Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) M1A1 Abrams Amerika Musnah Akibat “Satu Bedilan” Kereta Kebal Legasi Soviet Union, T-72

(VIDEO) Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Russia terbabit kereta kebal M1A1 Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine itu berjaya dimusnahkan dengan “hanya satu bedilan” daripada meriam kereta kebal legasi Soviet Union, T-72B3 milik tentera Russia di medan pertempuran di Avdiivka.

0 1,137

(DEFENCE SECURITY ASIA) –  Satu daripada dua buah kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat yang dibekalkan kepada tentera Ukraine disahkan telah musnah di medan pertempuran akibat bedilan daripada kereta kebal legasi Soviet Union,  T-73B3 milik tentera Russia.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Pertahanan baru-baru ini.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Russia terbabit kereta kebal M1A1 Abrams yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine itu berjaya dimusnahkan dengan “hanya satu bedilan” daripada meriam kereta kebal legasi Soviet Union,  T-72B3 milik tentera Russia di medan pertempuran di Avdiivka.

Kereta kebal T-72B3 Russia yang bertanggungjawab memusnahkan kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat itu dengan hanya “satu bedilan” itu dioperasikan 15th Separate Motorized Rifle Brigade, tentera Russia yang bertugas di Avdiivka pada ketika itu.

Pada ketika ini, Avdiivka telah pun berjaya ditawan oleh tentera Russia selepas pertempuran hebat yang turut menyaksikan “pertembungan” di antara kereta kebal “legasi” Kesatuan Soviet, T-72 dengan kereta kebal canggih Barat, M1A1 Abrams.

Abrams
Salah sebuah kereta kebal M1A1 Abrams yang musnah di Avdiivka baru-baru ini.

 

Kereta kebal T-72B3 merupakan kereta kebal T-72 yang telah wujud sejak zaman Kesatuan Soviet tetapi telah dinaiktaraf dengan enjin baru dan beberapa kemampuan terkini bagi membolehkannya lebih berbisa di medan pertempuran.

Pada ketika ini, laporan daripada media menyatakan bahawa tentera Ukraine telah kehilangan dua atau tiga buah kereta kebal  M1A1 Abrams yang dibekalkan kepadanya oleh Amerika Syarikat untuk menangani kekuatan armor tentera Russia.

Secara keseluruhannya, tentera Amerika Syarikat telah membekalkan 31 buah kereta kebal M1A1 Abrams “canggih” seberat 70 tan itu kepada tentera Ukraine.

Nampaknya, kereta kebal M1A1 Abrams buatan Amerika Syarikat itu menjadi “mangsa terkini” kereta-kereta kebal Barat yang musnah di medan pertempuran di Ukraine selepas kereta-kereta kebal buatan Jerman, “Leopard” dan kereta kebal buatan Britain, “Challenger” yang menerima nasib yang sama.

Minggu lepas kereta kebal M1A1 Abrams pertama dioperasikan oleh tentera Ukraine telah musnah dipercayai akibat bedilan dron berani mati “Lancet” oleh tentera Russia di kawasan pertempuran di Avdiivka, Ukraine.

Video-video menunjukkan bahagian atas kereta kebal utama buatan Amerika Syarikat itu terbakar selepas dibedil oleh tentera Russia telah tersebar dalam media-media sosial, dengan pemerhati ketenteraan mengesahkan bahawa ia adalah kereta kebal buatan Amerika yang pertama musnah di Ukraine.

Maklumat-maklumat menyatakan bahawa kereta kebal M1A1 Abrams yang dioperasikan oleh tentera Ukraine itu pada mulanya telah dibedil oleh dron berani mati “Lancet” tentera Russia dan selepas itu dibedil buat kali kedua oleh Rocket Propelled Grenade (RPG).

Kemusnahan kereta kebal M1A1 Abrams itu berlaku hanya beberapa hari selepas video dan gambar-gambar pertama muncul di media-media sosial menunjukkan kereta kebal buatan Amerika itu beraksi di medan pertempuran di Avdiika, Ukraine.

Penyokong-penyokong Ukraine mengharapkan kehadiran kereta kebal M1A1 Abrams seberat lebih 70 tan itu mampu memberikan kelebihan kepada tentera negara itu dalam menangani serangan armor oleh tentera Russia.

Beberapa bulan lepas, pegawai-pegawai tentera Ukraine telah pun memberikan amaran bahawa kereta kebal Abrams buatan Amerika Syarikat itu mungkin tidak akan “bertahan lama” di medan peperangan.

T-72
Kereta kebal T-72B3
Abrams
Kereta kebal M1A1 Abrams.

 

Apatah lagi, kereta kebal Abrams yang dibekalkan kepada Ukraine adalah daripada varian M1A1 yang dianggap telah “berusia” serta tidak dilengkapi dengan armor “depleted uranium” serta kemampuan terhad berbanding varian terkininya, M1A2.

Selain itu, terdapat juga laporan menyatakan bahawa Amerika Syarikat dikatakan telah bertindak “menanggalkan” komponen-komponen sensitif daripada kereta kebal utama M1A1 Abrams sebelum kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk berhadapan dengan tentera Russia.

Washington berbuat demikian bagi mengelak komponen-komponen senstitif itu jatuh ke tangan tentera Russia sekiranya kereta kebal M1A1 Abrams itu ditawan di medan konflik di Ukraine.

Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika yang dipetik oleh akhbar USA Today berkata tindakan itu adalah untuk memastikan komponen sensitif milik kereta kebal utama Amerika Syarikat itu tidak dieksploitasi oleh pihak tentera Russia untuk kegunaan mereka pula.

Amerika pada mulanya bercadang menghantar kereta kebal M1A2 Abrams, tetapi menukar kepada varian M1A1 yang kurang canggih berbanding varian selepas itu. — DSA

Comments
Loading...