China Kini Penjual Utama Senjata di Asia Tengah, Pelanggan Terbaru Tajikistan Tayang Sistem Pertahanan Udara HQ-17AE
Pendedahan Tajikistan tentang pemilikan sistem pertahanan udara HQ-17AE buatan China itu mencetuskan persoalan tentang strategi pertahanan negara Asia Tengah itu serta peranan Beijing yang semakin berkembang di rantau itu, yang sebelum ini kurang diberi perhatian akibat konflik global yang lebih besar, namun kini semakin mendapat perhatian dunia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – China kini mengesahkan sebagai pemain utama dalam pasaran senjata di Asia Tengah, yang sebelum ini dikuasai oleh Russia dengan pelanggan terbarunya, Tajikistan telah buat pertama kalinya menunjukkan secara terbuka sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara jarak dekat jenis HQ-17AE yang baru diperolehnya daripada negara kuasa Asia itu.
Sistem pertahanan udara buatan China itu telah didedahkan kepada orang awam dalam satu perarakan ketenteraan sempena sambutan ulang tahun ke-32 Angkatan Tentera negara itu pada 23 Februari 2025.
Sebanyak empat kenderaan tempur dan dua kenderaan pengangkut-loader turut dipamerkan, sekali gus menggambarkan usaha terkini Tajikistan dalam memodenkan keupayaan pertahanan udaranya serta memperlihatkan hubungan kerjasama ketenteraan yang semakin erat dengan China.
Acara perarakan tentera tersebut telah menarik perhatian pemerhati antarabangsa kerana ia menandakan perkembangan baru dalam keupayaan ketenteraan Tajikistan serta hubungan kerjasama yang semakin rapat dengan China.
Walaupun masa perolehan oleh Tajikistan itu tidak diketahui secara jelas, namun dipercayai bahawa China telah membekalkan sistem pertahanan udara tersebut sekitar penghujung tahun 2024.
Setakat ini, maklumat mengenai kos, jumlah unit, dan butiran terperinci perjanjian masih belum didedahkan.
Pendedahan itu turut mencetuskan persoalan tentang strategi pertahanan Tajikistan serta peranan China yang semakin berkembang di Asia Tengah, sebuah rantau yang sebelum ini kurang diberi perhatian akibat konflik global yang lebih besar, namun kini semakin mendapat perhatian dunia.

Penganalisis berpendapat bahawa Tajikistan secara senyap-senyap telah menaik taraf keupayaan ketenteraannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi langkah terbaru ini dianggap sebagai perkembangan penting, lebih-lebih lagi kerana sistem berkenaan berasal dari China.
“Ia merupakan satu petunjuk jelas tentang hubungan yang semakin erat dengan China,” kata seorang pemerhati di media sosial, satu pandangan yang turut dikongsi ramai dalam kalangan pemerhati pertahanan.
Namun begitu, urus niaga tersebut kekal misteri.
Walaupun perarakan pada 11 Mac mengesahkan kehadiran sistem HQ-17AE dalam inventori ketenteraan Tajikistan, setakat ini tiada kenyataan rasmi dari Dushanbe mahupun Beijing yang menjelaskan bila urus niaga tersebut berlaku atau butiran lanjut mengenainya.
Pada 21 Februari yang lalu, sebuah lagi negara Asia Tengah telah menunjukkan sistem persenjataan yang baru diperolehinya daripada China, sekaligus membuktikan hubungan yang semakin erat dengan Beijing.
Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev telah melawat Pusat Teknologi Inovatif yang bernaung di bawah Agensi Industri Pertahanan negara itu, di mana sistem pertahanan udara buatan China turut ditempatkan sebaris dengan produk pertahanan tempatan.

Bagaimana dan bila sistem-sistem pertahanan udara buatan China ini sampai ke sana masih tidak diketahui, namun kehadirannya jelas menunjukkan bahawa Uzbekistan memiliki aset tersebut.
Sistem yang dimaksudkan termasuk sistem pertahanan udara jarak dekat FM-90 dan sistem pertahanan udara jarak sederhana KS-1C yang diperolehi Uzbekistan daripada China.
Dengan perolehan sistem-sistem pertahanan udara buatan China, Uzbekistan telah mengikuti jejak langkah negara jirannya, Turkmenistan yang turut mengoperasi sistem pertahaan udara berlapis (layered air defence system) termasuk FD-2000, FM-90 dan KS-1C.
Daripada gambar-gambar itu, Uzbekistan nampak telah memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama pertahanannya dengan China.
Perolehan sistem pertahanan udara buatan China oleh Uzbekistan itu menandakan perubahan dalam usaha mempelbagaikan lagi perolehan pertahanan negara.
Secara tradisinya, Uzbekistan bergantung kepada kelengkapan pertahanan buatan Soviet dan kemudian Russia, namun kebelakangan ini, negara itu telah memperluaskan kerjasama ketenteraannya dengan China.
Imej terkini menunjukkan bahawa sistem pertahanan udara buatan China itu, yang direka untuk memintas pesawat musuh dan peluru berpandu pada jarak pendek serta sederhana, telah beroperasi dalam angkatan bersenjata Uzbekistan.

Sistem pertahanan udara HQ-17AE sebagaimana diperolehi oleh Tajikistan ialah sebuah sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara (SAM) jarak dekat yang dibangunkan oleh China, khusus untuk melindungi aset-aset penting daripada ancaman udara seperti pesawat pejuang, dron, peluru berpandu kruis, dan bom berpandu.
Berikut ialah ciri-ciri utama sistem HQ-17AE:
-
Jarak tembakan: Mampu memintas sasaran dalam jarak sehingga kira-kira 15 kilometer.
-
Ketinggian operasi: Berupaya menangkis ancaman udara pada ketinggian rendah hingga sederhana, sehingga 10 kilometer.
-
Mobiliti tinggi: Sistem ini dipasang pada kenderaan berperisai beroda atau berantai, membolehkannya bergerak pantas di medan tempur.
-
Radar bersepadu: Dilengkapi radar pengesanan dan penjejakan sasaran secara automatik, membolehkan ia bertindak balas dengan pantas terhadap pelbagai ancaman udara.
-
Tindak balas pantas: Berkemampuan untuk mengesan, mengenal pasti, menjejak dan menyerang sasaran dalam masa singkat.
HQ-17AE adalah versi eksport bagi sistem HQ-17, yang berasal daripada sistem Rusia Tor-M1 yang dihasilkan oleh China dengan beberapa pengubahsuaian tempatan.
Sistem ini mendapat perhatian global kerana kos efektif, mudah dikendalikan, dan kemampuan melindungi ruang udara secara berkesan, menjadikannya pilihan menarik bagi negara-negara yang ingin menaik taraf keupayaan pertahanan udara mereka.
— DEFENCE SECURITY ASIA