Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat “Tejas” Kini Calon Utama TUDM – Media India

India dikatakan mengemukakan "tawaran kembar" kepada Malaysia iaitu pesawat "Tejas" dan komitmen untuk membantu penyelenggaran pesawat Su-30MKM TUDM serta membekalkan alat ganti pesawat pejuang itu.

0 11,070

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media India mendakwa pesawat pejuang keluaran industri pertahanan negara itu “Tejas” kini adalah calon utama (frontrunner) untuk memenangi tender Malaysia bagi 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

Apa yang membuatkan pesawat “Tejas” buatan Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) muncul sebagai calon utama untuk memenuhi keperluan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)?

Menurut media India, “Economic Times”,  India bukan sahaja menawarkan pakej kewangan yang menarik bagi membolehkan Malaysia memilih “Tejas” tetapi ia bersama-sama HAL turut komited dalam memastikan penyelenggaraan dan bekalan alat ganti bagi 18 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM.

Tejas

HAL memiliki pengalaman yang luas dalam hal ehwal penyelenggaran dan bekalan alat ganti pesawat buatan Russia itu kerana India turut mengoperasikan pesawat pejuang yang hampir sama iaitu Sukhoi Su-30MKI.

Pesawat Su-30MKI India dan Su-30MKM TUDM adalah hampir sama kecuali perbezaan di dalam beberapa komponen penting.

Su-30MKI India menggunakan komponen buatan Israel manakala Su-30MKM TUDM pula menggunakan komponen-komponen buatan Perancis.

Disebabkan konflik berpanjangan di antara Russia dan Ukraine serta sekatan ekonomi yang ketat dikenakan terhadap Moscow, negara-negara yang menggunakan sistem persenjataan Russia termasuk Malaysia dijangka berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan bekalan alat ganti.

Pada Mac lepas,  Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein ketika berucap di Dewan Rakyat mengatakan stok alat ganti pesawat Su-30MKM yang dimiliki oleh syarikat Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC)  hanya cukup untuk menampung keperluan operasi pesawat itu selama dua tahun.

Su-30MKM
Pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM (gambar kredit Bernama)

 

“Syarikat terlibat seperti ATSC telah mengesahkan bahawa pihaknya mempunyai keuipayaan untuk menguruskan penyelenggaraan pesawat Sukhoi (Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM) dan mempunyai stok alat ganti untuk pesawat berkenaan selama dua tahun,” kata beliau.

Beliau juga berkata pihaknya akan memperluaskan perolehan alat-alat ganti pesawat yang digunakan oleh TUDM daripada negara yang menggunakan pesawat yang sama seperti India.

India adalah antara pengguna terbesar pesawat pejuang Sukhoi Su-30, malah pesawat yang digunakan oleh negara diperbuat secara berlesen di India.

Menurut Economic Times lagi, syarikat-syarikat daripada Korea Selatan dan China yang menawarkan pesawat FLIT/LCA mereka kepada Malaysia tidak mempunyai kemampuan untuk menawarkan apa yang ditawarkan oleh India terutamanya membabitkan penyelenggaraan dan bekalan alat ganti untuk pesawat Su-30MKM.

Korea Selatan menerusi syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) menawarkan pesawat FA-50 manakala China pula menawarkan pesawat L-15 Hongdu.

FA-50
Pesawat FA-50 yang ditawarkan kepada Malaysia oleh Korea Selatan.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Syarikat Leonardo daripada Itali turut menawarkan pesawat M-346FA, Russia pula tawarkan MiG-35 dan Yakovlev Tak-130 Mitten dan Saab Group dengan pesawat Gripen.

Menurut media India itu lagi rundingan di antara Malaysia dan India berkenaan tawaran “kembar” daripada India telah berlangsung dan keputusan bakal diambil oleh kedua-dua negara itu tidak lama lagi.

Ia juga berkata pesawat Tejas itu adalah amat kompetitif kerana ia hanya berharga US$42 juta (RM168 juta) sebuah berbanding dengan pesawat-pesawat lain, selain dilengkapi dengan peralatan moden seperti radar AESA, avionik serta sistem persenjataan udara-ke-udara dan udara-ke-darat yang canggih. — DSA

 

Comments
Loading...