan bekalan alat ganti pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik TUDM dan beberapa sistem pertahanan yang lain yang dibuat oleh Russia.

0 1,336

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketika negara-negara seluruh dunia semakin galak untuk mengetatkan sekatan ekonomi terhadap Russia sebagai “balasan” terhadap tindakan ketenteraannya terhadap Ukraine, persoalan juga timbul berkenaan bekalan alat-alat ganti sistem pertahahan Russia yang digunakan oleh Malaysia.

Antara yang menjadi “kerisauan” pemerhati pertahanan negara apabila sekatan ekonomi terhadap Russia diperketatkan adalah yang membabitkan bekalan alat ganti pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik TUDM dan beberapa sistem pertahanan yang lain yang dibuat oleh Russia.

Baru-baru ini, syarikat Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC) sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, disahkan memiliki stok alat ganti yang mencukupi bagi operasi pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Su-30MKM
Pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM (TUDM)

 

Bekalan stok alat ganti pesawat Su-30MKM yang dimiliki oleh syarikat ATSC adalah cukup untuk menampung keperluan operasi pesawat pejuang TUDM itu selama dua tahun.

“Syarikat terlibat seperti ATSC telah mengesahkan bahawa pihaknya mempunyai keuipayaan untuk menguruskan penyelenggaraan pesawat Sukhoi (Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM) dan mempunyai stok alat ganti untuk pesawat berkenaan selama dua tahun.

“Isu Ukraine dan Russia tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia,” kata Menteri Pertahanan itu baru-baru ini.

Su-30MKM

Bagaimanapun persoalan juga bermain di fikiran apa akan jadi selepas dua tahun, apabila dunia memperketatkan lagi sekatan ekonomi terhadap Russia sehingga ke tahap paling maksimum?

Apa akan jadi kepada pesawat Su-30MKM kita apabila stok alat ganti ATSC selama dua tahun itu telah digunakan kesemuanya?

Adakah pesawat Su-30MKM kita akan “tersadai” apabila bekalan ganti selama dua tahun itu telah habis digunakan? Kita kena juga ingat bahawa dua tahun itu bukanlah suatu tempoh yang panjang.

Krueger
Bekas Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad atau callsign “Krueger” menerbangkan sendiri pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM. (TUDM)

 

Menteri Pertahanan dalam jawapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini telah memberikan bayangan langkah yang akan diambil sekiranya sekatan ekonomi terhadap Russia itu terus mencengkam sehingga menjejaskan bekalan alat ganti pesawat Su-30MKM kita.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan akan memperluaskan perolehan alat-alat ganti pesawat yang digunakan oleh TUDM daripada negara yang menggunakan pesawat yang sama seperti India.

India adalah antara pengguna terbesar pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI.

Negara akan mempelbagaikan perolehan asset-aset strategik negara dan tidak bergantung dengan hanya negara-negara tertentu.

Merad
Tiga buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM di Pangkalan Udara Labuan.

 

Artikel Defence Security Asia baru-baru ini mengatakan bahawa sekatan ekonomi yang ketat terhadap Russia berikutan tindakannya menceroboh Ukraine baru-baru ini, dijangka turut menjejaskan negara-negara yang menggunakan sistem pertahanan  dikeluarkan oleh syarikat-syarikat daripada negara itu.

Negara-negara yang menggunakan sistem persenjataan buatan Russia dikatakan bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan alat ganti bagi sistem persenjataan negara itu yang digunakan oleh negara itu.

Antara negara-negara di Asia yang bakal mengalami kesukaran untuk mendapatkan alat-alat ganti sistem persenjataan Russia termasuklah India,  Vietnam,  Filipina, Laos dan Myanmar yang banyak bergantung dengan sistem pertahanan Russia.

Su-30MKM
Sebuah pesawat Su-30MKM ketika terbang rendah di Stesen Lima, Pulau Layang-Layang (gambar sumbangan pembaca DSA)

 

Disebabkan Malaysia terutamanya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan pengguna pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM buatan Russia, maka negara telah disenaraikan sebagai antara negara yang bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mendapat alat ganti pesawat itu daripada Russia.

Selain pesawat Su-30MKM, negara turut menggunakan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal Metis-M serta SHORAD (Short Range Air Defence) “Igla”.

Kementerian Pertahanan juga mengatakan ia akan mengurangkan kebergantungannya terhadap sistem-sistem persenjataan buatan Russia.

Metis-M
Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Metis-M” sebagaimana digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.

 

Klik Di Bawah Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Satu berita yang tidak baik pada syarikat-syarikat tempatan yang menjadi local agent kepada syarikat pembuat senjata Russia.

Nampak gaya sudah kena cari syarikat-syarikat pembuat senjata bukan daripada Russia dan Belarus.

Rosoboronexport pun sudah boleh “tutup kedai” di Malaysia. Penggunaan sistem pertahanan buatan Russia pada ketika adalah amat berisiko disebabkan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap negara itu.. — DSA

 

Comments
Loading...