Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bekalan Alat Ganti Su-30MKM TUDM Cukup Untuk 2 Tahun

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa stok alat ganti pesawat Su-30MKM yang dimiliki oleh syarikat Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC) cukup untuk menampung keperluan operasi pesawat itu selama dua tahun.

0 5,525

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC) memiliki stok alat ganti yang mencukupi bagi pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa stok alat ganti pesawat Su-30MKM yang dimiliki oleh syarikat terbabit cukup untuk menampung keperluan operasi pesawat itu selama dua tahun.

“Syarikat terlibat seperti ATSC telah mengesahkan bahawa pihaknya mempunyai keuipayaan untuk menguruskan penyelenggaraan pesawat Sukhoi (Su-30MKM yang digunakan oleh TUDM) dan mempunyai stok alat ganti untuk pesawat berkenaan selama dua tahun.

“Isu Ukraine dan Russia tidak akan menjejaskan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Apa akan jadi selepas dua tahun itu, apabila dunia memperketatkan sekatan ekonomi terhadap Russia? Apa akan jadi kepada pesawat Su-30MKM kita apabila stok alat ganti ATSC selama dua tahun itu telah digunakan kesemuanya?

Su-30MKM
Pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM (gambar kredit Bernama)

 

Dalam masa yang sama kata Menteri Pertahanan itu, pihaknya akan memperluaskan perolehan alat-alat ganti pesawat yang digunakan oleh TUDM daripada negara yang menggunakan pesawat yang sama seperti India.

India adalah antara pengguna terbesar pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKI.

Negara menurut beliau akan mempelbagaikan perolehan asset-aset strategik negara dan tidak bergantung dengan hanya negara-negara tertentu.

Artikel Defence Security Asia baru-baru ini mengatakan bahawa sekatan ekonomi yang ketat terhadap Russia berikutan tindakannya menceroboh Ukraine baru-baru ini, dijangka turut menjejaskan negara-negara yang menggunakan sistem pertahanan  dikeluarkan oleh syarikat-syarikat daripada negara itu.

Negara-negara menggunakan sistem persenjataan buatan Russia dikatakan bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan alat ganti bagi sistem persenjataan negara itu yang digunakan oleh negara itu.

Su-30MKM
Aksi pesawat Su-30MKM pada Singapore Air Show 2018. (TUDM)

 

Antara negara-negara di Asia yang bakal mengalami kesukaran untuk mendapatkan alat-alat ganti sistem persenjataan Russia termasuklah India,  Vietnam,  Filipina, Laos dan Myanmar yang banyak bergantung dengan sistem pertahanan Russia.

Disebabkan Malaysia terutamanya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merupakan pengguna pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM buatan Russia, maka negara telah disenaraikan sebagai antara negara yang bakal berhadapan dengan kesukaran untuk mendapat alat ganti pesawat itu daripada Russia.

Dan hari ini Hishammuddin Hussein telah memberikan jawapannya di Dewan Rakyat.

Menurut Menteri Pertahanan itu, selain pesawat Su-30MKM, negara turut menggunakan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal Metis-M serta SHORAD (Short Range Air Defence) “Igla”.

Metis-M
Sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Metis-M” sebagaimana digunakan oleh Tentera Darat Malaysia.

 

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana kita mahu mendapatkan alat ganti bagi kedua-dua sistem persenjataan itu, sekiranya sekatan ekonomi terhadap Russia terus diperketatkan sehingga menyukarkan kita untuk mendapatkan alat ganti untuk sistem itu.

Namun Hishammuddin dalam penjelasannya itu mengatakan Kementerian Pertahanan akan mengurangkan kebergantungannya terhadap sistem-sistem persenjataan buatan Russia.

Satu berita yang tidak baik pada syarikat-syarikat tempatan yang menjadi local agent kepada syarikat pembuat senjata Russia.

Su-30MKM
Pesawat pejuang Su-30MKM mengugurkan bom-bom di Lapangan Sasar Udara Kota Belud pada hari terakhir Eksesais ABABIL baru-baru ini.(gambar kredit TUDM)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Nampak gaya sudah kena cari syarikat-syarikat pembuat senjata bukan daripada Russia dan Belarus.

Rosoboronexport pun sudah boleh “tutup kedai” di Malaysia. Penggunaan sistem pertahanan buatan Russia pada ketika adalah amat berisiko disebabkan sekatan ekonomi itu. — DSA

Comments
Loading...