Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat T-50i Golden Eagle Milik TNI-AU Terhempas Di Jawa Tengah

Pesawat T-50i itu diterbangkan oleh Lt Allan Syafitra Indera daripada 15 Skuadron TNI-AU dan menemui kemalangan ketika melakukan Latihan Pemintasan Malam (Night Intercept Exercise).

0 2,260

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat latihan lanjutan (Fighter Lead-In Trainer FLIT) T-50i Golden Eagle milik Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) telah terhempas di sebuah kawasan bernama Blora, Jawa Tengah pada Isnin.

Pihak keselamatan tempatan turut mengesahkan kejadian malang itu.

Menurut laporan daripada media Indonesia, pesawat latihan itu berlepas daripada Pangkalan Udara Iswahjudi pada 18.24 Isnin sebelum dilaporkan terputus hubungan pada 19.25 (waktu tempatan).

T-50i Indonesia
Bangkai pesawat T-50i milik TNI-AU yang terhempas di Jawa Tengah. (kredit media Indonesia)

 

Pesawat itu diterbangkan oleh Lt Allan Syafitra Indera daripada 15 Skuadron dan menemui kemalangan ketika melakukan Latihan Pemintasan Malam (Night Intercept Exercise). Nasib beliau masih belum diketahui sehingga kini.

Ia adalah kemalangan ketiga melibatkan pesawat latihan lanjutan T-50i milik Indonesia selepas kejadian sama berlaku pada tahun 2015 dan 2020.

Pihak pangkalan udara Iswahjudi telah mengesahkan kepada media tempatan bahawa pesawat latihan daripada pangkalan udara itu memang mengadakan latihan pada malam itu dan pihaknya telah mengerah anggotanya ke lokasi kejadian.

Sementara itu penduduk tempatan yang dipetik oleh media tempatan mengatakan mereka nampak dua buah pesawat terbang di lokasi sebelum salah sebuahnya menjunam ke arah kawasan hutan,

Tidak lama selepas menjunam itu, terdapat kepulan asap dan api marak daripada kawasan hutan dimana pesawat itu terhempas.

T-50i Indonesia

Penduduk tempatan yang berkejar ke lokasi kemalangan mendapati kawasan tersebut dipenuhi dengan bangkai serpihan pesawat tetapi tidak menemui juruterbang malang itu.

Tiada penduduk tempatan cedera dalam kemalangan itu.

TNI-AU memperolehi 16 buah pesawat latihan lanjutan T-50i daripada Korea Selatan pada 2012, dengan penghantaran bermula pada 2014 dan berakhir pada 2018.

Dan pada tahun lepas, Jakarta menambah pemilikan pesawat FLIT buatan syarikat KAI itu dengan memperolehi enam lagi buah pesawat itu yang dianggarkan bernilai US$240 juta (RM960 juta).

Ia bakal menjadikan jumlah keseluruhan T-50i oleh TNI-AU adalah sebanyak 22 buah.

T-50i Indonesia

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Pesawat T-50i Indonesia itu adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat Hawk yang digunakan oleh negara itu sejak 1990-an.

Pesawat latihan lanjutan T-50i adalah varian daripada keluarga pesawat T-50 yang dibangunkan oleh KAI dengan kerjasama syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.

Selain Indonesia, pesawat T-50/FA-50 itu turut digunakan oleh tentera-tentera udara Korea Selatan, Thailand, Filipina dan Iraq. — DSA

 

Comments
Loading...