Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Enam Juruterbang TUDM Mula Latihan Kendali FA-50M Di Korea Selatan Awal Tahun 2026

Latihan itu akan dilaksanakan di sebuah pangkalan udara Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) di Gwangju, negara Asia Timur itu, menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 ‘Golden Eagle’.

0 4,216

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Enam juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memulakan latihan intensif untuk mengendalikan pesawat pejuang ringan FA-50M pada awal tahun 2026.

Laporan agensi berita nasional (BERNAMA) yang memetik sumber industri menyebut bahawa latihan intensif yang bakal dijalani oleh juruterbang TUDM akan berlangsung selama tiga hingga enam bulan, bergantung kepada prestasi juruterbang terbabit.

Latihan itu akan dilaksanakan di sebuah pangkalan udara Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) di Gwangju, negara Asia Timur itu.

“Latihan intensif itu akan menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 ‘Golden Eagle’ yang dibangunkan secara bersama di antara Korea Aerospace Industries (KAI) dan Lockheed Martin dari Amerika Syarikat.

“Hanya selepas latihan menggunakan pesawat latihan lanjutan T-50 ‘Golden Eagle’ itu, mereka (juruterbang TUDM) akan beralih untuk mengendalikan pesawat pejuang ringan FA-50M sebenar, yang diperoleh negara,” kata sumber itu yang enggan mendedahkan identitinya kepada Bernama hari ini.

FA-50
FA-50

 

Pada pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa utama Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak bernilai RM4 bilion untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M.

Sementara itu sumber industri terbabit juga menyatakan kepada Bernama bahawa kumpulan pertama empat pesawat pejuang ringan FA-50M, akan mula diterima oleh TUDM pada Oktober 2026 disusuli oleh 14 buah pesawat selebihnya secara berperingkat.

“Penghantaran pesawat FA-50M kepada TUDM yang terakhir dijangka akan berlaku pada 2028,” kata beliau.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperolehi oleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding dengan varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara.

FA-50

Ditemu ramah oleh Bernama di Langkawi Mei lepas, Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young berkata varian FA-50 Block 20 (FA-50M) diperoleh Malaysia, lebih canggih dan berkeupayaan jika dibandingkan dengan varian FA-50 yang dioperasikan oleh ROKAF.

Antara perbezaan utama di antara varian FA-50M milik Malaysia dengan varian lain ialah pesawat pejuang ringan milik TUDM itu antara lain bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.

Varian FA-50M yang bakal dimiliki oleh TUDM itu juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.

Pesawat FA-50M milik Malaysia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran “Sniper’ Advanced Targeting Pod (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

Pod sasaran Sniper ATP seberat kira-kira 200kg itu memberikan penggunanya kemampuan yang telah dinaiktaraf untuk mengesan dan mengenalpasti sasaran serta pengawasan berterusan untuk semua misi dilaksanakan termasuk bantuan rapat untuk pasukan-pasukan darat.

Sistem Sniper ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar termasuk pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18. — DSA

Comments
Loading...