Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Selepas Perolehan FA-50 Block 20, Malaysia-Korea Selatan Setuju Pertingkat Kerjasama Pertahanan

Selepas Malaysia bersetuju untuk membeli 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 daripada Korea Selatan bernilai RM4 bilion, kedua-dua negara berazam untuk meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dalam bidang pertahanan.

0 8,042

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Malaysia bersetuju untuk membeli 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 daripada Korea Selatan bernilai RM4 bilion, kedua-dua negara berazam untuk meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama dalam bidang pertahanan.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap dalam laporannya beberapa hari lalu berkata pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan kedua-dua negara telah mengadakan pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pertemuan dua hala itu bertujuan untuk meningkat lagi kerjasama pertahanan dua hala melibatkan beberapa bidang.

“Kedua-dua negara berkongsi kebimbangan terhadap program peluru berpandu dan nuklear Korea Utara dan bersetuju untuk memperluaskan kerjasama di dalam bidang keselamatan siber, latihan bersama dan industri persenjataan,” menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan sebagaimana dipetik oleh Yonhap.

Delegasi Kementerian Pertahanan Korea Selatan itu diketuai oleh Ketua Pengarah Dasar Antarabangsanya Lee Seung-beom manakala Kementerian Pertahanan Malaysia pula diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausahanya Mohd Yani Daud dalam Mesyuarat Koordinasi Dasar Pertahanan.

 Malaysia dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat pejuang ringan FA-50 pada akhir tahun 2026 manakala selebihnya akan diterima secara berperingkat selepas itu.

Korea
Pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan Korea Selatan dan Malaysia dalam mesyuarat di Kuala Lumpur baru-baru ini. (YONHAP)

 

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memilih varian FA-50 Block 20 yang merupakan varian paling berkemampuan dan berkeupayaan berbanding varian-varian lain pesawat pejuang ringan terbabit yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI).

Dalam laporan pada minggu lepas, sumber industri memberitahu Defence Security Asia bahawa  usaha perolehan kumpulan kedua 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 untuk TUDM akan bermula “tidak lama lagi”.

“Perolehan Batch Kedua 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 oleh TUDM itu akan bermula sebaik sahaja penghantaran (kepada TUDM) Batch Pertama 18 buah pesawat FA-50 selesai dilaksanakan.”

“Proses perolehan itu akan bermula tidak lama lagi,” kata sumber itu, tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut secara spesifik bilakah proses perolehan itu akan bermula.

Sumber itu juga menjelaskan bahawa perolehan Batch Kedua 18 pesawat FA-50 tidak melibatkan sebarang proses tender baru kerana tender sebelum ini telah pun menyatakan perolehan sebanyak 36 buah pesawat pejuang ringan terbabit.

KF-21
KF-21 “Boramae” ketika melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “METEOR”.

 

Selain pesawat pejuang ringan FA-50, KAI juga berminat untuk menawarkan pesawat pejuang  generasi 4.5 KF-21 “Boramae” yang sedang dibangunkannya pada ketika ini.

Bercakap kepada media tempatan pada LIMA 2023, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young dengan jelas menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae itu adalah “ideal fit” untuk TUDM.

Katanya, KF-21 “lebih daripada mungkin mampu”  untuk menggantikan pesawat-pesawat F/A-18D dan Sukhoi Su-30MKM yang bakal dibersarakan oleh TUDM pada 2035 dan 2040 sebagaimana yang digariskan di dalam program CAP 55 (Capability 2055).

“Saya percaya, ya, pesawat KF-21 lebih daripada mungkin mampu untuk menggantikan mereka (F/A-18D dan Su-30MKM) kerana waktu persaraan kedua-dua pesawat itu adalah hampir sama dengan waktu dimana pesawat KF-21 itu akan mula beroperasi,” kata beliau dalam temuramah itu.

“Pesawat KF-21 adalah pesawat pejuang generasi 4.5 tetapi ia akan mempunyai platform generasi ke-5, bermakna ia bukan sahaja generasi ke-5 tetapi boleh dinaiktaraf kepada pesawat pejuang generasi ke-6 di masa depan.”

Surion
KUH-1 Surion

 

“Sebab itulah, saya percaya bahawa pesawat pejuang KF-21 adalah amat ideal untuk TUDM”, kata beliau dalam temuramah yang diadakan di chalet KAI di LIMA 2023.

Sumber-sumber industri juga memberitahu Defence Security Asia bahawa KAI telah menawarkan helikopter utiliti pelbagai guna, KUH-1 Surion kepada Tentera Darat Malaysia bagi memenuhi keperluan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

“Helikopter utiliti pelbagai guna KUH-1 Surion adalah platform yang paling sesuai untuk melengkapkan Rejimen 882 PUTD,” kata sumber itu.

KUH-1 Surion itu dijangka akan bersaing dengan helikopter-helikopter lain seperti UH-60 Blackhawk dan EC-725 bagi merebut kontrak untuk memenuhi keperluan PUTD itu. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...