Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tindakan “Proaktif Dan Agresif” Tangani Tuntutan RM62 Bilion Waris Sultan Sulu

Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya, bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia.

0 1,260

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kerajaan akan mengambil tindakan proaktif dan agresif dalam menangani isu tuntutan berjumlah RM62.59 bilion dari waris Sultan Jamalul Kiram (Sultan Sulu) terhadap Malaysia, “demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Sehubungan dengan itu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya, bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia.

Beliau berkata pasukan khas yang diketuainya itu, dianggotai Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

Petronas

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara, sedang menentukan terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu, bagi pasukan khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BHEUU dan Kementerian Luar akan bertindak selaku urus setia pasukan khas itu.

Wan Junaidi berkata kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu, khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Pada Selasa lepas, dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu, untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Sulu

Pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa, Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.

Namun Wan Junaidi ketika itu dilaporkan berkata keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Katanya keputusan yang ditetapkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Azerbaijan
Lapangan Gas Shah Deniz, Azerbaijan

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Pada Selasa lepas, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitarsi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Dalam kenyataan Wan Junaidi pada Rabu, beliau berkata kesan daripada perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara, sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat kerajaan Malaysia. — DSA

 

Comments
Loading...